Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Friday, November 21, 2008

Laskar Pelangi: Muhammadiyyah vs Al-Mukmin

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Laskar Pelangi. Dah lama saya mencari novel ini kerana komentar rakan-rakan yang membacanya, memberi gambaran ini novel yang mesti dibaca. Namun setiap kali mengunjungi kedai buku, novel ini tiada. Malah saya cuba menempah online dari beberapa gedung buku besar Namun dinyatakan bahawa tiada stok. Baru-baru ini saya mengunjungi Ko-op UIA. Kebetulan singgah. Maka ternampaklah novel tersebut. Saya tidak melepaskan peluang. Terus membeli (Nampak sangat koop ni jarang dikunjungi, novel yang laris di luar masih ada stoknya di sini ;-) ). Ada potongan lagi.

Ya, kredit untuk Adrea Hirata. Saya sukakan susur galur Lintang & rakan-rakannya anak-anak Melayu Belitong yang miskin bergelut dengan jatuh bangun kehidupan untuk mencari cahaya hidup bergelar ILMU. Kisah yang amat memberi inspirasi. Saya berpendapat para pendidik amat perlu membaca novel ini . Ia kisah pentingnya pendidikan. Kisah pentingnya seorang pendidik membuka mata hati untuk melihat potensi anak-anak murid dan menggilapnya. Pentingnya Azam dan kesungguhan. Indahnya persahabatan.

“al-Mukmin Al-Mukmin Al-Mukmin
Padamu harapan Ummah dan Agama

Engkaulah cahaya alam
Hidayahmu menyinari kelam
Engkau ibarat pelita
Menyinari gelap gelita

Engkau pejuang yang unggul
Penegak manhaj yang syumul
Engkaulah benteng suci
Pembela hidayah Ilahi "


Laskar Pelangi mengingatkan saya kegigihan guru-guru Al-Mukmin mempertahankan & membangunkannya di awal penubuhan dulu. Seperti yang pernah
diceritakan, saya generasi pertama AL-Mukmin. Sekolah swasta yang lahir atas kesedaran memberi pendidikan agama untuk anak-anak dari kecil di Temerloh. Dengan misi ‘Membina Generasi Muttaqin’, awal penubuhannya penuh dengan ranjau duri.Berdiri atas sumber kewangan yuran pelajar rm35 sebulan, para guru ketika awal penubuhannya Cuma 3 orang. Ustazah Fatimah, Ustaz Ibrahim. Ustaz Osman. Merekalah guru yang mengajar 13 mata pelajaran ketika itu. Dan hingga kini, guru-guru Mukmin masih tidak ramai, dan masih dibayar gaji berdasarakan yuran para pelajar. Malah baru-baru ini dikhabarkan ada guru yang tidak menerima gaji hingga 2 bulan lamanya kerana kelewatan ibu bapa melunaskan yuran anak-anak. Namun mereka tetap ‘kental’ bersama Mukmin. Kerana melihat anak Mukmin mengenal agama lebih mulia bagi mereka.

Awal penubuhan dulu, kami tidak punya bangunan sekolah seperti sekolah lain. Cuma menumpang di sebuah banglo. Di situlah adanya kelas, kantin dan bilik solat zuhur berjemaah sebelum pulang. Tapi hari-hari di Mukmin amat indah bagi saya. Segala subjek yang diajar terasa seperti air sejuk yang mengalir, terus ke hati. Subjek Feqah, Sirah, Aqidah, Akhlak, Al-Quran, Bahasa Arab, semuanya umpama makanan rohani yang lazat, melekat di hati. Mungkin inilah kuatnya ‘kekuatan IKHLAS’ dari guru-guru terdahulu.

Subjek akademik juga begitu, meski yang mengajarnya bukan guru-guru lulusan universiti,apatah lagi guru-guru yang memiliki diploma perguruan, kami tetap belajar dengan sempurna. Awal penubuhan, ada 32 pelajar batch saya (1991), namun menjelang darjah 6, kami Cuma tinggal 18 orang. Ini kerana ada khabar angin bahawa pelajar Mukmin tidak dibenarkan menduduki UPSR. Tiada kebenaran dari Kementerian kononnya. Maka ibubapa yang lebih mementingkan UPSR itu dari mutiara-mutiara agama yang digali di MUkmin satu persatu mengeluarkan anak mereka dari Mukmin. Namun khabar itu ternyata meleset. Ketika darjah 6, saya dan rakan-rakan lain menduduki UPSR. Dan natijahnya ternyata membanggakan, saya dan 5 rakan-rakan lain dari 18 calon pada tahun itu (1996) memperoleh 4A (ketika itu UPSR Cuma ada 4 subjek, tiada sains).

Seperti sekolah lain,kami juga punya peluang melakukan aktiviti ko-kurikulum. Saya sukakan subjek Pendidikan Jasmani (PJ) kerana ketika subjek ini, saya mengasah bakat dalam Bola Jaring. Meskipun tidak sehebat mana tetapi ketika di sekolah menengah saya saban tahun mewakili sekolah dan memenangi beberapa kejohanan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Agama Pahang (MASISUPA). Malah ketika di tingkatan 3, saya diserap ke pasukan senior (kategori A- untuk pelajar tingkatan 4 & 5).

Malah kami juga dilatih menjadi berani di khalayak ramai. Saya pernah terlibat dengan pertandingan bercerita, menjadi solo nasyid dan mempersembahkannya di depan khalayak ramai di atas pentas ceramah agama di Padang Besar Mentakab, menyertai pertandingan kupasan hadis dan masuk pertandingan syarahan ketika melalui hari-hari di Mukmin.

Aktiviti Pasukan Seragam- kami tiada pengakap atau Pandu Puteri, tetapi kami ada Syabab Mukmin (untuk pelajar Muslimin) dan Al-Baraim Al-Mukminah (untuk Muslimat). Saya masih ingat lagi, antara lencana keahlian kami adalah Lencana Al-Quran dengan keperluan mengetahui sejarah Al-Quran dan kemampuan membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul sebelum dianugerahkan lencana ini. Sangat menarik bukan?

Sesungguhnya kegigihan guru-guru dalam Laskar Pelangi benar-benar mengingatkan saya kegigihan guru-guru Al-Mukmin.

Ustaz Ibrahim
Ustazah Fatimah
Ustaz Osman
Ustaz Aris
Ustazah Hamdah
Ustazah Hasyimah
Ustazah Zalizan
Ustazah Zainab
Ustazah Hasfanizah
Ustazah Saadiah
Ustaz Toha
Ustaz Abdul Nabi
Ustazah Rodiah
Ustazah Syazwani
Ustazah Zamila
Ustaz Mahyudin
Ustazah Jamilah
Ustaz Arif
Ustazah Selamah & kakaknya (tak ingat nama).
Ustazah Norliza.
serta beberapa nama yang mungkin tercicir. Juga buat guru-guru Mukmin sekarang.

Terima kasih atas didikan kalian. Moga warga Mukmin yang sudah melata di serata pelusuk dunia memegang erat falsafah ‘generasi Muttaqin’ dan melestarikannya buat generasi-generasi mendatang.

Entry ini juga penghargaan buat guru-guru Mukmin kerana sepanjang 17 tahun ini (1991-2008) mendidik saya dan 5 adik-adik saya (Mimi, Izzati,Syuhada,Amran & Izyani) generasi demi generasi. Berakhir sesi persekolahan 2008 bermakna berakhirlah generasi kami adik beradik di Mukmin. Adik bongsu saya telah menamatkan pengajian darjah 6 nya di Mukmin. Seperti kata emak, rasa sayu juga. Dan amat sangat berterima kasih pada guru-guru Mukmin yang silih berganti mendidik 6 dari 8 anaknya. Generasi kami berhenti di sini, tetapi jika ada rezeki mungkin generasi ‘cucu-cucu’ mak pula nanti akan menjadi warga Mukmin.

Baarakallahu fiikum jami’an.

1 comment:

zahra_wardah said...

salam..sy search nasyid skolah Mukmin,jumpa blog ni..
Adik beradik sy semua skolah mukmin.dr no1 smpai no8..sy batch drjh1 thn1995.. Betul,gigih sungguh mreka mndidik utk melahirkan generasi muttaqin..
Generasi awal menumpang di banglo kayu yg buruk dan usang..skrg ni diorang buat nursery tp tngok mcm terbiar je dah..mcm hutan dh jd..
Bila dh ada bangunan baru,Allah izin banjir plk pd thn brpa ntah..ms tu zaman adik sy yg bongsu,skrg dh drjh6(2013).