Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Friday, October 08, 2010

syawal yang berwarna warni..tak mungkin padam dari memori..


hari bersejarah

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

1 Syawal
Alhamdulillah..disambut penuh kesyukuran..berita posting keluar petang semalam..  akan berkhidmat di negeri tercinta. Allah makbulkan doaku,doa mak dan abah,doa semua. Wan paling gembira bila tahu aku tidak akan jauh dari dia.
Ramadhan amat pantas berlalu.Belum puas menikmatinya. Moga ketemu lagi tahun hadapan. Pasti akan kurindui ketenangan sepanjang Ramadhan.Moga kejayaan 'cas bateri' pada Ramadhan ini akan dapat berterusan..

Pagi raya, kami sekeluarga berkumpul. Terasa kekurangan bila adikku Izzati tidak bersama kami tahun ini. Jangan bersedih sayang, ini jalan menuju kedewasaanmu. Berada di bumi Jordan untuk menyambung pelajaran, tahun ini tahun pertama emak merasa sayu anaknya jauh di mata. Sabarlah semua, perpisahan ini pasti mengajar kita erti rindu dan kasih sayang.

Menyalami emak dan abah di pagi raya,mengucup tangan dan dahi, memohon ampun maaf dan restu. Tahun ini kali terakhir dengan status 'bujang' Insya Allah. Insya Allah meski tanggungjawab kelak akan bertambah, tidak akan diabaikan ayah dan bonda. wajah abah direnung. dalam. garis-garis ketuaan. Ada sayu yang kutebak dalam matanya. berkali dia menyeka mata. menahan sayu.apa yang disedihkan tidak kutahu.Tentang anak-anak pastinya. yang jauh,yang kian dewasa. yang satu persatu akan keluar melangkah ke alam sendiri. seperti luahannya kepada emak di petang akhir Ramadhan itu

"tahun depan, kita puasa dah tak ramai lagi..kak ngah dah kahwin..."

bukan soal 'kahwin' itu..soalnya akan semakin kecil bilangan kami di rumah kerana masing-masing ada tanggungjawab..anak-anak berpergian kerana belajar,bekerja,berkahwin.. Namun emak dan abah, takkan diabaikan kalian..kami anak-anakmu pasti tetap akan kembali ke rumah kita..

Pagi syawal seperti kebiasaannya,usai subuh, kami sekeluarga dan jiran terdekat bertakbir di rumah kami,bertahlil,bersarapan bersama sebelum ke masjid.

Usai solat, saya menjadi 'penunggu' rumah. Emak membawa wan pulang sebentar ke kampung menziarahi sanak saudara dan menziarahi adik wan yang sedang tenat.

Tengahari,mereka semua pulang. Yang memenuhi rumah kami kanak-kanak pastinya. Ada yang datang kali kedua-menjadi pemandu pelancong kepada kawan2 lain. Meriah. Abah sibuk melayan mereka,adakalanya mengenakan 'tol' membaca Al-Fatihah jika ingin duit raya untuk kanak-kanak tersebut.

Malam- sahabat sejatiku (Fatimah-newly weds) datang berziarah bersama suami dan adik-adiknya.Bercerita kisah terkini, mengimbau kisah lalu. Ukhwah yang merimbun kita lestarikan..

2 Syawal
Seawal pagi,saya menyediakan puding. Ada tetamu istimewa akan berkunjung. Kegemaran dia. Buat dalam kuantiti yang banyak,hidangan untuk semua tetamu hari ini.

Tetamu pertama,rakan sekerja emak dari Kuantan sekeluarga. Diikuti adik-adik junior Mukmin..Dr Sarah,Faezah,Mahfuzah dan suami. Moga Allah merahmati kalian atas usaha mengeratkan silaturrahim ini. Kepulangan mereka diikuti kedatangan abang Azam sekeluarga. Jiran kami di kampung.Mak dan ayahnya sudah tiada, rumah di kampung juga telah dia dan kami tinggalkan tidak berpenghuni. Lalu dia menziarahi kami di sini.

Tidak lama selepas itu,tetamu istimewa saya sampai, bersama adik-adik dan anak-anak buahnya. Baru mengambil sila, keluarga dari Pekan sampai. 3 kereta. Adik ipar wan dan anak-anak serta cucunya. Rumah bagai diserang. Penuh segala ruang.Tak menang tangan dibuatnya. Alhamdulillah,hidangan puding tadi dapat dirasa semua.

Sebaik semua pulang, saya,emak dan abah serta adik ke Lanchang, rumah cikgu saya dulu. Anaknya akan ke Jordan esok,lalu kami berkirim juadah raya buat Izzati. Maghrib itu, kami kemudiannya ke Kuala Kaung.

Wan De-adik wan. sedang menempuh sakarat penghujung usia. Sakit. Dia menanggung.kita melihat dan turut merasainya.Namun hanya dia tahu sejauh mana kesakitannya. sSrah yasin dibaca beramai-ramai. Hisnul Muslim saya buka. Doa untuk pesakit yang menghadapi sakarat saya baca. Ya Lathif, ulthuf bina. Kegelisahannya membuatkan kami juga resah. mata terpejam erat,hanya tangan sekali-sekali tersentak menahan sakit. Allahhumma hawwin 'alaina si sakaraatil maut. Surah Ar-Ra'd, Penghujung Surah As-Sof dan Surah Surah Al-Hasyr diulang. Masih dia resah. Sakitnya sakarat itu. Saya menginsafi diri. Allahumma Yassir Ya Allah...

Malam kian larut. Kami beransur pulang.Emak tidur di sana. Sepanjang perjalanan pulang,saya berbual dengan abah,menemaninya memandu. 12.30 malam. kami tiba di rumah. menamatkan hari raya kedua yang berbagai-bagai rasa. gembira,tenang,sejuk hati,jenaka,meriah,gelisah dan resah. Moga mentari 3 syawal esok menjanjikan yang terbaik untuk semua.

3 Syawal
Paginya saya di rumah..menerima jemputan dari jiran untuk rumah terbuka.maknanya tak perlu memasak.namun hidangan untuk wan tetap disediakan. Siap memberi wan makan, saya dan adik-adik ke rumah jiran kami- mak cik kinah. jiran yang akrab dengan kami. Hidangan istimewa hari tu.Kalau sebelumnya,saya agak kurang makan. kali ini tak mampu menolak. Rendang pelanduk, Gulai lemak ikan kelah, burung punai goreng. Semuanya menggoda untuk dirasa. Makan dengan berselera sambil melayan keletah Ika, Aisyah dan Mifzal- anak-anak saudara yang comel.
anak-anak saudara yang keletah. Sayang Mak Ngah!
Selepas maghribnya, berjanji dengan mak cik kinah dan keluarga untuk berkunjung balas ke rumah kami. maka petang itu saya dan mak ke bandar membeli barang. menu malam nanti Mi Tomyam. Usai maghrib, saya sibuk memasak, mak dan abah pula ke Kuala kaung,malam ini akan diadakan bacaan yasin untuk Wan De untuk kesekian kalinya.

Di luar,hujan turun dengan lebatnya.Kilat sabung menyabung. Hidangan sudah tersedia namun tetamu belum kunjung tiba. Rezeki kami, Jiran belakang rumah datang, Medan dan isteri serta anaknya Fahri. Mi Tom yam rezeki mereka. Tidak lama kemudian, anak saudara mak pula datang sekeluarga. Alhamdulillah,murah rezeki. Mi Tom yam dimasak untuk kali kedua.

Sedang sibuk di dapur, saya menerima panggilan dari mak. Wan De telah pergi untuk selamanya. Mak meminta saya mengkhabarkan pada wan tentang pemrgian adiknya itu. Saya memandang wan dari dapur, dia sudah bersiap untuk tidur. Menghela nafas panjang, saya cuba untuk tnangkan diri supaya dapat mengkhabarkan pada wan dengan tenang juga. Alhamdulillah, wan tenang menerima pemergian adiknya lebih dulu dari dia.

Tetamu kami tiba lagi. Penuh rumah. walau menerima berita sedih,tetamu yang datang tetap perlu dilayan, sebaik mereka pulang, saya tidur kepenatan. Menanti hari esok.

4 Syawal

Usai sarapan, saya,mak abah dan wan terus ke Masjid Kuala Kaung. Ramai saudara mara telah berkumpul di sana. Saat  tiba, jenazah sedang dimandikan. Saya membantu menyediakan kain kafan. Usai dimandikan, dikafankan dan solat. Bakti terakhir seorang cucu. Saat penghormatan terakhir, wan menolak untuk mencium adiknya lantaran air mata yang tak henti mengalir. Dia hanya mengusap-ngusap wajah jenazah.

"adik,pergilah dulu.."

kata wan dalam nada sendu. Saya kemudiannya mengucup dahi dan pipi arwah. saya sayangkan dia. Amat sayang..Alhamdulillah, urusan pengkebumian berjalan lancar dan dipermudahkan.

Mengiringi jenazah hingga ke kubur, hingga usai ditalkinkan. kemudian kami ke jambu Rias, rumah Aki Teh- satu-satunya adik wan yang masih ada. Semasa ingin ke kubur tadi, wan dihantar ke sana. Lalu kami ke sana mengambil wan semula.  Sampai di rumah tengahari itu,kami berehat melepas lelah.

Malamnya, kunjungan rakan-rakan Mimi diterima, 2 buah kereta junior-junior sekolah berkumpul. Mengimbau memori lama. Alhamdulillah, murah rezeki semua Insya Allah.

7 syawal/16 september
Kami sekeluarga ke Triang,kali ini ke rumah bakal keluarga.  Pertama kali buat mak dan abah menjejakkan kaki ke rumah bakal besan mereka. Saya gembira menghubungkan dua keluarga. Bukan hati kami sahaja. Tapi hati-hati seisi keluarga.Itulah hikmah dan anugerah yang saya harapkan dari hubungan ini. Anugerah ukhwah dan kasih sayang sesama insan. Wan juga bersemangat nak ke sana. Dalam usia 97 tahun, dia jarang berjalan jauh, jarang mahu kemana-mana.Namun kali ini, bersemangat nampaknya. Dari pagi mengenakan sepasang baju kurung- kain pasang yang dibeli menantunya di  Mekah-. Jarang dia ingin berbaju kurung sepasang begitu. Selalunya hanya memakai baju dan berkain batik.

saya dan Wan yang sudah berusia 97 tahun
Perjalanan yang memakan masa hampir 2 jam ternyata meletihkan buat Wan. Namun dia tetap ceria. Sampai di Bukit Puchong, kami dihidangkan makanan tengahari yang enak. Sempat juga menjolok buah rambutan di belakang rumah buat bekalan pulang. Seterusnya kami ke rumah kakak abah di Sg Kemahal. Ikutkan hati, mahu beraya lagi namun kelihatannya wan sudah tak mahu ke mana-mana lagi. Nak balik ke rumah. Maka kami turutkan. Kesian melihatnya sudah keletihan, tak terikut rentak kami.

10 syawal/ 19 september
Hari terakhir cuti sekolah. Adik-adik sudah mula berkemas untuk pulang ke asrama. Saya membungkus kuih raya yang masih ada untuk mereka bawa pulang. Sempat juga membakar Kek Coklat lembab. Lalu diisi dalam beberapa bekas untuk adik-adik. 

Hari kian tengahari. Kesibukan di dapur membuat saya leka. Zohor kian menginjak. Lalu saya ke bilik air,ingin membersihkan diri untuk  solat.

Baru menutup pintu bilik air, saya terdengar suara adik lelaki saya

“mak, bilik abg terbakar” cemas.

Saya keluar dari bilik air. Terdengar suara emak menjerit meminta tolong. Saya cemas. Berlari ke hadapan,api kian marak dari bilik hadapan rumah. Saya cuba keluar melalui pintu hadapan. Asap yang berkepul menghalang. Hiruk pikuk. Hingar bingar.

Emak menjerit meminta tolong. Saya keluar mengikut pintu dapur. Hanya sempat mencapai tuala menutup kepala. Menarik laptop dan telefon bimbit dari bilik. Laptop itu nyawa saya. Tesis Master saya yang sudah siap diedit di dalamnya. Saya memanggil adik-adik yang lain,keluar dari pintu belakang. Di tengah kekalutan, saya teringat untuk menelefon bomba. Nombor bomba didail. Saya keluar dari rumah bila melihat asap yang kian berkepul memenuhi segenap ruang rumah.

Segalanya seperti mimpi. Tindakan pantas jiran tetangga membantu memadamkan api dari terus marak. Tiada yang cedera. Namun rumah kami perlu dipotong pendawaian elektrik. Rumah sebelah sana. (rumah kami rumah teres, rezeki  lebih Alhamdulillah jadi mak dan abah beli 2 pintu). Rumah yang sebelah sana itu hitam legam dek jelaga. 1 bilik tidak dapat diselamatkan. Katil,almari,buku dan pakaian di dalamnya hangus. Buku Amran Munawar- adik lelaki yang akan menghadapi PMR juga terkorban.Ujian.Ujian.

Penat yang amat. Longlai rasanya berdepan tragedi. Bilik saya selamat dan tidak terkesan kerana terletak di belakang. Saya cuba bertenang. Mandi,solat. Usai solat tatkala sujud, saya menangis semahunya. Saya mengadu pada DIA agar segala-galanya pulih seperti biasa. Saya mohon kekuatan berdepan ujian.



rumah dikuarantin bomba

bantal dan cadar yang dibeli untuk majlis nanti..mujur masih boleh diguna

jelaga

mentol lampu pecah dek kepanasan asap

kesan kebakaran

quran yang terselamat


suis.. cair...


sampin sekolah adikku- separuh terbakar

tiang katil menjadi arang


songkok sekolah Munawar..

semuanya perlu dicat semula



Sejak hari tu, rumah kami tidak henti-henti menerima kunjungan saudara mara,rakan taulan mak dan abah. Memberi sumbangan,menghulur kasihan. Semuanya akan kami kenang. Jiran-jiran ternyata banyak membantu. Pasca kejadian, rumah perlu dicuci. Pakaian juga,semuanya perlu dicuci kerana jelaga dan debu kebakaran. Maka jiran-jiran baik hati membantu. Sebuah rumah mengambil 2 3 bakul pakaian untuk dicuci di rumah mereka. Ya Allah, tak mampu kami balas jasa mereka. Berkatilah mereka Ya Allah.
                                                          
Sejak itu juga, saya cuma ada seminggu. Seminggu yang amat sibuk. Kejadian berlaku 19 hb. Isnin berikutnya- 27hb saya perlu melapor diri untuk mula bertugas  sebagai guru. Di hati terselit kesyukuran kerana tempat lapor diri cuma 15 minit dari rumah. Namun saya masih bimbang. Bagaimana jika saya dihantar ke daerah yang jauh dari rumah? Pahang ni amat luas. Untuk  itu, saya harus bersedia. Dan persediaan utama saya bukanlah persiapan untuk ke sana. Tetapi persediaan untuk mereka yang akan saya tinggalkan. Rumah ini yang masih berkabung, rumah ini yang masih huru-hara perlu saya kemaskan.

Maka seminggu itu amat memenatkan. Mencuci pakaian segala, (semua pakaian terkena debu kebakaran,perlu dicuci bagi kesihatan), mencuci rumah dari lantai hinggalah ke syiling!. Namun kesan hitam itu takkan hilang melainkan dengan cat. Yang itu boleh dikemudiankan. Yang penting, mengemas rumah dahulu.

15 Syawal/26 september
Berat hati saya nak mengemas barang-barang. Namun saya perlu bersedia. Kalau saya dihantar ke sekolah luar daerah Temerloh, saya akan berpindah. Taklimat penempatan berakhir selasa petang. Selasa petang saya perlu bergerak ke daerah itu. Daerah yang belum diketahui. Saat ini, saya hanya mohon ditempatkan dekat dengan rumah. Sebab amat berat hati meninggalkan keluarga dalam keadaan begini.saat saya mengemas barang, emak berkata bahawa dia berharap barang-barang yang saya kemas itu akan kembali semula ke rumah. 

Maknanya, dia mengharapkan saya ditempatkan di sekolah yang dekat dengan rumah. Saya hanya tersenyum. Saya tidak mahu terlalu berharap. Ditempatkan di negeri sendiri sudah cukup baik bagi saya. Dan saya sedia berkhidmat di mana-mana sahaja. Namun saya faham hati ibu,lebih-lebih lagi di saat begini,dia tidak mahu saya jauh.

16 Syawal/27september
Permulaan langkah saya sebagai murabbi. Berkenalan dengan kawan-kawan baru. Sejumlah 202 orang guru yang baru ditempatkan di sekolah menengah harian seluruh Pahang berkumpul di Hotel Green Park,Temerloh untuk  melapor diri dan taklimat penempatan.  Semua datang dengan tanda tanya dan persoalan yang sama.. di manakah akan ditempatkan.. ? 11 daerah di Pahang menanti.. 

Taklimat demi taklimat, slot demi slot. Semuanya banyak membantu menaikkan semangat  selepas hampir 5 bulan ‘terperam’ semangat murabbi ini di rumah.

Slot malam itu istimewa.  Disampaikan Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang. Banyak pengalaman yang saya kutip. Banyak ilmu dan hikmah yang dikongsi. Beliau sebenarnya pernah sekelas dengan Abah ketika di SMART Kuantan. Guru melayu yang pertama menerima anugerah guru cemerlang matematik.  Sungguhpun dia  ‘orang lama’ namun idea dan gagasannya malar segar merentas zaman. Rasa bertuah dapat mengutip mutiara-mutiara ilmu dari seorang murabbi ummah.  Loghat pahangnya yang pekat sekali sekala membuat saya tersenyum mengingatkan uniknya bahasa yang jarang digunapakai sekarang.

antara slot yang disampaikan

bandar Temerloh dari Hotel Green Park

17/28 september
Hari yang ditunggu. Saya memakai baju batik Sarawak, buat pertama kalinya memakainya.  Hari istimewa, akan menerima watikah pelantikan dari Pengarah pelajaran Pahang. Persoalan yang akan terjawab. Semalam saya mendapat  khabar angin tentang penempatan saya. Mungkin di daerah Bentong.Mungkin.belum pasti lagi. Untuk itu saya hanya menunggu kepastian,sungguhpun dalam hati sudah terbit bahagia jika itulah kenyataannya. Bentong daerah kelahiran saya. Dekat dengan saudara mara. Dekat juga dengan rumah bakal mertua. Sudah terselit kesyukuran dalam hati. Namun masih menanti yang pasti.


Tengahari itu, saat nama dipanggil,saya kehadapan,menuju pentas dengan tenang. Sempat ditanya pengerusi majlis  soal opsyen sebenar kerana kekeliruan  KPM meletakkan opsyen bahasa Inggeris di borang penempatan saya. Sempat juga diusik tentang status belum berkahwin itu. Lalu saat kembali ke tempat duduk,saya masih terpinga-pinga. Hingga di Tanya rakan sebelah, baru saya teringat membuka surat penempatan.

SMK Bera,Triang.

Berulang kali saya membaca. Bera? Triang? Alhamdulillah. Lafaz spontan diucap tanpa ada apa2 perasaan. Saya terus menaip di telefon bimbit nama sekolah terbabit. Menghantar kepada bonda tercinta dan tunang. Really? Balas tunang sepatah, tidak percaya. Bonda pula berdiam seketika.

Saya sendiri tidak percaya. Namun saya percaya,inilah yang terbaik untuk saya dari DIA. Jika Bentong dekat dengan rumah dan dekat dengan rumah bakal mertua, sekolah yang saya ditempatkan disitu ini sebenarnya lebih dekat dengan kedua-dua rumah tersebut. Sementelahan tunang bakal ditempatkan di kampungnya, maka saya sesungguhnya tahu bahawa semua ini adalah kekuasaan dan kehendak Allah jua, yang membuka jalan untuk saya dan memudahkan urusan saya. Dekat dengan bonda dan ayahanda, dekat juga dengan bakal mertua. Maka saat itu saya tahu, Allah telah mengabulkan doa saya selama ini. MAha suci Engkau Ya Allah!!



mengambil surat penempatan dari Pengarah Pelajaran Pahang

18 Syawal/29 September
Hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah. Saya rasa tenang sebaik sampai. Saya percaya, inilah sebaik-baik tempat yang saya mohon dariNYA selama ini. Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segalanya. 

Alhamdulillah. Sebaik menjejak kaki,melihat persekitaran,budaya dan segalanya pada pandangan pertama dan tanggapan awal ini, kesyukuran di dalam hati bertambah. Dari pagi,saya sibuk menguruskan segala jenis borang yang perlu diisi.

Petangnya, usai urusan pendaftaran,saya membersihkan rumah yang bakal diduduki. Tunang datang bersama ibunya dan anak muridnya membantu membersihkan rumah. Syukur sangat. Sebenarnya saya amat letih. Seminggu menguruskan rumah yang terbakar,bersiap dan melapor diri. Bantuan yang datang amat banyak membantu.

Malam itu, saya ke rumah ibu saudara bersama mereka,mengambil barang-barang yang saya tinggalkan di sana semalam untuk dibawa ke rumah baru saya. Usai solat maghrib, telefon bimbit saya berbunyi. No telefon UIA. Saya menjawab. Khabar gembira. Konvo DPLI minggu hadapan, saya akan menerima Anugerah Pelajar Terbaik DPLI pengkhususan Bahasa Arab. Syukur sangat-sangat. Di luar hujan turun mencurah-curah. Seperti hati saya. Menangis kesyukuran.  Saya lantas menelefon emak memaklumkan, disambut dengan gembira olehnya.
.

another great day in my life.

green card- VIP Card

mencuba jubah konvo
25 syawal/4 Oktober
Hari istimewa. Konvo kali kedua. Menerima anugerah. Dan senyuman saya hanya untuk bonda. Saya tahu ada kedukaan yang sedang melanda keluarga. Saya tidak mampu memadamnya. Namun saya amat berharap sedikit sebanyak anugerah itu membuat bonda tersenyum. 

Saya lihat hari-hari belakang. Saat saya menjalani hari-hari pengajian DPLI. Dugaan datang buat kami betul-betul seminggu selepas saya memulakan kelas pengajian DPLI. Untuk itu,setiap minggu saya berulang alik dari UIA ke rumah.  Setiap minggu. Jumaat petang pulang ke Mentakab dan isnin pagi kembali ke UIA. Amat penat sebenarnya.tugasan DPLI yang bukan sedikit. Namun untuk keluarga tersayang, saya rela.

Saya mahu sentiasa ada bersama mereka saat ujian getir itu kami lalui. Manisnya amat terasa pada kejayaan hari ini kerana amat banyak halangan dan kesukarannya. Amat perit melaui hari-hari itu. Amat banyak sabar yang dituntut. Namun hari ini, kejayaan ini sedikit sebanyak mengubatinya. 

Kejayaan hari ini adalah azam saya sejak hari pertama mendaftar diri sebagai pelajar DPLI. Konvo kali pertama,saat sahabat baik saya menerima anugerah pelajar terbaik,saya cemburu yang amat. Ada kesalan kerana tidak manfaatkan peluang yang diberi. Lalu saya berazam kalau diberi peluang lagi,saya mahu lakukan yang terbaik. Dan DPLI adalah satu keazaman dari dulu. Bukan untuk pencapaian semata-mata.tapi saya mahu lengkapkan diri untuk jadi murabbi yang berjaya. Lalu saya lakukan dengan sesungguhnya dengan izin DIA.Alhamdulillah ! Allahu Akbar!  Walau pelbagai dugaan melanda, saya kentalkan hati dan jiwa… 

 
kawan-kawan seperjuangan..selamat menjadi Murabbi Ummah!
Best Student TESL- Stephani. ..congrates dear!
menunggu giliran

will be missing you dear sis..

with my junior di Mukmin dan Wosto, senior di DPLI.. dengan sijil dan 'ang pau' anugerah

hi-tea with IIUM Rector after the session



dengan Dr Fouad Rawwash dan Dr Ismael Hassanain
Alhamdulillah..manisnya konvo hari ini, membuat saya tidak sabar untuk konvo UIA tahun berikutnya, dengan izinNYA,akan kusarung lagi jubah biru bersulam songket itu, dengan 2 jalur di lengan tentunya,insya Allah tahun hadapan pula...Moga tahun hadapan, saat saya menghadiri konvo Master Insya Allah, akan dapat saya lihat bonda tersenyum sepenuhnya..

Kerana, saat saya konvo ijazah pertama, bonda bersedih kerana adik saya Syuhada sedang sakit..saat konvo DPLI juga, adik saya Nazifi sedang sakit.. Maka amat susah saya melihat senyumannya..saya mengharapkan sinar itu, moga dugaan buat keluarga kami berakhir kelak...

Menjelang zulhijjah tahun lalu, dugaan yang Allah datangkan untuk kami terhenti..namun Allah ingin menguji lagi apabila ujian itu kembali kepada kami petengahan syawal ini… Untuk itu..setiap suka dan duka kehidupan,padaMU jualah kupohon pengharapan.. Banyak nikmatMU, berat ujian dariMU,segalanya hanyalah rencah dunia buat kami harungi..hanya padaMU segala pengharapan dan pengaduan…