Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers
Showing posts with label Al-Wosto. Show all posts
Showing posts with label Al-Wosto. Show all posts

Sunday, May 16, 2010

Jiwa

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

1
Ini adalah entry ke 495 di blog ini

2
Guru. Apa erti menjadi seorang guru? Bagi seorang yang baru ingin melangkah ke bidang ini, bukanlah saya orang yang layak berkata tentang manisnya alam perguruan. Dengan rendah dirinya, masih kurang dari setahun jagung dalam bidang ini.

Saya membesar dengan seorang guru sebagai idola di hadapan mata. Tentulah abah. Dia seorang guru. Guru sains, matematik dan matematik tambahan. Seiring usia, saya menyaksikan abah dan kehidupan sebagai seorang guru. Sedari kecil, saya melihat dia menanda kertas peperiksaan, mengisi buku rekod di rumah. Maka sejak itu saya tahu, seorang guru tugasnya bukan di sekolah sahaja.

Abah melalui pelbagai transaksi kehidupan. Mengajar di pedalaman, mengajar di sekolah bandar. Dibaling kerusi oleh pelajar berbangsa Cina lalu memohon pertukaran di sekolah agama- SMA Al-Wosto. Tekadnya, ingin berbakti pada bangsa sendiri, pada anak-anak didik seagama. Maka sehingga tahun ini, tahun terakhir perkhidmatan rasminya dalam bidang ini, abah masih kekal di SMAW.sudah 21 tahun dia di SMAW.

Sedari dulu, saya suka 'menyibuk' kalau abah menanda kertas soalan matematik pelajarnya. Saya turut teruja bila ada pelajar abah dapat markah yang tinggi. Saya turut kecewa bila ada pelajar abah dapat markah yang rendah. Padahal saya tak tahu pun siapa! Walaupun adakalanya saya dimarahi kerana mengganggu kerjanya, ada masa saya masih 'mencuri' tengok prestasi pelajar-pelajar abah bila abah tak perasan. Hehehe.

Saya memulakan kerjaya guru secara tidak rasmi semasa saya di tahun 1, kampus utama UIAM. Tidak mengambil semester pendek, saya bercuti 3 bulan. Ditakdirkan Alah, Cikgu Sarimah- guru bahasa Melayu saya di SMAW bersalin dan sekolah memerlukan guru ganti. Maka bermulalah catatan saya sebagai seorang guru pada April 2004. Guru yang amat muda. 20 tahun.Pelajar saya cuma 4 tahun bezanya dengan saya malah mereka adalah junior saya, sempat berada pada sesi persekolahan yang sama. Saya mengajar subjek bahasa melayu dan sejarah ketika itu. Usai 2 bulan, masih berbaki cuti saya sebulan lalu sekolah menawarkan untuk saya menyambung sebagai guru sehingga cuti tamat.

Amat manis pengalaman pertama itu untuk dikenang. Berada di sekolah sendiri, dikelilingi guru sendiri. Rasa kekitaan dan 'sense of belonging' amat kuat. Saya masih gadis remaja yang malu-malu. Maklumlah, bekerja dalam persekitaran- rakan sekerja adalah guru saya. Malu dengan guru sendiri. Alhamdulillah,  tentulah amat banyak saya belajar dari mereka.

2 hari melaporkan diri, saya perlu menghadiri kursus format baru SPM. Semasa mengisi borang pendaftaran, ada ruangan untuk pengalaman mengajar. Saya melihat guru-guru yang lain. Pengalaman mengajar 10 tahun, malah ada yang 20 tahun! saya? Perlukah diisi 2 hari? hehehe. Kelakar juga mengingatinya. Namun dalam terpinga-pinga itu, saya amat banyak belajar asas tentang 'di sebalik tabir' peperiksaan. Aras-aras soalaanya, teknik menjawabnya, cara pemarkahannya. Kali ini- dari kaca mata seorang guru. Dan apabila pulang, sekembalinya Cikgu Sarimah dari cuti, saya membentangkan panjang lebar tentang format baru itu.

Seminggu kemudian, Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Agama Pahang bermula di Pekan. Peringkat Pusat.Atas kepercayaan Cikgu Zaki, saya dilantik menjadi Ketua Kontijen sekolah. Jiwa sukan dan Ilmiah sudah sebati dalam diri. Maka tugas itu diterima dengan rela hati.

Dalam tempoh 3 bulan itu, saya sempat melatih pelajar untuk Pidato Piala Di Raja serta Forum Remaja. Alhamdulillah, kedua-dua acara tersebut menjadi johan daerah Temerloh dan saya turut mengiringi pelajar ke peringkat negeri. Meski tidak menang di peringkat negeri, memori itu cukup indah untuk guru muda seperti saya.

Pengalaman kedua- awal tahun lalu sehingga pertengahan Jun. Saya memilih untuk mengisi jawatan Guru Bahasa Arab Majlis Agama Islam Pahang dengan penempatan di SMAW. Sekali lagi- jodoh saya dengan SMAW. Dari guru bahasa melayu yang digelar 'cikgu' saya menngajar subjek nahu tingkatan empat dan bahasa arab tingkatan 1. Makanan yang amat enak untuk saya kerana bidang sendiri. Sangat seronok. Baru 2 bulan digelar 'ustazah' SMAW  menghadapi masalah pertukaran guru secara besar-besaran. Paling parah, guru bahasa Inggeris ditukarkan dan tinggal seorang sahaja. Maka dengan kepercayaan kepimpinan sekolah, saya diarahkan mengajar Bahasa Inggeris. Dari mengajar Nahu tingkatan 4 dan 5, saya perlu  mengajar bahasa Inggeris tingkatan 1 dan 2. Maka bertukarlah gelaran dari ustazah kepada 'teacher'.

Alhamdulillah, meski sukar pada permulaannya, saya hanya melakukan yang termampu.Saya hanya mahukan yang terbaik untuk pelajar saya. Dan dalam tempoh itu juga, seperti sebelumnya, saya seronok bersama pelajar, menjadi jurulatih nasyid, bola jaring,syarahan, bahas serta forum tanpa mengira bahasa- Inggeris, Melayu atau Arab.

Watak guru saya sedikit sebanyak berubah apabila dilantik sebagai warden asrama. Dari guru yang ceria dan tidak pandai marah (sungguh saya tak pandai marah), saya belajar menjadi lebih tegas. Sebab itulah di asrama, pelajar takutkan saya kerana ketegasan saya dan keseriusan saya. Dari zaman sekolah lagi, saya memang pelajar yang 'skema' dan amat menitikberatkan disiplin. Maka apabila ditaklif menjadi warden, perkara-perkara yang melibatkan disiplin menjadi perkara yang amat saya titikberatkan. Kecut perut pelajar kalau saya dah mula naik angin. Namun situasi ini tidak lama. Saya tinggalkan bumi SMAW dengan seribu kemanisan bergelar ustazah dan teacher untuk mengejar impian.

Mendapat tawaran mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dalam bidang bahasa Arab adalah satu perkara yang amat saya  nantikan. Saya telah rasai pengalaman menjadi guru dan saya tahu saya masih kekurangan ilmu untuk menjadi guru yang baik. Saya berazam, saya ingin menuntut ilmu lagi untuk menjadi guru yang bagus untuk pelajar saya. Apatah lagi- bidang yang ditawarkan adalah bidang 'jiwa' saya. Maka sepanjang tempoh DPLI, saya tidak main-main. Saya bersungguh-sungguh. Saya ingin menghadam betul-betul apa yang saya pelajari. Saya memberi komitmen 150% untuk DPLI lalu. Dan hari ini, usai pengajian DPLI, saya rasa kepuasannya. dan saya bersedia menjadi guru yang bagus dengan izin Allah.

Guru. Itulah jiwa saya. Saya ingin menjadi guru yang baik. Dengan izin Allah, satu masa nanti saya ingin mendidik pula bakal guru. Cinta saya pada pelajar, persekitaran sekolah, bau padang dan kantin, suasana kelas, telah tumbuh dari dulu. Ini bukan pilihan terakhir, tapi pilihan untama sebelum saya melakar impian yang lebih tinggi, Insya Allah.

Mengapa memilih profesyen keguruan? Itu soalan lazim dalam temuduga guru. Apa jawapan anda? Untuk saya, cukuplah jawapan ini:

Inilah 'jiwa' saya. Mendidik dan dididik.
Mudah-mudahan tiap ilmu yang dicurahkan, jadi saham di sana. Ya Allah.. moga kami semua menjadi guru yang memaksikan ikhlas dalam diri untuk memajukan anak bangsa.

SELAMAT HARI GURU
TERIMA KASIH BUAT SEMUA GURU SAYA
JASA DAN BUDI KALIAN TAK TERHINGGA

Emak guru pertama saya
Abah -ayahku guruku jua, qudwah guru yang sabar
guru-guru Sekolah Rendah Agama Al-Mukmin- saya teladani keikhlasan anda, mendidik tanpa mengharap balasan kerana kalian mendidik dalam serba kepayahan
guru-guru SMA Al-Wosto dari dulu hingga kini- saya sanjungi budi dan jasa kalian membentuk diri saya di zaman krisis identiti
Pensyarah Matrikulasi UIAM
Pensyarah IRKHS UIAM + UIAM ( 2 fasa saya di sana)
Pensyarah Institut Pendidikan UIAM- kembara DPLI membantu saya mengejar impian menjadi murabbi

Buat ayah, abg long, en tunang dan semua rakan-rakan bergelar guru
Moga kita semua sentiasa menjadi guru yang berusaha meمahirkan pelajar yang lebih bagus dari kita Insya Allah..

بارك الله فيكم جميعا

Wednesday, March 17, 2010

pindah...

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wahai Allah yang memegang jiwaku, berilah kekuatan dan semangat menerukan hari-hari di hadapan...

Salam buat semua.. dah lama saya tidak menulis. Idea ada, cuma nak menaip itu yang susah. Malas. Mm.. Cerita apa ya? Refleksi praktikal bukan, yang itu akan disambung kemudian. Mungkin kali ini entry ini lebih bersifat peribadi, coretan tentang diri.

Alhamdulillah, latihan amali telah tamat untuk pusingan pertama. Cuti sekolah dan latihan amali pusingan kedua akan bermula isnin nanti. Yang menunggu adalah latihan untuk syarahan agama Majlis Tadarus Quran daerah Gombak yang dijadualkan sabtu 27 Mac 2010.

Baru-baru ini, saya berkesempatan menghadiri MASISUPA (Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Agama Pahang) yang berlangsung di Mahad Sultan Ahmad Shah, Jengka. Yang menggembirakan adalah pertemuan dengan guru-guru dan anak-anak murid saya. Terutamanya berjumpa dengan Ustaz Muhaamd Rajaie Al-Gibaly. Dia guru Bahasa Arab yang dibawa JAIP dari Mesir. Memulakan tugasnya pertama kali di SMAW pada tahun 1999.. mengajar bahasa Arab. Sepenuhnya Bahasa Arab. dan saya yang mewakili sekolah dalam syarahan B.A mendapat didikan beliau.

Amat berbesar hati beliau masih mengingati saya. dan kami berbual dalam Bahasa Arab, dia gembira kerana BA saya masih bagus katanya. Dan beliau amat teruja mendengar khabar saya sedang menyiapkan tesis dalam B.A.. beliau sendiri sedang melanjutkan pelajaran peringkat PHD di UM. Beliau juga amat teruja mendengar kisah 'kami'. dan pastinya doa dari beliau itu diaminkan penuh pengharapan.

Minggu ini, minggu terakhir saya di UIA. Hampir 7 tahun bermukim di sini, atas sebab-sebab tertentu, meski tugas di sini belum selesai, saya terpaksa pindah, keluar dari kampus ini. Berat juga nak melangkah.. cinta dan jiwa saya amat sebati dengan udara kampus ini. Yang pasti, selepas keluar dari perut kampus ini, tidak akan kembali lagi. Kalau ada rezeki (siapa tahu, jodoh saya dengan UIA kuat)..mungkin akan datang untuk episod-episod lain dalam kehidupan akan datang pula.

okla, tidak tahu ingin menulis apa lagi. Refleksi Praktikal akan saya coretkan kemudian. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan.

الله المستعان

Friday, January 01, 2010

berganti tahun..

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah.. masa diberiNYA ruang bernafas.. Entry ini mungkin lebih kepada kesimpulan sepanjang tahun..
Alhmdulillah atas tiap nikmat yang dikurniakanNYA dalam hidup..Tiap pahit dan manis itu, hanya DIA mengetahui hikmah setiap sesuatu..dan hanya DIA yang tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA..

2009..1430..

Awal tahun, dunia saya banyak berkisar tentang kehidupan sebagai guru sandaran di SMA Al-Wosto.. Alhamdulillah, berkesempatan pulang ke sana, memberi setakat termampu.. Melalui hari-hari yang indah di daerah yang tenang itu, melayani kerenah anak-anak murid. Menjadi warden mematangkan diri dengan pelbagai ragam dan masalah. Menambah pelbagai kemahiran. Alhamdulillah. Banyak sangat yang dipelajari. Ukhwah dengan guru-guru saya dulu dan guru-guru SMAW kini juga menjadi kenangan indah buat saya.

Dari penghujung Jun, dunia saya kembali bergelar pelajar. Menyambung pelajaran mengikuti kursus perguruan (DPLI) di bumi UIA juga, saya kembali menjai pengembara ilmu. Ini bukan pilihan terakhir tetapi adalah pilihan pertama. Sebab sesungguhnya masih terasa kerdil ingin menjadi pendidik tanpa ilmu di dada. Alhamdulillah, banyak sekali yang saya pelajari. Bertemu rakan-rakan dan pensyarah baru, saya bersyukur dengan peluang ini. Semuanya menambah azam menjadi murabbi yang berjaya insya ALlah.

Yang pahit untuk dikenang, namun tiap yang berlaku pasti ada hikmahnya..Hampir 5 bulan, kami diuji apabila adik lelaki saya sakit. Sepanjang tempoh itu, tiap-tiap minggu saya akan pulang ke rumah. Apa lagi yang lebih penting selain keluarga? Ada imbasan yang langsung tidak mahu saya ingat kerana amat pilu hati ini bila mengingatkannya. Namun tiap berlaku pasti ada hikmahNYA, mengajar kita sabar, redha, mengingati DIA selalu dan mengeratkan kasih sayang keluarga..Alhamdulillah.. Menjelang Aidiladha lalu, sebelum Abah berangkat ke  Tanah Suci, dia beransur pulih. Alhamdulillah, tak terluah kesyukuran ini. Sesungguhnya tidak ada daya dan kuasa melainkan dari Engkau Ya Allah.

Kehilangan dan kejauhan meningkatkan kasih sayang. Itulah yang terjadi apabila adik saya Izzati menyambung pelajaran ke Jordan 3 Syawal lalu. Di tengah kesakitan adik di rumah, melepaskan dia pergi jauh dari kami bukanlah mudah. Semuanya memerlukan keteguhan hati. Keadaan sama berlaku apabila abah menyahut seruan haji. Kami berpisah dengannya, perpisahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Maka Aidiladha lalu, rumah kami sunyi sepi.. Alunan takbir dari kaca TV dipasang untuk menghidupkan suasana.Kepulangan Abah kami sambut penuh kerinduan dan kesyukuran. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan untuk Abah di sana.

Penghujung 2009 dan awal 1431, membuka lembaran baru dalam hidup dan saya perlu bersedia untuknya...

Cuti-cuti Malaysia:
Berkesempatan bercuti ke Cameron mengikuti rombongan persatuan Bahasa Inggeris, percutian ke Tioman bersama rakan-rakan COMRADE dan seterusnya ke Pangkor, kursus+cuti bersama rakan-rakan DPLI. Alhamdulillah, menghargai alam indah ciptaan Allah, manifestasi keagunganNYA.

1431: 2010

Melihat tarikh yang bertukar menjadi 2010, degupan jantung menjadi kuat. Banyak perkara baru dirancang tahun ini, banyak lembaran baru akan dibuka. Moga Allah permudahkan semuanya Insya Allah.

Menghabiskan tesis
Memulakan praktikal
menamatkan DPLI
menamatkan MA
menamatkan zaman bujang

majlis peribadi (kecil-kecilan) di awal tahun, di tengahnya akan menghadiri 2 majlis graduasi (MA &  DPLi) dan majlis peribadi (the big one) di penghujungnya.. Tolak Januari dan Disember, ada 10 bulan yang akan membuatkan jantung saya berdegup kencang. dan pastinya semua itu bukan mudah..

Bukan mudah menamatkan pengajian DPLI- masih ada assignment,exam,praktikal untuk dijayakan
bukan mudah menamatkan MA- tesis yang masih berbaki perlu disiapkan
bukan mudah menamatkan zaman bujang- persediaan mental,fizikal,ilmu yang perlu disiapkan
dan pastinya untuk semua di atas, melibatkan kos RM juga ;-) 

semuanya memerlukan persiapan.. dan semuanya, hanya dariMU aku memohon, permudahkanlah untukku Ya ALlah

Cuti2 Malaysia:
Awal tahun ini, minggu hadapan Insya Allah akan ke Sarawak, percutian keluarga sempena menghadiri pernikahan staf emak. Yang lain ada beberapa percutian dalam perancangan. Yang pasti bukan di 10 bulan yang di pertengahan tahun ini kerana di situ, amat banyak tanggungjawab menanti.

Demikian konklusi peristiwa untuk tahun sebelum ini. Azamnya, apapun yang mendatang, moga makin bertambah kehambaan ini padaMU...


Anda bagaimana?

Tuesday, November 17, 2009

selamat menghadapi peperiksaan

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Entry in khusus buat adik tersayang- Nurul Syuhada yang akan memulakan peperangan SPMnya esok. Semoga dapat menjawab dengan tenang.Ngah doakan kejayaan Kak Chik,Insya Allah.

Juga buat anak-anak di SMA Al-Wosto, moga kalian dapat lakukan yang terbaik. Dari jauh,ustazah doakan kejayaan kalian.

Allahumma Yassir lahum..

Saturday, October 10, 2009

Kenangan Indah di Aidilfitri

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam Aidilfitri.

Rasa bersyukur sangat dapat meraikan Aidilfitri hari ini dengan penuh kenikmatan.
me and my lovely Ika and Aisyah
1 Syawal

Selepas bermaafan sesama keluarga, kami menyiapkan juadah istimewa untuk kenduri kesyukuran merangkap Rumah Terbuka kami. Selepas Asar, kenduri kesyukuran bermula. Kenduri ini sempena keberangkatan adik saya yang ke -5 Izzati ke Jordan pada 3 Syawal kelak. Alhamdulillah, ramai sanak saudara dan rakan taulan berkumpul di rumah. Terasa ukhwah itu amat indah.Malamnya, sahabat sejati saya dari Mukmin datang- Fairuza, Fatimah dan Nawwar

2 Syawal

Duduk di rumah melayan tetamu yang tidak putus-putus berkunjung.

3 Syawal

Awal pagi lagi kami ke Kuantan. Izzati akan berlepas ke Jordan. Perjalanan Kuantan-KLIA-Doha-Amman akan bermula petang nanti. Petang itu, air mata kami sekeluarga tumpah di Lapangan Terbang Kuantan melepaskan dia memulakan kembara ilmunya sebagai siswi di University of Yarmouk, Irbid dalam bidang Ekonomi Islam. Selamat bermusafir menggali khazanah ilmu, moga kembali dengan ilmu sarat di dada buat agama dan nusa
Me, Izzati and si Bongsu Yani
Family picture with red nose ;-) tarikh salah set pulak..
5 puteri mak n abah.. look like i'm the youngest ? ;-)
4 Syawal

Di rumah. Melayan tetamu. Rakan-rakan sekolah berkunjung ke rumah

5 Syawal

Di rumah lagi. Masih ramai tetamu berkunjung. Sahabat saya Eibe datang bersama anak dan suami

6 Syawal

Selepas Asar- mengunjungi keluarga sahabat saya Fatimah di Temerloh. Diikuti ziarah Dr Sarah yang bertugas di Hospital Temerloh. Sahabat saya ini baru pulang dari Moscow dan baru memulakan housemanship di hospital tersebut. Tiada cuti raya buatnya maka saya dan adik membuat ‘lawatan mengejut’ ke hospital. Seterusnya kami ke rumah guru saya ketika sekolah rendah- Ustaz Osman.
beraya di hospital bersama Dr Sarah
7 syawal

Ziarah ‘istimewa’ sebelum menghadiri 2 majlis kenduri kahwin.

1) Kenalan di Felda Purun

2) Sahabat sekelas saya di SMA Al-Wosto Rafidah di Felda Triang 3. Tahniah kak long (Rafidah) dan suami
Dapat berjumpa ramai Wostorian. Dan kami menyambung ziarah ke rumah kawan-kawan yang berdekatan
antara wostorian yang dapat bertemu hari itu... Safawati dah 2 anak..

8 Syawal

Kenduri kahwin 2 sahabat sekelas saya- Hasnah dan Sidek.Mereka berdua 'mengejutkan' kami kerana tak ada angin, tiba-tiba kad undangan diterima.. Ketika rombongan pengantin sampai, kami beramai-ramai beratur menyambut.. rasa terharu tengok tangan Sidek memimpin tangan Hasnah.. Berseri-seri.. Ramai sekali wostorian batch kami berkumpul. Yang dah berumahtangga datang bersama suami/ anak-anak. Meriah sungguh. Cikgu Zaki turut hadir.


Antara wostorian yang hadir..

Kemudiannya kami berkonvoi menziarahi rakan-rakan yang berdekatan. Alhamdulillah seronok dapat berjumpa rakan-rakan zaman sekolah. Sebahagiannya tidak saya jumpa sejak 9 tahun lalu! Alhamdulillah. Amat manis pertemuan ini. Moga Ukhwah berpanjangan.

2 'beg susu' yang mengiringi konvoi kami.. kerana 2 dari ahli rombongan sudah mempunyai anak.. akan bertambah mungkin beg seperti ini dalam konvoi tahun depan dan tahun akan datang? :-)

Tuesday, June 30, 2009

perpisahan1

بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

beberapa gambar sekitar majlis perpisahan saya dan beberapa orang guru SMA Al-Wosto.. 25 Jun yang lalu adalah hari terakhir saya di sana. Perlu pergi untuk meneruskan langkah dalam perjalanan hidup.. buat semua warga SMAW, terima kasih atas segalanya.. Bumi Al-Wosto akan terus segar dalam lipatan kenangan saya.. buat guru-guru saya, yang dari dulu hingga kini tidak pernah jemu memberi kata semangat, budi kalian hanya Allah mampu membalasnya..

Al-Wosto.. tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermanja..


Majlis Perpisahan
Ust Suhaimi- bertukar ke SMA Al-Khairiah
Ust Bihe- Bertukar ke SMA Al-Attas
Cikgu Hapidah- Melanjutkan pelajaran ke peringkat Master (tajaan KPM)
Cikgu Nur Atikah- ???
Beberapa orang guru yang amat banyak jasanya.. baarakallahu fiikum

Saya menyampaikan ucapan perpisahan
Ketawa mereka.. Lucukah ucapan saya? ;-)

Thursday, March 26, 2009

coretan seorang pendidik

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Sudah lama saya tidak meninggalkan coretan di rumah ini. Dihambat waktu dan pelbagai tanggungjawab, sungguh saya rindu mencoret sesuatu di rumah ini. . Mungkin selepas tidak lama menulis, yang terkini adalah tentang kehidupan selaku seorang pendidik. Bersama catatan ini, disertakan beberapa gambar kenangan:

RENTAS DESA & SUKAN ILMIAH SEKOLAH 2009

Saya guru penasihat rumah kuning. Alhamdulillah, tahun ini rumah kuning menjadi johan rentas desa, juga johan acara ilmiah justeru menjadi johan keseluruhan pertandingan sukan SMA Al-Wosto tahun 2009 .


Antara peserta larian rentas desa rumah kuning bersedia sebelum larian....


Astaka padang..



Larian rentas desa @ bersiar-siar?

Antara yang 'pancit' di pertengahan larian dan diselamatkan menaiki kereta guru.. Malu yer?


Malam Bersamamu Palestin anjuran HALUAN
Kutipan Derma untuk Palestin


MASISUPA PERINGKAT ZON 2

Sma Al-Wosto menjadi tuan rumah. Secara keseluruhannya, prestasi tahun ini sederhana sahaja. Sukan dan ilmiah diungguli SMA Al-Ihsan. Dalam zon 2, terdapat 5 buah sekolah- SMA Al-Wosto,SMA Al-Ihsan,SMA Al-Ittifaqiyyah Guai,SMA MAran dan SMA Chenor. Untuk peringkat zon, saya menjadi pengerusi teknikal bagi acara bola jaring. 1 pengalaman baru. Thanks Allah for this great opportunity and new knowledge for me. Mujur Cikgu Hapidah (S/u sukan sekolah) dan Ustazah Majidah banyak membantu dari hal menguruskan padang, pelantikan pengadil hinggalah penyediaan jadual perlawanan. Alhamdulillah, tanpa sebarang masalah, acara bola jaring berjalan lancar.

Prestasi pasukan saya pula dalam peringkat zon- Pasukan menengah (tingkatan 3-5) menjadi johan. Dalam format liga, mereka memenangi semua perlawanan. Pasukan Rendah (tingkatan 1&2) pula menjadi naib johan, tewas 1 perlawanan ketika menentang SMA Al-Ihsan, dengan 10-11. Namun saya bangga dengan semangat juang mereka yang tidak kenal erti mengalah sehingga tiupan wisel terakhir.

Pasukan Bola Jaring Menengah dan Rendah, bersama jurulatih dan pengurus pasukan
HATI MESTI KUAT: IBRAH DARI PERLAWANAN BOLA TAMPAR

Pasukan bola tampar perempuan melangkah ke final menentang SMA Chenor. SMA Chenor menggungguli acara bola tampar peringkat pusat 5 tahun berturut-turut. Johan menunggu yang sudah 5 tahun memegang takhta bola tampar perempuan SMA Pahang. Turun sebagai ‘underdog’ ternyata awal2 lagi pelajar saya sudah tewas mentalnya. Sementelahan pula, dalam perlawanan pusingan awal pasukan SMA AL-Wosto (SMAW) telah tewas ‘straight set’ di tangan SMA Chenor (SMAC). Saya turun ke gelanggang memberi kata-kata semangat pada pagi itu. Perlawanan sengit. Mata saling berganti. Set pertama SMAW menang 15-12. Set kedua- SMAC tidak mengalah, hingga akhirnya mereka mendahului 14-9. Anak-anak murid saya mula mengelabah. Jurulatih SMAW (Teacher Zaharina) memohon ‘time out’. Hati mesti kuat. Itu pesan kami kepada anak-anak. Akhirnya, satu demi satu mata dikutip hingga akhirnya kedudukan terikat 14-14. Dan nasib menyebelahi SMAW apabila berjaya menyekat kemaraan SMAC dan akhirnya menang 16-14. Set ketiga, keyakinan anak-anak kian meningkat. Tanpa menoleh lagi, set ketiga dimenangi lantas muncul johan menewaskan johan masisupa pusat 5 tahun berturut-turut. It’s a great victory.
Anak-anak, ketahuilah, tiada apa yang mustahil, jika hati kita kuat, tempuhi setiap cabaran dengan kegigihan dan kecekalan, dengan izinNYA, pasti kita akan berjaya.

MASISUPA Zon berakhir dengan baik. Untuk acara ilmiah, SMAW muncul johan acara-acara berikut:
Nasyid Lelaki
Forum
Syarahan bahasa Inggeris Lelaki
Kupasan Hadis Lelaki.

Acara-acara lain kebanyakannya naib johan. Namun prestasi tersebut masih boleh dibanggakan terutama apabila diletakkan satu kumpulan dengan SMA AL-Ihsan, sekolah Bandar dengan jumlah pelajar lebih 1000 orang. Sebagai sebuah sekolah luar bandar dengan jumlah pelajar lebih kurang 400 orang, yang penting adalah semangat mereka bersaing. Saya bangga dengan anak-anak didik saya yang menyertai syarahan bahasa Arab dan bahas Bahasa Arab. Sungguhpun tidak menjadi johan, saya melihat kesungguhan mereka dan semangat mereka.

::keberkatan dan kejayaan sebenar::

Tewas menang adat pertandingan. Menjadi seorang guru, yang paling menggembirakan adalah apabila pelajar mengucapkan terima kasih apabila mereka berjaya. Saat kemenangan beberapa acara, beberapa pelajar datang menunjukkan hadiah mereka seraya mengucapkan ‘terima kasih ustazah’. Malah yang tidak berjaya memohon maaf dan mengucap terima kasih juga.
Anak-anak, itulah kejayaan sebenar kalian. Itulah ciri-ciri kejayaan. Itulah lambang kemenangan, bila kita sentiasa mengingati siapakah di sebalik kejayaan itu. Untuk itu, saya amat gembira, saya percaya anak-anak murid ini di landasan yang betul untuk mencipta kejayaan dalam hidup mereka.
Baarakallahu fiikum jamii'an