JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Friday, November 28, 2008

tunggu 2 bulan berakhir 15 minit

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hujan terasa bagai irama madah
angin menyapa segar menghilang gundah
dan mentari- walaupun malu menyinggah di penghujung sanah
masih terasa- amat manis tersenyum buatku si Atikah
ALhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah

**
Rabu. 12.30 tengahari.

Saya Di Maktabah UIA. Melihat jam. 12.30. setiap detik terasa lambat sekali. Saya menunggu 12.45. Kerana pada detik itu, proposal tesis saya akan dibincangkan di peringkat kuliyyah. Amat bimbang saya. Ustaz Yasir selaku musyrif (supevisor) akan mewakili saya pada mesyuarat tersebut. Sambil menatap akhbar harian,saya resah. Fikiran saya entah di mana. Saya hanya mampu berdoa dalam hati. Allahumma Yassir. La hawla wala quwwata illa billah.. Duduk dalam hawa dingin di maktabah terasa panas tiada sejuk. Sofa empuk umpama duri mencucuk. Sejurus, telefon bimbit bergetar. Sms masuk. Saya membuka pantas.

'Sudah selesai, datang ke bilik saya sekarang"
Dr Yasir

Ringkas tapi amat mengujakan. Lantas saya menuju bilik ustaz. Dalam hati makin bimbang. Bimbang mimpi jadi realiti. Kehairanan, cepat benar selesai sedangkan waktu yang dijanjikan (12.45) belum berlalu.

DAlam bilik ustaz, saya duduk di hadapan beliau penuh ihtiram.Penuh debar. Beliau menghulur proposal tesis saya. Kelihatan garis-garis merentang tajuk.

Al-Akhta' Allughawiyyah lada Al-Mutanaazhirin An Naathiqin bilmalayuwiyyah fi Musaabaqah AL-Munazarah Baina al-Jaamiaat fi Maliziya: Diraasah WAsfiyyah Tahliliyyah

Kata Ustaz Yasir:
Alhamdulillah, laisa hunaaka musykilah. Al Maudu' maqbul. faqaz hunaaka attashih al basit fi al-unwan. haza faqad.
(Alhamdulillah, tak ada masalah. Tajuk diterima. Cuma sedikit pembetulan pada tajuk)
Saya terkebil-kebil melihat tajuk pada proposal.
"haza faqad ustaz? " (ni je ke ustaz? ) Sungguh macam tak percaya
"naam, haza faqad"
Alhamdulillah. Maka berakhirlah penantian hampir 2 bulan (sejak saya meghantar poposal ke Kuliyyah dan menunggu untuk dibincangkan proposal tersebut). Tanpa diperbetulkan apa-apa isi di dalamnya,syukur yang amat sangat!
SEcara rasminya, berdaftarlah tajuk tesis saya.Moga dipermudahkan semua.Moga ada faedah untuk semua.Doakan saya.
**
siang tadi saya menghadiri bengkel kehakiman Debat Bahasa Arab MADUM. Secara rasminya juga sudah memiliki sijil kelayakan sebagai hakim mana-mana pertandingan MADUM. Maka program pertana, Debat Diraja yang akan berlangsung 28 nov hingga 3 dis nanti..
Selamat Bertanding buat para pendebat, selamat melontarkan afkar dalam lantunan bahasa Arab yang indah, selamat tahsin lughah anda! Selamat berpegang pada prinsip 'nakhtalif wanahtarim' (kita berbeza pendapat dalam sesi perdebatan namun kita saling menghormati' Saya menunggu sebagai hakim.
***
Bunga bunga di mana -mana . Saya amat gembira ketika ini ;-)





Friday, November 21, 2008

Laskar Pelangi: Muhammadiyyah vs Al-Mukmin

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Laskar Pelangi. Dah lama saya mencari novel ini kerana komentar rakan-rakan yang membacanya, memberi gambaran ini novel yang mesti dibaca. Namun setiap kali mengunjungi kedai buku, novel ini tiada. Malah saya cuba menempah online dari beberapa gedung buku besar Namun dinyatakan bahawa tiada stok. Baru-baru ini saya mengunjungi Ko-op UIA. Kebetulan singgah. Maka ternampaklah novel tersebut. Saya tidak melepaskan peluang. Terus membeli (Nampak sangat koop ni jarang dikunjungi, novel yang laris di luar masih ada stoknya di sini ;-) ). Ada potongan lagi.

Ya, kredit untuk Adrea Hirata. Saya sukakan susur galur Lintang & rakan-rakannya anak-anak Melayu Belitong yang miskin bergelut dengan jatuh bangun kehidupan untuk mencari cahaya hidup bergelar ILMU. Kisah yang amat memberi inspirasi. Saya berpendapat para pendidik amat perlu membaca novel ini . Ia kisah pentingnya pendidikan. Kisah pentingnya seorang pendidik membuka mata hati untuk melihat potensi anak-anak murid dan menggilapnya. Pentingnya Azam dan kesungguhan. Indahnya persahabatan.

“al-Mukmin Al-Mukmin Al-Mukmin
Padamu harapan Ummah dan Agama

Engkaulah cahaya alam
Hidayahmu menyinari kelam
Engkau ibarat pelita
Menyinari gelap gelita

Engkau pejuang yang unggul
Penegak manhaj yang syumul
Engkaulah benteng suci
Pembela hidayah Ilahi "


Laskar Pelangi mengingatkan saya kegigihan guru-guru Al-Mukmin mempertahankan & membangunkannya di awal penubuhan dulu. Seperti yang pernah
diceritakan, saya generasi pertama AL-Mukmin. Sekolah swasta yang lahir atas kesedaran memberi pendidikan agama untuk anak-anak dari kecil di Temerloh. Dengan misi ‘Membina Generasi Muttaqin’, awal penubuhannya penuh dengan ranjau duri.Berdiri atas sumber kewangan yuran pelajar rm35 sebulan, para guru ketika awal penubuhannya Cuma 3 orang. Ustazah Fatimah, Ustaz Ibrahim. Ustaz Osman. Merekalah guru yang mengajar 13 mata pelajaran ketika itu. Dan hingga kini, guru-guru Mukmin masih tidak ramai, dan masih dibayar gaji berdasarakan yuran para pelajar. Malah baru-baru ini dikhabarkan ada guru yang tidak menerima gaji hingga 2 bulan lamanya kerana kelewatan ibu bapa melunaskan yuran anak-anak. Namun mereka tetap ‘kental’ bersama Mukmin. Kerana melihat anak Mukmin mengenal agama lebih mulia bagi mereka.

Awal penubuhan dulu, kami tidak punya bangunan sekolah seperti sekolah lain. Cuma menumpang di sebuah banglo. Di situlah adanya kelas, kantin dan bilik solat zuhur berjemaah sebelum pulang. Tapi hari-hari di Mukmin amat indah bagi saya. Segala subjek yang diajar terasa seperti air sejuk yang mengalir, terus ke hati. Subjek Feqah, Sirah, Aqidah, Akhlak, Al-Quran, Bahasa Arab, semuanya umpama makanan rohani yang lazat, melekat di hati. Mungkin inilah kuatnya ‘kekuatan IKHLAS’ dari guru-guru terdahulu.

Subjek akademik juga begitu, meski yang mengajarnya bukan guru-guru lulusan universiti,apatah lagi guru-guru yang memiliki diploma perguruan, kami tetap belajar dengan sempurna. Awal penubuhan, ada 32 pelajar batch saya (1991), namun menjelang darjah 6, kami Cuma tinggal 18 orang. Ini kerana ada khabar angin bahawa pelajar Mukmin tidak dibenarkan menduduki UPSR. Tiada kebenaran dari Kementerian kononnya. Maka ibubapa yang lebih mementingkan UPSR itu dari mutiara-mutiara agama yang digali di MUkmin satu persatu mengeluarkan anak mereka dari Mukmin. Namun khabar itu ternyata meleset. Ketika darjah 6, saya dan rakan-rakan lain menduduki UPSR. Dan natijahnya ternyata membanggakan, saya dan 5 rakan-rakan lain dari 18 calon pada tahun itu (1996) memperoleh 4A (ketika itu UPSR Cuma ada 4 subjek, tiada sains).

Seperti sekolah lain,kami juga punya peluang melakukan aktiviti ko-kurikulum. Saya sukakan subjek Pendidikan Jasmani (PJ) kerana ketika subjek ini, saya mengasah bakat dalam Bola Jaring. Meskipun tidak sehebat mana tetapi ketika di sekolah menengah saya saban tahun mewakili sekolah dan memenangi beberapa kejohanan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Agama Pahang (MASISUPA). Malah ketika di tingkatan 3, saya diserap ke pasukan senior (kategori A- untuk pelajar tingkatan 4 & 5).

Malah kami juga dilatih menjadi berani di khalayak ramai. Saya pernah terlibat dengan pertandingan bercerita, menjadi solo nasyid dan mempersembahkannya di depan khalayak ramai di atas pentas ceramah agama di Padang Besar Mentakab, menyertai pertandingan kupasan hadis dan masuk pertandingan syarahan ketika melalui hari-hari di Mukmin.

Aktiviti Pasukan Seragam- kami tiada pengakap atau Pandu Puteri, tetapi kami ada Syabab Mukmin (untuk pelajar Muslimin) dan Al-Baraim Al-Mukminah (untuk Muslimat). Saya masih ingat lagi, antara lencana keahlian kami adalah Lencana Al-Quran dengan keperluan mengetahui sejarah Al-Quran dan kemampuan membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul sebelum dianugerahkan lencana ini. Sangat menarik bukan?

Sesungguhnya kegigihan guru-guru dalam Laskar Pelangi benar-benar mengingatkan saya kegigihan guru-guru Al-Mukmin.

Ustaz Ibrahim
Ustazah Fatimah
Ustaz Osman
Ustaz Aris
Ustazah Hamdah
Ustazah Hasyimah
Ustazah Zalizan
Ustazah Zainab
Ustazah Hasfanizah
Ustazah Saadiah
Ustaz Toha
Ustaz Abdul Nabi
Ustazah Rodiah
Ustazah Syazwani
Ustazah Zamila
Ustaz Mahyudin
Ustazah Jamilah
Ustaz Arif
Ustazah Selamah & kakaknya (tak ingat nama).
Ustazah Norliza.
serta beberapa nama yang mungkin tercicir. Juga buat guru-guru Mukmin sekarang.

Terima kasih atas didikan kalian. Moga warga Mukmin yang sudah melata di serata pelusuk dunia memegang erat falsafah ‘generasi Muttaqin’ dan melestarikannya buat generasi-generasi mendatang.

Entry ini juga penghargaan buat guru-guru Mukmin kerana sepanjang 17 tahun ini (1991-2008) mendidik saya dan 5 adik-adik saya (Mimi, Izzati,Syuhada,Amran & Izyani) generasi demi generasi. Berakhir sesi persekolahan 2008 bermakna berakhirlah generasi kami adik beradik di Mukmin. Adik bongsu saya telah menamatkan pengajian darjah 6 nya di Mukmin. Seperti kata emak, rasa sayu juga. Dan amat sangat berterima kasih pada guru-guru Mukmin yang silih berganti mendidik 6 dari 8 anaknya. Generasi kami berhenti di sini, tetapi jika ada rezeki mungkin generasi ‘cucu-cucu’ mak pula nanti akan menjadi warga Mukmin.

Baarakallahu fiikum jami’an.

antara kenduri kahwin, tesis dan cuti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
1
Minggu lepas. Rumah saya kenduri. Kenduri walimatul ‘Urus. Siapa? Pastilah bukan saya. Meskipun saat emak menjemput rakan-rakan dan jiran-jiran, ramai yang terkejut nak berkenduri lagi.

“Kenduri K.Ngah ke?”

Itu soalan paling kerap, kata bonda. Dan jawapanya tentulah bukan. Kata Mak Cik Kinah- jiran saya; jika dah ramai yang menyebut dan bertanya, itu tandanya sudah tidak lama lagi. Benarkah? Sungguh tiada jawapan dari saya. Insya Allah, DIA akan berikan pada masa yang tepat, dengan izinnya. Bila? Hanya Dia yang Tahu.

Kenduri meraikan perkahwinan cucu kepada Arwah Mak We Tam, iaitu kakak tiri emak. Kiranya pangkat cucu saudara kepada emak. Anak saudara saya. Beliau (pengantin lelaki) tidak punya ayah da ibu lagi, juga tiada emak dan bapa saudara. Justeru emak dan adik beradiknya adalah saudara terdekat. Kenduri kecil-kecilan tanda kesyukuran, hasil sepakat dari emak dan adik beradiknya yang lain. Merangkap kenduri keyukuran selamatnya Abang Long bertukar dari Mukah, Sarawak ke Putrajaya.

Kenduri kecil-kecil, hasil masak gotong royong jiran-jiran. Tetapi masih seperti kenduri kahwin layaknya. Ada khemah dipasang di hadapan rumah.Ada telur bingkisan untuk tetamu, ada meja pengantin dengan masakan untuk ‘makan damai’- (saya yang ditugaskan menyediakannya). Malah bilik pengantin juga dihias rapi dan cantik. Menu masakan kampung- Nasi Putih, rending daging, gulai lemak nenas ikan masin, kerabu pucuk paku dan ayam goreng.Ramai juga tetamu yang datang.

***

2
Kenduri di rumah 15hb. Saya telah pulang ke laman ayahbonda 12hb. 11hb, saya bertemu musyrif tesis saya- Dr Yasir dan dikhabarkan proposal tesis saya akan dibincangkan di peringkat kuliah pada 14hb. Moga-moga dipermudahkan semua.

**
Dr Yasir mengkhabarkan proposal tesis saya ditolak mentah-mentah diperingkat kuliah. Tiada alasan yang diberikan. DITOLAK SEBULAT SUARA. Saya hampa. Dr Yasir hanya memandang saya kasihan. Beliau mengutarakan beberapa tajuk yang dicadangkan pihak kuliah. Tajuk yang langsung saya tak berkenan. Tapi suka atau tidak, saya perlu memulakan semula. Dari ‘zero’. Fikir tajuk baru dan buat semula proposal tersebut. Sedih yang amat.

Tiba-tiba sayup-sayup azan Subuh berkumandang.Terjaga dari lena. Oh, mimpi ngeri rupanya!Mimpi yang amat ngeri. Lalu pagi itu saya terus sms Dr Yasir bertanyakan waktu dia ada di pejabat. Dan dengan debaran saya ke biliknya pagi itu juga, untuk mengetahui perkembangan proposal tesis saya. Penuh debaran.Janganlah mimpi itu satu kenyataan.

Perbualan dimulakan dengan bertanya khabar . (Pertemuan saya dengan Dr Yasir dalam Bahasa Arab sepenuhnya. Beliau tidak akan bertanya @ menjawab dalam Bahasa Melayu sama sekali). Saya berdebar kerana dari satu topik, Dr beralih ke topik yang lain. Tidak menyentuh langsung tentang proposal tesis saya. Lebih banyak dia menasihat dan berkongsi afkar. Debaran saya makin bertambah kerana beliau seakan-akan tidak mahu menyentuh tentang tesis saya langsung. Nak bertanya lidah saya terkelu. Hingga akhirnya beliau bersuara: (dalam B.Arab, saya terjemahkan)

Kamu nak tahu tentang perkembangan proposal kan? Mesyuarat Kuliyyah minggu lepas ditunda ke Selasa minggu depan. Jadi belum ada apa-apa perkembangan lagi. Tapi kamu jangan risau, saya yakin tiada masalah. Teruskan usaha yang kamu dah lakukan sekarang.

Woooo. Alhamdulillah.. Mimpi saya bukan realiti. Tapi masih belum mampu menarik nafas lega kerana hingga saat ini masih belum secara rasmi tajuk dan proposal tesis saya diterima. ( ini salah satu kelemahan UIA. Proposal tesis mengambil masa minima 2 bulan untuk disahkan.) Tak apalah, menunggu dan berharap. Moga dipermudahkan semua.

3.
UIA sedang bercuti. 5 minggu lamanya. Maka mahallah sunyi sepi. Ramai yang pulang ke kampung. Biasanya Mahallah Asiah meriah dengan pelajar antarabangsa yang tidak pulang ke kampung waktu cuti semester begini. Maklumlah, biasanya cuti 2-3 minggu sahaja. Kali ini sebaliknya, cuti panjang. Maka ramailah pelajar antarabangsa yang pulang ke kampung halaman masing-masing. Saya masih di Mahallah. Tidak bercuti, kalau ingin pulang pun hujung minggu 2,3 hari saya akan pulang. Selebihnya saya di sini, sambil bekerja sambilan di Pejabat Mahallah, saya menghabiskan masa menulis tesis. Sehingga tesis ini selesai, tiada istilah ‘cuti’ bagi saya. Moga dipermudahkan semua.

Friday, November 07, 2008

kejutan lagi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
1
Pagi-pagi, saya bersiap ke Kem Tahbib Bahasa Arab (menjadi fasilitator di bawah Al-Madani Strategic Learning). 3 sms masuk ke inbox. Dari bonda tercinta, abang Long dan Kak Long. Semuanya bernada sama:
Ngah, Abang Long dapat tukar ke Putrajaya.
Alhamdulillah. Ini busyra setelah penantian yang lama. Lega kami sekeluarga. Legalah wan (nenek) saya, cucu yang dirindui setiap masa akan bermastautin di Semenanjung. Lega juga buat kakak ipar, selepas setahun setengah berkahwin, Alhamdulillah mereka dapat menjalani kehidupan seperti pasangan yang lain.
2
Tidak lama kemudian, menerima sms dari my ZFM (biiznillah, Insya Allah) memaklumkan sudah 3 hari dia diserang demam cingukunya. Terkejut saya. Patutla 2,3 hari ini lebih banyak mendiamkan diri. Syafakumullah. Kasihannya, esok (sabtu) perlu pula menghadiri exam MUET (writing & reading). Moga dipermudahkan semua. Moga diberi kekuatan.
**
Esok, genap 3 hari saya mengikuti kem TAHBIB B.ARAB (sebagai fasilitator) . 3 hari di 3 sekolah yang berbeza tetapi peserta dalam lingkungan usia yang sama (tingkatan 1 hingga 3). Saya terasa seperti kembali ke zaman sekolah menengah ( riuh rendah sekolah, seragamnya.. sungguh terasa rindu). Dan yang lebih menyentuh hati, saya berjumpa adik-adik yang gigih belajar bahasa Arab. Contohnya adik NIk di SMK Seri Keramat siang tadi. Penguasaannya agak lemah, dia baru tingkatan 1. saat mengeja perkataan 'qalamun' dia mengeja:
qaf alif lam alif mim wau nun
saya membetulkan ejaan,- betulkan, selepas qaf tiada alif
dia padam dan jadilah - qaf lam alif mim wau nun
saya membetulkan lagi- selepas lam tiada alif,selepas mim tiada wau nun - yang ada cuma qaf lam dan mim
dia memadam- masih ada kesilapan
dan tanpa jemu dia memadam dan menulis hingga betul. Sungguh dia tidak mengeluh dan tidak berputus asa. Itu cuma satu contoh. Ust Lutfi (speaker) juga perasan maka dia meminta saya memberi perhatian lebih kepada Nik.
Sungguh saya terharu. Dia agak lambat 'menangkap' namun dia sangat rajin berusaha, tidak takut buat silap dan sangat rajin bertanya. Allah iftah 'alaik dik, moga berjaya! DAn ramai lagi yang saya jumpa. Hati saya terhibur. Minat dan cinta saya menyubur. Saya tahu, masih ramai yang dahagakan ilmu.

Thursday, November 06, 2008

surprise lagi!!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Minggu ini penuh dengan kejutan.. ada cerita gembira dan ada cerita sedih..
Daa.. saya gembira dengan berita sebuah masjid yang bakal terbina antara 'org tua' comrade dengan seorang 'org muda ' itu tak lama lagi, perancangan yang membuatkan seorang kawan saya iaitu kakak kepada 'org muda' itu memcepatkan majlis pernikahan yang dijadualkan Mei tahun hadapan kepada awal disember ini. Dan kejutan juga kepada kawan saya itu kerana dengan tiba-tiba 'org tua' comrade itu bakal menjadi adik iparnya. Eheh.. Itula namanya ketentuan Allah.. Jodoh dan pertemuan semuanya ditentukanNYA..
Dan seorang lagi kawan saya juga antara 'org tua' comrade akan melangsungkan majlisnya pada dis nanti juga.. 6 dis- 2 majlis, satu di utara (roomate saya) dan satu di selatan.. seminggu selepas itu majlis kawan saya yang ini pula di Kelantan..
*saya tumpang gembira*
dan seorang lagi sahabat saya pula dirundung malang.. tadi kisah yang nak mendirikan masjid.. ni pula kisah masjid yang dalam perancangan ingin dibina dalam masa tidak sampai 2 bulan lagi tidak sempurna sebelum waktunya.. Sedih saya dengar.. tapi nak buat macam mana.. hidup ini penuh dengan ujian.. buat kawan saya itu, saya doakan dia tabah menghadapinya..
Apapun, saya doakan yang baik-baik untuk semua.. bukankah setiap yang terjdi itu pasti ada hikmahnnya??
ALLAHU AL-MUSTA'AN

Monday, November 03, 2008

bangun dan bangunlah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Penyakit susah nak tidur saya kembali lagi. Malam menjadi siang. Susah sungguh nak melelapkan mata. Paksa diri untuk tidur tapi tak ada maknanya. Jadilah malam itu malam seperti malam syair arab terkenal Amr al-qais

walaili kamaujul bahri
arkhaa suduulahu 'alayya
bianwaa' al humuum liyanjali..

Tak apala. Allah nak tarik nikmat malam. Masa untuk muhasabah seputar kehidupan. Masa untuk berfikir kelemahan dan kesilapan.

Jatuh. Bangun. Jatuh. Bangun. Jatuh. Bangun. Jatuh. Bangun. Dan biar berkali-kali jatuh, saya pasti akan bangun. Tidak akan tunduk mengalah pada duga. Insya Allah, sisa kekuatan dan keyakinan ini masih ada. Allahu Al-Musta'an.

Biarlah, biarlah.. cahaya pasti tiba jua.

Sunday, November 02, 2008

my tesis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya tahu, saya berjanji untuk mengumumkan tajuk tesis saya sebaik ia di 'viva' kan di Department.Maaf, bukan sengaja melewatkan, cuma belum bersedia ;-)
Jadi di sini, saya persembahkan tajuk tesis ini.

Proposal tesis saya sedang ‘beratur’ menunggu untuk dibincangkan di peringkat Kuliyyah. Namun saya telah memulakan beberapa langkah untuk penulisan tesis tersebut. Cuma agak sukar meletakkan fokus kerana saat ini ada beberapa (baca>> banyak) perkara yang berlegar-legar di fikiran, mohon diungkaikan. Lantas fokus saya agak terganggu. Dan saya masih mencari rentak yang sesuai untuk menarikan tarian hidup seharian selepas Ramadhan dan Aidilfitri ini.

Tentang tesis- tajuk (yang masih menunggu untuk diluluskan di peringkat Kuliyyah selepas melepasi peringkat Jabatan)- Al-Akhta’ Al-Lughawiyyah lada al-mutanaazhiriin an-naathiqiin bilmalaayuwiyah fi musaabaqati Al-Munaazarati billughal Al-‘Arabiyyah baina al-Jaami’aat fi maaliziya.

Terjemahannya- Kesalahan Bahasa di kalangan pendebat Melayu dalam kejohanan debat bahasa Arab Intervarsiti Malaysia
Menggunakan tahlil al-akhta’ (error analisys) sebagai satu pendekatan untuk mengenalpasti apakah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pendebat bahasa Arab, nisbah kesalahan tersebut serta mengenalpasti punca-puncanya untuk akhirnya melontarkan cadangan-cadangan yang sesuai untuk mengatasi masalah-masalah tersebut.

Ada beberapa asbab yang membuatkan saya memilih tajuk ini:
1) untuk mendalami ilmu tatabahasa Arab
2) Minat dan kecintaan terhadap perdebatan Bahasa Arab
3) Kekurangan kajian tahlil Al-Akhta’ (error analysis) dalam maharah Al-Kalam (speaking skill) kerana kebanyakan kajian dalam majal ini lebih tertumpu kepada maharah al-kitabah (writing skill)

Jauh di sudut hati saya, saya mengharapkan kajian ini akan meyumbangkan sesuatu kepada pembelajaran dan pengajaran Bahasa Arab di Malaysia, antaranya:

1) memberi input terhadap kaedah terbaik dalam mengajar maharah al-kalam secara amnya.
2) menjadi rujukan para pendebat/jurulatih debat Bahasa Arab tentang kesalahan-kesalahan yang selalu dilakukan dalam perdebatan. Lazimnya, tanda-tanda isyarat di jalanraya seringkali boleh membuatkan kita memandu dengan berhati-hati (jika kita pemadu yang berhemah).
3) Membantu dalam mengembang Debat Bahasa Arab sebagai salah satu cara untuk mewujudkan biah ‘arabiyyah dalam pembelajaran Bahasa Arab di Malaysia.

Untuk kajian ini, saya mengambil 2 pertandingan sebagai sampel kajian- Pertandingan Debat Bahasa Arab intervarsity 2006 dan Pertandingan debat diraja (kategori bahasa Arab) 2007.
Saya menggunakan cd rakaman pusingan-pusingan debat dalam kedua-dua pertandingan tersebut sebagai bahan tahlil (bahan analisis) dan pusingan-pusingan terbabit melibatkan pendebat-pendebat yang mewakili 8 IPTA di Malaysia yang menyertai pertandingan. Keseluruhannya ada 24 Cd untuk saya analisis. Setiap Cd melibatkan 1 pusingan debat dengan jumlah penyampaian hujah 8 kali ( 4 kerajaan, 4 pembangkang termasuk sesi penggulungan (talkhis)) Durasi setiap penyampaian hujah adalah 8 minit dan penggulungan 4 minit. Jadi keseluruhannya, ada 192 penyampaian (liqa’ @ taqdim) yang perlu saya tahlil dan melibatkan 51 orang pendebat.

Sekarang, saya bermula dengan menyalin setiap CD tersebut kepada bentuk tulisan bagi memudahkan kerja menganalisis. Dan analisis ini melibatkan 4 jenis kesalahan- sautiah (fonologi- dengan penekanan kepada sebutan huruf -sawaait dan sawaamit), sarfiah (morfologi), nahwiyyah (sinteksis) dan mu’jamiyyah wa dilaaliyyah (penggunaan kata @ frasa mengikut konteks-semantik).

Doakan saya, moga dipermudahkan semua ;-)

Ok, ada komen? silakan.. ;-)

surprise!!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Kesihatan saya tidak berapa baik.. makanya saya tidak jadi ke Putrajaya. Sebagai ganti- tidur marathon. Sungguh-sungguh amat berat kepala saya..

Petang tadi- saya di bilik, my roomate mengetuk lalu masuk. Duduk di atas katil sambil membawa sehelai kertas.

'Awatnya? Hang nak bagitau hang nak kawin ka?" saya bertanya, selalunya begitu, kerana dia yang berasal dari utara, saya senang mengikut dialeknya. Melarik mesra.

"ha, aku nak bagitau la ni, ni kad belah lelaki' katanya seraya menunjuk kepingan kad jemputan.

"Subhanallah! Hang tak cita kat aku pun sebelum ni!" separuh menjerit saya dibuatnya.

Roomate saya tersenyum malu-malu. Tula, segan nak cita, ni dah mak abah dah suruh kahwin, nak kahwin la ni. Mak Abah carikan"

Saya mengambil kad lalu meneliti. Oh hampir sebulan sahaja lagi rupanya. Sungguh saya terkejut. Apapun, menumpang gembira si kawan, Alhamdulillah, mudah jodohnya.

"ni, meh, cita sikit kat aku sapa budak ni," saya mengarah, separuh berlawak sambil menunjuk kepada nama pengantin lelaki yang tertera di kad. Lalu si teman membuka cerita. Dan sesi bual kami diteruskan dengan sesi 'fitting' baju pengantin di compartment teman tersebut.

Buat S, i'm so happy to hear the busyra (khabar gembira) ;-) Doaku mengiringimu kawan!