Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Sunday, April 20, 2008

entry tertangguh: hidup dan kehidupan



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


ini entry tertangguh. catatan perjalanan saya tika menemani bonda..


Saya menulis dari satu lokasi yang memanifestasikan keagungan Allah. Cukup tenang di sini. Hempasan ombak mencipta irama segar, tenang sekali. Matahari memancar cukup terang, menceriakan hari. Saya bersendiri di sini. Mencari ilham dan kedamaian di tepi pantai di halaman sebuah chalet di Marang, Terengganu. Emak telah keluar pagi tadi, menghadiri temuduga kenaikan pangkat di Pusat Latihan Telekom Marang. Dan saya di sini- sendirian, mencari damai di tepi pantai yang tenang. Dan ombak yang menghempas pantai seolah menyeru hati supaya sentiasa mengalunkan zikir, sepertimana ia tidak pernah berhenti melakukannya, bersama hempasan ombak yang berulang tanpa henti. Tanpa jemu.

Saya coretkan perjalanan panjang saya sejak kelmarin, dari UIA ke Mentakab seterusnya ke negeri penyu bertelur ini.

Sabtu
Saya mengemas bilik dari pagi, mengemas juga barang-barang untuk dibawa pulang. Tidak banyak, pakaian untuk ke Terengganu. Buku-buku yang dibeli untuk adik-adik di pesta buku. Tidak lupa, rafiq kesayangan- laptop saya. Beg sandang berisi laptop dimuatkan dengan semua barang tadi. Bersiap untuk pulang.

Tenggelam dalam lautan gajet terkini
9.45pg. bersendirian di tengah keramaian. Saya sudah berada di hadapan pintu masuk utama Kuala Lumpur Convention Center, KLCC untuk menjenguk PC Fair. Ada gajet yang ingin dimiliki. Saya sengaja berada di situ lebih awal. Rancangnya, 2 jam di sini, sebelum ke PWTC untuk tawaf kali kedua di Pesta Buku Antarabangsa 2008. sebelu menaiki bas jam 3, turun di Mentakab dan sempat menghadiri kenduri kesyukuran sempena kelahiran anak kedua Kak Ima di kg Gajah Mati yang dujadualkan ba’da Asar.

NAsib saya tidak baik. PC fair hanya bermula jam 11 pagi, sedang saya berfikir bahwa ia akan dibuka jam 10 pagi. Maka lebih 1 jam saya menunggu di Taman KLCC. Sendirian, terasa boring juga. Saya tidak membawa buku sebagai teman seperti lazimnya kerana berniat membeli buku lagi di Pesta Buku, maka tidak mahu memberatkan muatan beg. Bahu sudah mula terasa lenguh menggalas laptop dan beberapa buah buku hadiah untuk adik-adik.

Jam 11, saat pameran mula dibuka, saya melangkah masuk. Tujuan hnya satu, mendapatkan gajet yang diingini, dalam bajek yang ditetapkan sejak beberapa hari lalu. Tenggelam dalam lautan gajet terkini. Dengan pelawaan dari para jurujual yang mempromosi produk masing-masing. Saya membutakan hati dari memandang gajet yang selainnya. Pertama kerana kesuntukan masa, tidak mahu terlalu lama di sini. Kedua kerana mengelak rambang mata, takut tergoda. Lalu saya hanya singgah di gerai-gerai yang menawarkan gajet yang dihajati. Saya membandingkan harga, fungsi dan kelebihan setiap jenis gajet itu, menyesuaikan dengan bajek yang saya terhadkan.

Akhirnya, saya membuat pilihan. Gajet apa,jenisnya,harganya, biarlah rahsia. Yang pasti, saya gembira memilikinya, Alhamdulillah, menggantikan yang lama yang sudah uzur benar.

Perjalanan seterusnya ke PWTC. Mengambil Putra LRT ke Masjid Jamek dan menukar menaiki STAR ke PWTC. Tujuan saya – dewan Tun razak 3 & 4 kerana minggu lalu, saya sudah tawaf ke 2 dewan Pesta Buku yang lain.


Gerai Wira Bukit Menggamit saya. Sasterawan Negara A.Samad Said ada di situ. Saya mendapatkan buah tangan terkini beliau- Sonata Daun Ginko dan Novel ‘ Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri’. Sudah lama saya mengidam BTBDF. Tetapi harganya di MPH rm40.00. tak berbaloi pula rasanya membeli saat wang lebih diperlukan untuk buku lain. Tapi di sini, potongannya 50%. edisi kulit keras itu saya miliki tanpa ragu. Kenapa? Tarikan utama adalah Fatehpur Sikri. Satu tempat bersejarah di India yang pernah saya lawati 2 tahun lalu. Itu menjadikan buku itu dekat di hati, mengimbau memori kembara saya di bumi Taj Mahal.

Saya mengambil kesempatan mengambil autograph Pak Samad. Ramah dia bertanya itu dan ini. Sempat bergambar juga.



Mencari pula penerbitan buku rujukan sekolah. Sasbadi dan Pelangi jadi pilihan. Kedua-dua gerai saya lawati.membandingkan kualiti buku dan harganya, lalu saya memilih membeli buku rujukan di Pelangi. Untuk adik-adik di rumah. Untuk Kak Chik, Abang dan si bongsu YAni. Di gerai sebuah pengedar kitab arab, saya membeli sebuah buku yang saya fikir berguna untuk penulisan tesis.


Singgah di gerai Payless bookstore- 3 novel inggeris dibeli dengan harga RM15. Di galeri Ilmu, 2 buku sulung ustaz Hasrizal dibeli. Aku terima Nikahnya. Satu untuk saya, satu untuk kawan yang mengirim. Ustaz Hasrizal ada di situ. Ramai yang menunggu autograph.



Saya berhajat menunggu juga, tapi kesuntukan masa. Mengeluarkan duit di ATM- beratur lama. Membeli tiket STAR ke Titiwangsa untuk menaiki bas pulang di Perhentian Pekeliling. Juga beratur lama. Jam sudah 4 petang. Tak dapatla saya ke majlis kenduri kesyukuran kelahiran anak Kak Ima.


Menaiki bas metrobus ke Temerloh jam 4.30 (kerana bas ke Mentakab hanya ada jam 6.30 petang. Tiket kehabisan.saya tak betah menunggu lagi) saya menuju ke Pahang dengan bahu yang amat lenguh, menyandang beg dengan berisi laptop dan beberapa buku di dalamnya, dan buku-buku yang baru dibeli dijinjing di tangan (12 buah semuanya). Perut saya mula lapar. Hanya terisi dengan sebiji roti dan air mineral sejak pagi. Bas yang selesa, saya tertidur kepenatan. Di luar hujan lebat membasah bumi, menyambut kepulangan saya ke Laman Ayahbonda. Adik-adik tersenyum girang medapat buku yang dihadiahi. Wan pula menyambut kepulangan saya dalam kegembiraan. Terlepas rindu saat salam hangat dan ciuman di pipi kendurnya. Malam itu saya tidur dalam kepenatan. Tapi cukup tenang, rehat yang mendamaikan di laman ayahbonda, dalam cinta kasih keluarga.

Ahad
10 pagi. Saya,emak dan Izzati sudah berada di Terminal Bas Temerloh. Izzati akan pulang ke Kuantan, bas jam 10. saya dan emak pula akan ke terengganu. Jam 10 juga. Emak membeli air. Saya menunggu beg. Bas Transnasional yang akan membawa Izzati sampai. Dia segera menyalami saya. Dan masuk ke dalam perut bas tanpa sempat menyalami emak yang masih membeli air. Kirim salam mak. Katanya seraya berlalu, kerana bas kelihatan sudah mahu bergerak.

Emak datang dengan air dan beberapa buku roti.
'Andak dah pergi ke?' tanya emak.
'aa..' jawab saya pendek, seraya menujuk bas yang akan membawanya.
'La, dia lapar tu, gastric nanti. Mak dah belikan dia roti ni'
Kata emak dengan menjinjit beg plastik berisi air dan roti dan tanpa saya sempat menjawab, saya melihat emak melangkah laju menuju bas yang sudah dinaiki Izzati. Dari jauh, Saya melihat kasih emak pada anaknya, bas yang sudah bergerak sedikit ditahannya, lalu dinaiki. Mungkin dia berkata
‘saya nak bagi makanan ni pada anak saya, ’
Saya melihat emak memasuki bas, Izzati meluru melihat emak di perut bas. Di tengah-tengah perut bas, saya melihat emak menghulurkan plastik berisi 2 buku roti dan air mineral kepada adik saya- anak emak yang ke-5. mereka bersalaman, sebelum izzati mencium kedua-dua pipi emak, emak turun dan bas bergerak menuju ke Kuantan.

Bas kami belum sampai. Seorang wanita bersama 2 anak, diiringi seorang wanita lain lalu di hadapan saya, sebaik melihat wajah wanita tersebut, saya menjerit spontan. Kak S!

Dia yang terkejut memalingkan muka ke arah saya, kami bersalaman sebelum saya memeluknya erat. Rindu. Hampir 5 tahun saya kira kami tidak berjumpa. Kami rapat satu ketika dulu.. Dan ada kisah tragis yang merapatkan kami. Wajah kak S masih seperti dulu. Saya masih mengingati dia. Masakan saya lupa, bahu saya ini yang menahan sendunya. Jari jemari saya ini yang mengesat air matanya. Ya , 7 tahun lalu, ketika saya berusia 17 tahun. Dia menganggap saya wira. Dia menganggap saya penyelamat. hAkikatnya, Allah yang menentukan segala.
Dalam usia 17 tahun itu, saya menjadi penasihat rumahtangga kepada seorang isteri yang kecewa kerana kecurangan suaminya. Alhamdulillah, berkat doa dan dengan izinNYA, suami kembali kepada isteri, mula menyedari betapa besarnya pengorbanan si isteri. Pesona sang puteri pelahan-lahan pergi, dan masjid yang dibina kembali menyatu 2 hati, bahagia hingga kini.

Kisah itu terpahat dalam memori hingga kini. Kerana si suami-Encik A- insan yang saya kagumi-amat rapat dengan saya. Dan si puteri yang mempesonakan itu- kawan sekelas saya, duduk di belakang meja saya.

Kerana pesona sang puteri, encik A lupa diri,lupa anak isteri. Maka di bahu ini Kak S melepas tangisan, meminta nasihat dari seorang saya yang ketika itu berusia 17 tahun, yang tidak pernah kenal erti cinta, apatah lagi memahami asam ragam rumah tangga.

Semua jadi kenangan dan pengalaman, apa, bagaimana, mengapa hingga akhirnya, saya memegang watak utama dalam kisah itu, biarlah plot ceritanya menjadi rahsia. Tapi hingga hari ini, kak S mengingati saya sebagai wira yang menyelamat rumahtangganya. Sedang hakikatnya, Allah jua yang Maha Berkuasa. Pertemuan dengan Kak S itu mengungkai memori lama, sempat saya melihat, luka kak S masih berparut, nada dan cara percakapanya, saya percaya, dalamnya luka hati si isteri kerana kecurangan suami. Biar masa 7 tahun berlalu, parut itu tetap ada. Saya mengesanya dalam nada kak S yang masih berbau sendu. Doa saya, dulu kini dan selamanya, bahagia akan sentisa mengiringi rumahtangga Kak S dan suaminya..
Sempat kak S memberi komen- saya sudah lain, wajah saya sudah berubah. Hm.. masakan sama, saya kini sudah 24 tahun, bukan lagi pemilik seragam biru berkain putih seperti 7 tahun lalu.. dan 7 tahun yang berlalu itu, cukup mematangkan dan memberi pengalaman pada saya.

Bas Kak S sampai. Kami berpisah, perpisahan yang tidak diketahui bila pula akan bertemu lagi. Bas Seri Jengka tiba. Saya dan emak memasuki perut bas yang agak usang itu. Kalau punya pilihan lain, tentu emak tidak akan memilih bas ini, amat uzur rupanya. baru 10 minit bergerak, bau hangit menyelubungi bas yang kami naik. Bas berhenti, pemandu memeriksa enjin. Bas mengalami kerosakan. Kami turun, ‘berkelah’ di tepi jalan di kawasan perhentian Bukit Angin, beberapa meter sebelum jambatan Temerloh menuju ke Kuantan.

Sebaik keluar dan melihat rupa bas, baru saya sedari, betapa uzurnya bas yang kami naiki. Pelik juga, mampukah bas ini melalui perjalanan yang panjang? Jengka-Temerloh-Kuantan-Kuala Terengganu-Kota Bharu. Masya Allah, sungguh-sungguh saya terkejut melihat betapa uzurnya bas ini. Dalam bas juga uzur, dengan kerusi usang yang bergerak setiap kali bas melalui selekoh tajam, langsir yang kusam.



Sejam setengah di situ. Baru bas berjalan semula, dengan kelajuan yang amat mendukacitakan. Laju lagi trak Abg Zahar yag saya naiki untuk masuk ke kampong orang asli. Entah jam berapa agaknya baru sampai ke Kuala Terengganu. Di Kuantan-bas tersalah masuk jalan. Kecewa betul saya dengan perkhidmatan bas ini. Perjalanan yang panjang, bas yang tidak selesa, menjadikan perjalanan amat memenatkan. Bebrapa kali juga bas berhenti, hingga saya terfikir, bas ni bas ekspres ke bas domestic yang berhenti-henti megambil penumpang? Maaf Seri Jengka, selepas ini, saya hanya akan menggunakan khidmat anda jika saya tidak punya pilihan lain. Rasanya lebih rela menaiki ekspres ke kuantan dan mengambil bas lain ke K.Terengganu berbanding perkhidmatan yang teruk ini.

Bila memasuki negeri Darul Iman, baru hati saya tenang, terutama melalui persisiran pantai yang mendamaikan. Senja itu, azan maghrib menyambut kedatangan saya dan emak ke Bandar K.Terengganu. Alhamdulillah, sampai jua kami, Hamdan lillah, moga dipermudahkan urusan seterusnya.

No comments: