JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Sunday, May 16, 2010

Jiwa

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

1
Ini adalah entry ke 495 di blog ini

2
Guru. Apa erti menjadi seorang guru? Bagi seorang yang baru ingin melangkah ke bidang ini, bukanlah saya orang yang layak berkata tentang manisnya alam perguruan. Dengan rendah dirinya, masih kurang dari setahun jagung dalam bidang ini.

Saya membesar dengan seorang guru sebagai idola di hadapan mata. Tentulah abah. Dia seorang guru. Guru sains, matematik dan matematik tambahan. Seiring usia, saya menyaksikan abah dan kehidupan sebagai seorang guru. Sedari kecil, saya melihat dia menanda kertas peperiksaan, mengisi buku rekod di rumah. Maka sejak itu saya tahu, seorang guru tugasnya bukan di sekolah sahaja.

Abah melalui pelbagai transaksi kehidupan. Mengajar di pedalaman, mengajar di sekolah bandar. Dibaling kerusi oleh pelajar berbangsa Cina lalu memohon pertukaran di sekolah agama- SMA Al-Wosto. Tekadnya, ingin berbakti pada bangsa sendiri, pada anak-anak didik seagama. Maka sehingga tahun ini, tahun terakhir perkhidmatan rasminya dalam bidang ini, abah masih kekal di SMAW.sudah 21 tahun dia di SMAW.

Sedari dulu, saya suka 'menyibuk' kalau abah menanda kertas soalan matematik pelajarnya. Saya turut teruja bila ada pelajar abah dapat markah yang tinggi. Saya turut kecewa bila ada pelajar abah dapat markah yang rendah. Padahal saya tak tahu pun siapa! Walaupun adakalanya saya dimarahi kerana mengganggu kerjanya, ada masa saya masih 'mencuri' tengok prestasi pelajar-pelajar abah bila abah tak perasan. Hehehe.

Saya memulakan kerjaya guru secara tidak rasmi semasa saya di tahun 1, kampus utama UIAM. Tidak mengambil semester pendek, saya bercuti 3 bulan. Ditakdirkan Alah, Cikgu Sarimah- guru bahasa Melayu saya di SMAW bersalin dan sekolah memerlukan guru ganti. Maka bermulalah catatan saya sebagai seorang guru pada April 2004. Guru yang amat muda. 20 tahun.Pelajar saya cuma 4 tahun bezanya dengan saya malah mereka adalah junior saya, sempat berada pada sesi persekolahan yang sama. Saya mengajar subjek bahasa melayu dan sejarah ketika itu. Usai 2 bulan, masih berbaki cuti saya sebulan lalu sekolah menawarkan untuk saya menyambung sebagai guru sehingga cuti tamat.

Amat manis pengalaman pertama itu untuk dikenang. Berada di sekolah sendiri, dikelilingi guru sendiri. Rasa kekitaan dan 'sense of belonging' amat kuat. Saya masih gadis remaja yang malu-malu. Maklumlah, bekerja dalam persekitaran- rakan sekerja adalah guru saya. Malu dengan guru sendiri. Alhamdulillah,  tentulah amat banyak saya belajar dari mereka.

2 hari melaporkan diri, saya perlu menghadiri kursus format baru SPM. Semasa mengisi borang pendaftaran, ada ruangan untuk pengalaman mengajar. Saya melihat guru-guru yang lain. Pengalaman mengajar 10 tahun, malah ada yang 20 tahun! saya? Perlukah diisi 2 hari? hehehe. Kelakar juga mengingatinya. Namun dalam terpinga-pinga itu, saya amat banyak belajar asas tentang 'di sebalik tabir' peperiksaan. Aras-aras soalaanya, teknik menjawabnya, cara pemarkahannya. Kali ini- dari kaca mata seorang guru. Dan apabila pulang, sekembalinya Cikgu Sarimah dari cuti, saya membentangkan panjang lebar tentang format baru itu.

Seminggu kemudian, Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Agama Pahang bermula di Pekan. Peringkat Pusat.Atas kepercayaan Cikgu Zaki, saya dilantik menjadi Ketua Kontijen sekolah. Jiwa sukan dan Ilmiah sudah sebati dalam diri. Maka tugas itu diterima dengan rela hati.

Dalam tempoh 3 bulan itu, saya sempat melatih pelajar untuk Pidato Piala Di Raja serta Forum Remaja. Alhamdulillah, kedua-dua acara tersebut menjadi johan daerah Temerloh dan saya turut mengiringi pelajar ke peringkat negeri. Meski tidak menang di peringkat negeri, memori itu cukup indah untuk guru muda seperti saya.

Pengalaman kedua- awal tahun lalu sehingga pertengahan Jun. Saya memilih untuk mengisi jawatan Guru Bahasa Arab Majlis Agama Islam Pahang dengan penempatan di SMAW. Sekali lagi- jodoh saya dengan SMAW. Dari guru bahasa melayu yang digelar 'cikgu' saya menngajar subjek nahu tingkatan empat dan bahasa arab tingkatan 1. Makanan yang amat enak untuk saya kerana bidang sendiri. Sangat seronok. Baru 2 bulan digelar 'ustazah' SMAW  menghadapi masalah pertukaran guru secara besar-besaran. Paling parah, guru bahasa Inggeris ditukarkan dan tinggal seorang sahaja. Maka dengan kepercayaan kepimpinan sekolah, saya diarahkan mengajar Bahasa Inggeris. Dari mengajar Nahu tingkatan 4 dan 5, saya perlu  mengajar bahasa Inggeris tingkatan 1 dan 2. Maka bertukarlah gelaran dari ustazah kepada 'teacher'.

Alhamdulillah, meski sukar pada permulaannya, saya hanya melakukan yang termampu.Saya hanya mahukan yang terbaik untuk pelajar saya. Dan dalam tempoh itu juga, seperti sebelumnya, saya seronok bersama pelajar, menjadi jurulatih nasyid, bola jaring,syarahan, bahas serta forum tanpa mengira bahasa- Inggeris, Melayu atau Arab.

Watak guru saya sedikit sebanyak berubah apabila dilantik sebagai warden asrama. Dari guru yang ceria dan tidak pandai marah (sungguh saya tak pandai marah), saya belajar menjadi lebih tegas. Sebab itulah di asrama, pelajar takutkan saya kerana ketegasan saya dan keseriusan saya. Dari zaman sekolah lagi, saya memang pelajar yang 'skema' dan amat menitikberatkan disiplin. Maka apabila ditaklif menjadi warden, perkara-perkara yang melibatkan disiplin menjadi perkara yang amat saya titikberatkan. Kecut perut pelajar kalau saya dah mula naik angin. Namun situasi ini tidak lama. Saya tinggalkan bumi SMAW dengan seribu kemanisan bergelar ustazah dan teacher untuk mengejar impian.

Mendapat tawaran mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dalam bidang bahasa Arab adalah satu perkara yang amat saya  nantikan. Saya telah rasai pengalaman menjadi guru dan saya tahu saya masih kekurangan ilmu untuk menjadi guru yang baik. Saya berazam, saya ingin menuntut ilmu lagi untuk menjadi guru yang bagus untuk pelajar saya. Apatah lagi- bidang yang ditawarkan adalah bidang 'jiwa' saya. Maka sepanjang tempoh DPLI, saya tidak main-main. Saya bersungguh-sungguh. Saya ingin menghadam betul-betul apa yang saya pelajari. Saya memberi komitmen 150% untuk DPLI lalu. Dan hari ini, usai pengajian DPLI, saya rasa kepuasannya. dan saya bersedia menjadi guru yang bagus dengan izin Allah.

Guru. Itulah jiwa saya. Saya ingin menjadi guru yang baik. Dengan izin Allah, satu masa nanti saya ingin mendidik pula bakal guru. Cinta saya pada pelajar, persekitaran sekolah, bau padang dan kantin, suasana kelas, telah tumbuh dari dulu. Ini bukan pilihan terakhir, tapi pilihan untama sebelum saya melakar impian yang lebih tinggi, Insya Allah.

Mengapa memilih profesyen keguruan? Itu soalan lazim dalam temuduga guru. Apa jawapan anda? Untuk saya, cukuplah jawapan ini:

Inilah 'jiwa' saya. Mendidik dan dididik.
Mudah-mudahan tiap ilmu yang dicurahkan, jadi saham di sana. Ya Allah.. moga kami semua menjadi guru yang memaksikan ikhlas dalam diri untuk memajukan anak bangsa.

SELAMAT HARI GURU
TERIMA KASIH BUAT SEMUA GURU SAYA
JASA DAN BUDI KALIAN TAK TERHINGGA

Emak guru pertama saya
Abah -ayahku guruku jua, qudwah guru yang sabar
guru-guru Sekolah Rendah Agama Al-Mukmin- saya teladani keikhlasan anda, mendidik tanpa mengharap balasan kerana kalian mendidik dalam serba kepayahan
guru-guru SMA Al-Wosto dari dulu hingga kini- saya sanjungi budi dan jasa kalian membentuk diri saya di zaman krisis identiti
Pensyarah Matrikulasi UIAM
Pensyarah IRKHS UIAM + UIAM ( 2 fasa saya di sana)
Pensyarah Institut Pendidikan UIAM- kembara DPLI membantu saya mengejar impian menjadi murabbi

Buat ayah, abg long, en tunang dan semua rakan-rakan bergelar guru
Moga kita semua sentiasa menjadi guru yang berusaha meمahirkan pelajar yang lebih bagus dari kita Insya Allah..

بارك الله فيكم جميعا

Friday, May 14, 2010

di mata DIA

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


1
Saya dalam perjalanan ke hospital untuk menziarahi dia yang sudah 2 hari koma. SMS diterima, dia telah pergi untuk selamanya bertemu Pencipta. Maka ukhwah yang ingin disambung hanya akan bertemu di sana nanti.Mudah-mudahan. Moga seluruh keluarga dan isteri yang sarat itu tabah. Al-Fatihah buat sahabat- Khairul Afizan Ismail.

2
Menjaga wan yang sedang uzur. Melayan orang tua perlukan kesabaran. Semua yang kita buat tidak kena di mata dia. Padahal asbab 'tidak kena' itu adalah matanya yang kabur, salah memandang. Atau telinganya yang semakin kurang mendengar. Maka iakan saja. Akui sahaja kesalahan. Sabar dan terus sabar. Berbaktilah pada orang tua, mudah-mudahan kesabaran itu ada ganjaran yang besar di sisi DIA.

3
Tahniah. Anda telah lakukan yang terbaik. Baik dari tahun-tahun sudah. Rezeki milik Allah. Anda tetap juara bagi saya.

4
Bila semangat ini akan kembali? Ya Allah bantulah hambaMU ini. Pulihkan semangatku. Perjuangan masih belum selesai. Tidak lama.Jika semangat itu ada, 2 minggu ia akan selesai. Ya Allah, kuatkanlah semangat saya. Di mana kan ku cari momentum buat diri?.. Ya Allah..Ya Allah..Ya Allah.. bantulah hambaMU..

5
Menjadi surirumah. Mengasah kemahiran memasak. Makan dan Tidur. Tengok TV.

6
Lost 5kg in this 2 month.. Khabar baik atau buruk??

7
Mahu bercuti. Tapi siapkan yang itu dulu.WAJIB!

8
Mei.Mei.Mei. Seperti tahun sebelumnya, Mac, April yang suram hadir dengan Mei yang berwarna. Kalau boleh dilukis, grafnya saban tahun pasti sama. Saya tidak mahu yang suram lagi. Mahu yang indah-indah sahaja. Namun jika yang suram itu membawa lebih hampir pada DIA. Bukankah suram itu sebenarnya lebih berwarna?? Biar suram di mata manusia asal indah di mata DIA.

Sunday, May 09, 2010

di sisiMU..

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الحمد لله الحمد لله

"ke mana agaknya orang hantar awak nanti?" tanya Wan .
Kami tinggal berdua di rumah. Adik-adik mengikut Abg Long bercuti ke Kuantan. Abah ke kebun. Mak pula masih di Kuala Lumpur menghadiri seminar.

'Tak tahula Wan, mintak-mintaklah tak jauh sangat" balasku, agak kuat. Dalam usia 97 tahun, pendengaran Wan agak terhad. Maka walaupun jarak antara kami dekat, saya masih perlu menguatkan suara supaya butir bicara itu jelas di telinganya. Jika tidak, saya bercerita tentang kapak akan didengar tentang kakak.

"Wan doa selalu, awak dapat dekat-dekat je. Tak dapat dekat rumah takpe, tapi janganlah macam Abg Long dulu. Jauh sangat" Abg Long saya memulakan kerjaya perguruannya di Kg Oya, Mukah Sarawak. Maka tentulah dia telah rasai ujian sebuah perpisahan.

" tengoklah abah awak, dah tak larat dia. Mak pun sama. Sakit pening, kalau jauh ni susah. Dah kahwin nanti takpe, dah boleh mintak dekat-dekat sini. Tunang awak pun dekat-dekat sini je, takdela jauh sangat," sambung Wan lagi.

Saya termenung memikir kata-kata Wan. Sungguh saya percaya, setiap rakan-rakan yang menunggu keputusan penempatan turut merasainya. Ke mana? Jauhkah? Dekatkah?

Saya sedar. Mak dan Abah makin tua. Abah. Wajahnya saat kami menyambut kepulangannya menjadi tetamu Allah musim haji baru ini masih terakam di minda saya. Sentiasa ada wajah itu. Wajah berseri tetamu Allah. Namun  saya perasan. Abah sudah nampak di anjak usia. Amat ketara itu. Saya melihat juga wajah abah pada hari pertunangan saya dulu. Gambar dia bersama bakal menantunya. 2 lelaki yang menjadi raja dalam hidup saya. Saya lihat wajah abah yang dimakan getir kehidupan. Hati saya berdetik lagi. Abah bukan lagi muda seperti dulu. Meski dia masih gagah ke kebun setiap hari. Namun kudratnya sudah tidak segagah dulu. Dia ke kebun berbakti pada tanah kerana itu cintanya. Dari dulu, cinta itu tak pernah luntur. Kerana budi dengan tanah itulah yang membesarkannya hingga bergelar guru.

Hujung tahun ini, Abah akan bersara dari kerjayanya sebagai guru. Perancangan Allah, saya pula akan memulakan profesyen perguruan pada tahun ini.

Emak juga sudah tidak segagah dulu. Meski masih sihat menghadiri kursus ke sana ke mari, wajah letihnya tetap nampak. Meski tiap kali kepulangan kami disambut ceria. Dia cekal. Wanita berkerjaya pada zaman ini, melahirkan kami 8 beradik dalam kehidupan yang serba sederhana. Tidak mewah tapi sekadarnya. Diinjak usia, dia masih seperti dulu. Kepentingan kami mengatasi segalanya. Dan masih lunak mendidik kami dalam tiap perbuatannya. Menjadi pemurah. Jangan pernah lokek membantu. Dan jangan sesekali menyakiti orang lain meski kita disakiti. Itu yang saya teladani dari emak. Itu yang saya ingin paksikan dalam diri.

Bila melihat mereka, saya tahu masa saya untuk berbakti kian singkat. Entah saya atau mereka akan pergi dahulu. Yang pasti mati itu janji kita denganNYA. Untuk itu, saya sering berdoa, ditempatkan saya di sebaik-baik tempat. Agar masih punya peluang saya berbakti kepada keduanya. Meski jika ditanya hati, saya bisa sahaja ke mana-mana. Mendidik anak bangsa walau di  ceruk mana. Kehidupan dan pengalaman lalu, saya telah ke ceruk desa. Telah saya rasai udara pedalaman itu. Dan andai ditakdirNYA saya ke sana, saya bersedia, mental dan fizikal, jiwa dan raga, minda dan rasa.  Saya melihat pula di sisi lain. Dia. Yang bakal menjadi raja di hati saya. Tentulah tanggungjawab itu juga perlu saya galas nanti. Dan saya mohon ditempatkanNYA di sebaik-baik tempat agar tanggungjawab dalam menyempurna agama itu dapat saya galas dengan sempurna.

Ya Allah, Engkau mengetahui segalanya.
Engkau tidak akan bebankan kami dengan apa yang kami tidak mampu
Dalam setiap ujian hidup ini, ada jaminan keimanan jika kami sabar.
Maka tempatkanlah kamu di sebaik-baik tempat
Bukan di mata manusia
bukan di sisi dunia
tapi yang terbaik di sisi MU
kerana biarpun seisi dunia kami miliki
Tanpa cintaMU, akan rugilah kami dunia dan di sana.

اللهم ادخلنا مدخل صدق
واخرجنا مخرج صدق
وانزلنا منزل صدق

Saturday, May 08, 2010

Refleksi Praktikal: Akhir

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah. Segala puji hanya milik Allah.. 30 April 2010, selepas genap 3 bulan, tamatlah sesi latihan mengajar yang saya lalui di SMK Hillcrest, Seri Gombak.

Alhamdulillah, 3 bulan ini saya banyak belajar perkara-perkara baru terutama untuk mengadaptasi teori-teori yang telah dipelajari bukan sahaja sepanjang tempoh pengajian DPLI di UIAM tetapi juga sepanjang kembara ilmu saya sebelum ini.

Berikut mungkin beberapa perkara untuk dinyatakan di sini:

- Terima Kasih warga Hillcrest. Kakitangan akademik dan bukan akademik di sini peramah belaka. Tak terasa kehadiran saya sekadar seorang guru praktikal. Mereka ramah dan melayan mesra. Saya banyak belajar dari guru-guru senior di sini. Saya juga sukakan suasana sekolah. Pelajar yang Muslim rajin menghulur salam sementara yang bukan muslim rajin menghulur ucapan ‘salam sejahtera’. Cuma saya doakan untuk kelas B.Arab dan Kemahiran Al-Quran, akan dapat kemudahan kelas yang lebih selesa untuk pengajian mereka.

- Terima kasih anak-anak saya di kelas 2 Arif dan 4 Proaktif. Saya banyak belajar dari mereka. Pendekatan berbeza untuk pelajar menengah rendah dan menengah atas. Pelajar Aliran agama dan sebaliknya. Semoga segalanya jadi bekalan yang baik untuk masa hadapan.

- Untuk PnP: Alhamdulillah, banyak belajar terutama untuk pengurusan kelas, ‘realiti’ sebelum benar-benar turun ke medan perjuangan. Aspek teknik dan cara persembahan, masih banyak yang perlu saya tingkatkan. Insya Allah masa dan pengalaman akan menjadikan saya mahir dan lebih berkualiti dari aspek ini. Berdasarkan komen-komen penyelia, ada teknik yang perlu saya kekalkan dan ada yang masih amat memerlukan penambahbaikan.

- Ko-kurikulum: Saya terlibat dengan sukan dan sukantara yang tak pernah dialami ketika zaman persekolahan. Saya teringin jadi jurulatih bola jaring. Hehe.. Saya melatih pelajar dalam syarahan agama MTQ (Alhamdulillah johan Zon Gombak Timur mengalahkan nama besar seperti SBPI Gombak).. dan Pidato Puteri Islam. Saya bersedia menyahut cabaran lain pula nanti.

- Buat pertama kali, berada dalam suasana multi ras. Selama ini, sekolah, belajar di U, komuniti hampir 100% Islam dan Melayu. Jadi, saya belajar meluaskan horizon pergaulan supaya boleh berkomunikasi dengan baik dengan semua orang. Alhamdulillah, walau hanya mengajar B.A dan Pendidikan Islam. Ada beberapa pelajar non-Muslim yang ramah menyapa kerana beberapa kali ‘relief’ di kelas mereka.

LATIHAN MENGAJAR TAMAT

Kesimpulannya- saya telah bersedia terjun ke dunia sebenar dan menyahut apa jua cabaran. Debaran menunggu penempatan- saya hanya doakan yang terbaik dari DIA untuk saya. Bukankah hanya DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA?

اللهم ادخلنا مدخل صدق واخرجنا مخرج صدق وانزلنا منزل صدقِ

semalam...

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

1
Mengambil barang-barang di rumah bilik sewa di Taman Gombak, Greenwood... Nabhan Hakimi demam.. kesian sungguh tengok dia terbaring.
Kata umminya, sejak kami balik, dia selalu bertanya,
"Ummi, mana kak Tikah? mana Kak Su?"

Kasihannya dia...

2
Ke IJN..Ayah Saudara dihantar ke sana selepas mengalami komplikasi jantung di HSAS. Memikirkan kos yang mahal, dia gelisah ingin pulang.

Pak Cik: Dr, saya nak balik
Doktor: Kenapa pak Cik? Pak Cik tah sihat lagi, duduk sini, rehat dan sihatkan badan dulu
Pak Cik: Saya risau saya tak mampu nak bayar kos
Doktor: Pak Cik jangan risau, kalau pak cik tak mampu bayar, saya akan bayar.Pak Cik jangan risau, rehat sampai sihat dulu ye.

Baiknya hati doktor. Moga dia dirahmati Allah selalu.

3
Semalam. Semalam yang lampau. Kami sekelas. Tidak Ramai, cuma 21 pelajar dalam kelas tersebut. Kami akrab. Dari barisan hadapan hingga barisan belakang, kami semua adalah adik beradik.

Hari ini saya menerima perkhabaran dia terlantar koma di Hospital Temerloh. Jangkitan kuman di otak menyebabkan dia koma dan mata serta telinga tidak berfungsi lagi. Doktor berusaha dan meminta persetujuan doktor untuk mengambil air tulang belakang. Isteri yang sarat mengandung seakan berat hati.

Itu setakat yang saya terima. dan saya terasa menyesali. Ukhwah kami hampir 20 tahun usianya. Berbanding rakan-rakan lain yang masih saling berhubung, dia antara sahabat yang amat lama tidak bersua muka. Amat lama dan hanya mendengar khabar dari jauh. Itupun melalui orang lain. Semalam. Ukhwah itu ada. Namun adakala ukhwah itu sekadar pada nama. Terasa ingin kembali pada semalam...

Ya Allah, kami memohon dariMu, moga dia sihat sejahtera.