Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Saturday, May 08, 2010

Refleksi Praktikal: Akhir

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah. Segala puji hanya milik Allah.. 30 April 2010, selepas genap 3 bulan, tamatlah sesi latihan mengajar yang saya lalui di SMK Hillcrest, Seri Gombak.

Alhamdulillah, 3 bulan ini saya banyak belajar perkara-perkara baru terutama untuk mengadaptasi teori-teori yang telah dipelajari bukan sahaja sepanjang tempoh pengajian DPLI di UIAM tetapi juga sepanjang kembara ilmu saya sebelum ini.

Berikut mungkin beberapa perkara untuk dinyatakan di sini:

- Terima Kasih warga Hillcrest. Kakitangan akademik dan bukan akademik di sini peramah belaka. Tak terasa kehadiran saya sekadar seorang guru praktikal. Mereka ramah dan melayan mesra. Saya banyak belajar dari guru-guru senior di sini. Saya juga sukakan suasana sekolah. Pelajar yang Muslim rajin menghulur salam sementara yang bukan muslim rajin menghulur ucapan ‘salam sejahtera’. Cuma saya doakan untuk kelas B.Arab dan Kemahiran Al-Quran, akan dapat kemudahan kelas yang lebih selesa untuk pengajian mereka.

- Terima kasih anak-anak saya di kelas 2 Arif dan 4 Proaktif. Saya banyak belajar dari mereka. Pendekatan berbeza untuk pelajar menengah rendah dan menengah atas. Pelajar Aliran agama dan sebaliknya. Semoga segalanya jadi bekalan yang baik untuk masa hadapan.

- Untuk PnP: Alhamdulillah, banyak belajar terutama untuk pengurusan kelas, ‘realiti’ sebelum benar-benar turun ke medan perjuangan. Aspek teknik dan cara persembahan, masih banyak yang perlu saya tingkatkan. Insya Allah masa dan pengalaman akan menjadikan saya mahir dan lebih berkualiti dari aspek ini. Berdasarkan komen-komen penyelia, ada teknik yang perlu saya kekalkan dan ada yang masih amat memerlukan penambahbaikan.

- Ko-kurikulum: Saya terlibat dengan sukan dan sukantara yang tak pernah dialami ketika zaman persekolahan. Saya teringin jadi jurulatih bola jaring. Hehe.. Saya melatih pelajar dalam syarahan agama MTQ (Alhamdulillah johan Zon Gombak Timur mengalahkan nama besar seperti SBPI Gombak).. dan Pidato Puteri Islam. Saya bersedia menyahut cabaran lain pula nanti.

- Buat pertama kali, berada dalam suasana multi ras. Selama ini, sekolah, belajar di U, komuniti hampir 100% Islam dan Melayu. Jadi, saya belajar meluaskan horizon pergaulan supaya boleh berkomunikasi dengan baik dengan semua orang. Alhamdulillah, walau hanya mengajar B.A dan Pendidikan Islam. Ada beberapa pelajar non-Muslim yang ramah menyapa kerana beberapa kali ‘relief’ di kelas mereka.

LATIHAN MENGAJAR TAMAT

Kesimpulannya- saya telah bersedia terjun ke dunia sebenar dan menyahut apa jua cabaran. Debaran menunggu penempatan- saya hanya doakan yang terbaik dari DIA untuk saya. Bukankah hanya DIA tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA?

اللهم ادخلنا مدخل صدق واخرجنا مخرج صدق وانزلنا منزل صدقِ

semalam...

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

1
Mengambil barang-barang di rumah bilik sewa di Taman Gombak, Greenwood... Nabhan Hakimi demam.. kesian sungguh tengok dia terbaring.
Kata umminya, sejak kami balik, dia selalu bertanya,
"Ummi, mana kak Tikah? mana Kak Su?"

Kasihannya dia...

2
Ke IJN..Ayah Saudara dihantar ke sana selepas mengalami komplikasi jantung di HSAS. Memikirkan kos yang mahal, dia gelisah ingin pulang.

Pak Cik: Dr, saya nak balik
Doktor: Kenapa pak Cik? Pak Cik tah sihat lagi, duduk sini, rehat dan sihatkan badan dulu
Pak Cik: Saya risau saya tak mampu nak bayar kos
Doktor: Pak Cik jangan risau, kalau pak cik tak mampu bayar, saya akan bayar.Pak Cik jangan risau, rehat sampai sihat dulu ye.

Baiknya hati doktor. Moga dia dirahmati Allah selalu.

3
Semalam. Semalam yang lampau. Kami sekelas. Tidak Ramai, cuma 21 pelajar dalam kelas tersebut. Kami akrab. Dari barisan hadapan hingga barisan belakang, kami semua adalah adik beradik.

Hari ini saya menerima perkhabaran dia terlantar koma di Hospital Temerloh. Jangkitan kuman di otak menyebabkan dia koma dan mata serta telinga tidak berfungsi lagi. Doktor berusaha dan meminta persetujuan doktor untuk mengambil air tulang belakang. Isteri yang sarat mengandung seakan berat hati.

Itu setakat yang saya terima. dan saya terasa menyesali. Ukhwah kami hampir 20 tahun usianya. Berbanding rakan-rakan lain yang masih saling berhubung, dia antara sahabat yang amat lama tidak bersua muka. Amat lama dan hanya mendengar khabar dari jauh. Itupun melalui orang lain. Semalam. Ukhwah itu ada. Namun adakala ukhwah itu sekadar pada nama. Terasa ingin kembali pada semalam...

Ya Allah, kami memohon dariMu, moga dia sihat sejahtera.

Thursday, April 29, 2010

RM1 membeli ketenangan...


بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Seringgit menghilang rawan, membeli ketenangan

Terik mentari pertengahan April membakar wajah. Dia berjalan melintasi pagar sekolah , menuruni bukit menuju ke Perhentian bas berhampiran. Langkah terasa berat. Bukanlah dek bebanan di tangan atau di bahu. Namun rawan di hatilah yang menjadikan segalanya berat. Sepanjang waktu persekolahan, dia bisa tersenyum dan ketawa. Kerana itu janji dia. Biar seberat manapun duga, harus ditinggalkan di pintu pagar sekolah. Tidak mahu tercalar amanah tugas seorang pendidik. Untuk anak murid yang dahagakan ilmu, hanya keceriaan dihadapkan pada mereka.
Tengahari yang panas, terasa panas hatinya dengan dugaan yang menimpa. Lalu dia bersitighfar dan mengalunkan zikkrullah di dalam hati. Ya Allah, aku tidak mahu menjadi kufur disebabkan dugaan. Aku tahu ujian ini ada hikmah dariMU. Ya Allah, berikan aku sabar, jadikan aku sabar dan permudahkanlah bagi aku dalam melalui ujian ini. Demikian monolognya dalam hati. Dia tahu,saat begini dia harus kuat menggantung hatinya pada Allah. Jika tidak bisikan syaitan akan mengambil alih ruang itu dan makin beratlah tanggungan masalahnya dengan tipu daya syaitan.
Tiba di perhentian bas, dia duduk dengan kalimah Bismillah. Melihat ke arah kanan, kalau-kalau ada bas yang ditunggu melintas. Beberapa kereta melintas, tiba-tiba terasa gerun. Dia teringat kes-kes ragut di sekitar ibu kota. Nauzubillah. Bismillahi tawakaltu ‘alallah. Sekali lagi dia memohon dalam hati. Tuhan, lindungilah aku dari kejahatan.
‘Anak ni ustajah ker’ tegur seorang tua dengan dialek Indonesia yang pekat.
Terkejut dia lantas berpaling. Tak disedari rupanya dia bukan berseorangan di situ. Terleka dalam dunia sendiri hingga tidak sedar reality. Di penghujung bangku, seorang Mak Cik dengan barangannya yang agak banyak terseyum ke arahnya menyapa. 
“Ye, Mak Cik”
Balasnya sepatah dan tersenyum.
“O, sama macam anak Mak Cik. Dia juga ustajah di Malang. Dia mungkin sebaya dengan anak ni”
“o ye ke..” sepatah lagi jawabnya. Sambil mengingati di mana letaknya Malang. Oh, Malang terletak di Indonesia. Semasa zaman belajar, dia pernah bertanding dalam acara debat bahasa arab. Lawannya pasukan Universiti Syarif Hidayatullah , Malang. Dia masih ingat itu. Dia tersenyum, senyuman yang paling manis untuk diberikan kepada Mak Cik Tua itu. Ada rona rindu di wajahnya, seperti berseri-serinya wajah tua itu bila menceritakan tentang anaknya yang jauh.
“Mak Cik nak balik mana?” dia menyapa, ingin meraikan Mak Cik Tua tersebut
“Mak Cik nak balik Pinggiran. Tunggu bas nombor 41. Mak Cik ada kenduri malam ni. Ni semua barang-barang untuk kenduri’ katanya seraya menunjuk barang-barang tersebut. Sayuran, beras dan beberapa barangan kering lain. Agak berat juga mengangkat semua itu. Kagum dia melihat Mak Cik tua itu.
“ Mak Cik, bas 41 tak lalu di sini. Bas tu akan masuk simpang di sana.” Katanya seraya menunjukkan simpang berhampiran. 400 meter lebih kurang jaraknya dari perhentian itu. Bas  yang ditunggu mak cik tua itu selalunya akan membelok ke simpang itu, tanpa melalui perhentian bas tempat mereka menunggu.

“Ya Allah, betul ke nak. Ya Allah, macam mana mak cik nak angkat barang-barang yang berat ni ke situ.” Mak Cik tua itu bersuara.
“Mak Cik nak naik bas nombor U1 tapi bas tu tak akan terima duit mak cik. Mak cik tak ada duit kecil. Ada ni je”  kata wanita itu lagi seraya menunjukkan not merah rm10 di tangan.
“Terima Kasih sebab bagitau nak, nampaknya mak cik kena jalan tunggu bas ke sana” sambungnya lagi.
Dia memandang mak cik tua itu. Sepantas itu, tangannya membuka zip beg tangan. Sehelai not rm1 dikeluarkan.
‘Mak Cik tak payah jalan ke sana, mak cik ambil ni, bila bas nombor UI datang, mak cik naik” not tadi dihulurkan.
“eh anak, tak apa, Mak Cik ada duit, cuma tak tak ada duit kecil je” Mak Cik itu menolak dengan baik.
“Tak apa mak cik, hari panas ni, barang mak cik pun banyak tu. Mak Cik ambil je duit ni”
Kali ini mak cik itu mengalah. Not biru RM1 bertukar tangan.
“Terima Kasih nak. Syukran banyak-banyak ye. Moga Allah memberkati anak, dunia dan akhirat”
Terharu dia dengan doa mak cik tersebut. Dalam hati dia mengaminkan doa mak cik tersebut. Moga Allah memberkati Mak Cik juga.
Melihat ke kanan, bas yang ditunggunya tiba.
‘Mak Cik, saya kena pergi dulu, hati-hati yer, Assalamualaikum”
“Ye nak, Waalaikumsalam. Terima kasih banyak-banyak yer.”
Bas bernombor 203 itu dinaiki dengan Basmallah. Masuk ke pintu bas dan membayar RM1 lalu duduk di kerusi hadapan yang kosong. Melintasi Mak Cik tua tadi, sebaik bayangannya hilang, terasa hilang segenap rawan di hati. Terasa ringan beban di dada. Serentak itu ada kesyukuran berlagu dalam hati. Ya Allah, beri aku kekuatan! TanpaMu aku tak berdaya.
Sungguhlah, hati kita bahagia bila kita membuat orang lain gembira walau hanya dengan RM1!



Thursday, April 01, 2010

Seputar hidup seorang guru pelatih...

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
seputar kehidupan guru pelatih di SMK Hillcrest..

Cikgu Fen (Pelatih UPSI) di pada hari Sukantara

Hari Sukan Sekolah

Perarakan Hari Sukan
Go Go Munsyi!

Perarakan semua rumah sukan
Pegawai Statistik

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
اللهم صلى علي محمد


khusyuknya,,,
Siapa ingin masuk syurga angkat tangan..!!
Nabi Muhammad S.A.W itu contoh ikutan terbaik

Kentut  membuang angin itu juga nikmat dari Allah

di bawah lembayung langit Hillcrest
Nasyid.. "dari Mekah ke Kota Madinah..."
Hillcrest dari tingkat 4..
Kantin...

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN

koir..
Berlarilah dan terus ketawa..
walau dunia tak seindah syurga..

Antara pelajar cemerlang SPM

Teachers in purple..

Wednesday, March 31, 2010

murid-muridku (2 arif)

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Anak murid jawab ujian Mac, ustazah sempat ambil gambar ;-)
Tempat: Surau Al-Muttaqin..
Kelas: 2 Arif (Bahasa Arab)




Sunday, March 28, 2010

suasana baru

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah atas segalaNYa.. Tiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tak terjangkau dek fikiran kita.. yang penting belajar dan terus belajar..

Alhamdulillah, sudah seminggu saya berada di sini, keluar dari UIA dan kini menetap di rumah sewa bersama Syuhada, rakan praktikal DPLI (sekolah berasingan)..

Tuan Rumah ini (Kak Zu) juga ada tinggal bersama kami, bersama anaknya- Nabhan (5 Tahun).. Keletah Nabhan banyak menghiburkan.. Bijak dan pelbagai ragam..

Satu petang, dia pulang dari nurseri dan membawa bekas berisi bekalannya pagi tadi kepada saya.

'Kak Tikah, ni untuk Ummi, kak Tikah dan kak Su. Adik minta kat cikgu, nak bagi Ummi, kak Tikah dan kak Su'
katanya seraya mengeluarkan 3 keping biskut meri dari bekas makanan itu. Comel!

Semalam (sabtu) saya ke sekolah kerana ada majlis Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung PIBG. Pulang dari sekolah, Nabhan dan ibunya telah ke Batu Pahat, ke rumah datuknya.

Di bawah bantal, ditinggalkan sekeping gambar kereta yang dilukis sendiri beserta sekeping kad berisi selawat ke atas Nabi.

"Nabhan pesan, tengok bawah bantal. ada surprise untuk Kak Tikah" kata Syuhada menyampaikan pesanan. Terubat kepenatan, tersenyum saya melihat gambar lukisan Nabhan.

Moga jadi anak soleh Insya Allah!

Sunday, March 21, 2010

Refleksi Praktikal 3

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Hari ini saya ingin kongsikan sebuah kisah. Kali ini bukan tentang teknik mengajar atau tentang Bahasa Arab tetapi berkaitan dengan satu sisi dalam diri pelajar yang selalu kita lupa dalam pengajaran. Tentang jiwa. Tentang jiwa pelajar.

Saya berkesempatan untuk melunaskan 'relief' di dalam sebuah kelas. Lazimnya 'relief' sesuatu yang amat tidak digemari guru praktikal (baca: bukan semua). Relief atau ganti. Masuk ke kelas yang tidak dimasuki guru. Selalunya, guru praktikal perlu ambil tugas ini kerana masanya yang sedikit berbanding guru sedia ada. Bagi saya, relief menyelamatkan saya dari 'mati kutu' kerana kadang-kadang amat bosan tak tahu nak buat apa di bilik guru bila tiada kelas. ABM, buku rekod mengajar dah dipenuhi. Jadi tercongok-congok di bilik guru tak tahu nak buat apa. Apabila ada relief, rasa lega sedikit, ada kerja nak buat, boleh kenal pelajar baru. Selamat juga duit elaun tu dari unsur-unsur 'gaji buta'..

Ok, sambung cerita tentang 'relief' ni. Masuk ke satu kelas tingkatan 3. Kelas pertengahan. Masa itu adalah masa Bahasa Inggeris. Saya masuk dan memulakan dengan bahasa Inggeris yang mudah. Disahut dengan leungan 'tak faham' dari para pelajar. Saya tanya betul ke tak faham. Ulang ayat  yang sama. Ok, boleh pulak faham. Maka saya teruskan 'berspeaking' dengan mereka.

Oleh kerana masa tu tengahari, nak cakap banyak pun tak guna. Maka saya habiskan masa dengan permainan. Saya menulis perkataa AEROPLANE di papan putih dan meminta setiap kumpulan membuat perkataan lain daripada huruf-huruf tersebut. Setiap perkataan dibina diberi 5 markah untuk setiap huruf. Setiap kumpulan (berdasarkan barisan) perlu menjawab mengikut giliran. Tidak boleh mengulang perkataan yang telah dibina sebelumnya.

Sedari awal ada seorang pelajar terkinja-kinja di depan. Betul-betul depan muka saya. Pelajar lain duduk di tempat masing-masing. Pelajar ni agak pelik. Buat tak tahu kehadiran saya dan terkinja-kinja di hadapan. Terserlah kenakalanya. Saya memandangnya bulat. Memberi isyarat tanpa suara supaya kembali ke tempat duduknya namun dia buat tak tahu. Geram juga saya namun untuk mengangkat suara saya fikir itu bukan penyelesaiannya.

Oleh kerana sifatnya yang terkinja-kinja dan mulutnya yang sibuk mengata orang itu dan ini di tengah sesi permainan dijalankan, saya berfikir untuk menggunakan 'keaktifan tangan dan mulutnya'. Lalu saya melantik dia sebagai penulis markah di papan putih dan ternyata 'keaktifannya' itu bermanfaat di situ. Dia menjalankan tugas dengan baik meskipun adakala mulutnya masih bising memberi komen mengarut terhadap jawapan rakan-rakannya.

Usai permainan, masa masih ada kira-kira 10 minit. Saya mengarahkan pelajar membuat kerja sendiri di samping mengawal mereka agar kelas tidak bising lalu mengganggu p n p di kelas lain. Saya mengambil kesempatan berbual dengan 'pencatat markah ' tadi. Saya bertanya dalam bahasa inggeris. Dia faham tiap pertanyaan saya namun menjawab dalam bahasa melayu. Saya yakin, dia sebenarnya boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi tidak mahu menggunakannya.

Bermula dengan bertanya tentang tempat tinggal, hobi dan sebagainya, saya kemudian bertanya tentang pekerjaan ibubapanya. Lalu saya mendapat jawapan bahawa ibubapanya adalah peguam dan memiliki firma guaman di sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di ibu kota. Maka tidak hairanlah jika dia mampu memahami tiap persoalan saya yang di dalam Bahasa Inggeris itu. Tidak mustahil jika dia berinteraksi dengan ibubapanya di rumah.

Lalu saya ajukan lagi soalan
"so, do you want to be a lawyer in the future?' merujuk kepada karier kedua ibubapanya.

"Tak naklah. Sibuk. Bukan duduk kat rumah pun' jawabnya, sedikit membentak. Mata beningnya memandang saya dan saya melihat ada jawapan kepada banyak persoalan di situ.

Jawapan mengapa dia agak nakal di kelas. Jawapan kenapa namanya amat banyak dicatat dalam buku rekod kawalan kelas di meja guru. Setiap hari, ada sahaja guru mencatat namanya di dalam buku itu. Kesalahan paling banyak adalah kesalahan mengganggu pengajaran dan pembelajaran.

Saya bukan kunselor. Apatah lagi guru berpengalaman. Namun saya membuat kesimpulan bahawa sikapnya itu kemungkinan ada kaitan dengan 'sibuk' yang didakwa tentang ibubapanya. Bukankah remaja sebenarnya memerlukan perhatian? Bukankah anak-anak sesungguhnya amat mendambakan perhatian ayah dan ibu? Maka mereka selalunya 'membuat perangai' kerana inginkan perhatian dari orang yang sepatutnya.

Saya kembali mengkoreksi diri. hari ini kita semua sibuk. sibuk dan disibukkan dengan pelbagai tanggungjawab. Maka adakah dalam kesibukan itu, ada sesuatu yang kita abaikan?

Anak-anak?
Suami?
Isteri?
Ibu?
Bapa?
Masyarakat?
Ummat?

Justeru, moga kesibukan kita hari ini tidak melupakan kita bahawa di sana, di satu tempat, ada insan yang memerlukan perhatian kita. Wang Ringgit boleh dicari, tetapi tidak mampu membeli kasih sayang dan perhatian. Bukankah jiwa itu juga memerlukan makanan?


***
Pelajar tadi: moga ada masa untuk aya mendampinginya lagi.

Wednesday, March 17, 2010

pindah...

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wahai Allah yang memegang jiwaku, berilah kekuatan dan semangat menerukan hari-hari di hadapan...

Salam buat semua.. dah lama saya tidak menulis. Idea ada, cuma nak menaip itu yang susah. Malas. Mm.. Cerita apa ya? Refleksi praktikal bukan, yang itu akan disambung kemudian. Mungkin kali ini entry ini lebih bersifat peribadi, coretan tentang diri.

Alhamdulillah, latihan amali telah tamat untuk pusingan pertama. Cuti sekolah dan latihan amali pusingan kedua akan bermula isnin nanti. Yang menunggu adalah latihan untuk syarahan agama Majlis Tadarus Quran daerah Gombak yang dijadualkan sabtu 27 Mac 2010.

Baru-baru ini, saya berkesempatan menghadiri MASISUPA (Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Agama Pahang) yang berlangsung di Mahad Sultan Ahmad Shah, Jengka. Yang menggembirakan adalah pertemuan dengan guru-guru dan anak-anak murid saya. Terutamanya berjumpa dengan Ustaz Muhaamd Rajaie Al-Gibaly. Dia guru Bahasa Arab yang dibawa JAIP dari Mesir. Memulakan tugasnya pertama kali di SMAW pada tahun 1999.. mengajar bahasa Arab. Sepenuhnya Bahasa Arab. dan saya yang mewakili sekolah dalam syarahan B.A mendapat didikan beliau.

Amat berbesar hati beliau masih mengingati saya. dan kami berbual dalam Bahasa Arab, dia gembira kerana BA saya masih bagus katanya. Dan beliau amat teruja mendengar khabar saya sedang menyiapkan tesis dalam B.A.. beliau sendiri sedang melanjutkan pelajaran peringkat PHD di UM. Beliau juga amat teruja mendengar kisah 'kami'. dan pastinya doa dari beliau itu diaminkan penuh pengharapan.

Minggu ini, minggu terakhir saya di UIA. Hampir 7 tahun bermukim di sini, atas sebab-sebab tertentu, meski tugas di sini belum selesai, saya terpaksa pindah, keluar dari kampus ini. Berat juga nak melangkah.. cinta dan jiwa saya amat sebati dengan udara kampus ini. Yang pasti, selepas keluar dari perut kampus ini, tidak akan kembali lagi. Kalau ada rezeki (siapa tahu, jodoh saya dengan UIA kuat)..mungkin akan datang untuk episod-episod lain dalam kehidupan akan datang pula.

okla, tidak tahu ingin menulis apa lagi. Refleksi Praktikal akan saya coretkan kemudian. Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan.

الله المستعان

Monday, February 22, 2010

Refleksi praktikal 2










Subjek: Pendidikan Islam

Kelas: 4 XXX

Tajuk: Rasul Penyampai Wahyu (Tugas Rasul,perkara ghaib,peranan manusia)

Saya memulakan set induksi dengan menulis perkataan berikut di papan putih

2012

Ternyata ‘tembakan’ ini mengena apabila usai menulis, kelas mula riuh rendah. Filem 2012. Memang itu yang saya maksudkan. Lantas seorang demi seorang pelajar melontarkan pandangan mereka tentang filem ini. Saya tidak menontonnya tetapi saya membaca tentang filem ini. Saya bertanya pelajar siapa yang menonton filem ini, hampir semua kelas mengangkat tangan.saya tanyakan isi kandungannya. Berebut-rebut pelajar ingin menjawab. Setelah memberi peluang kepada 2,3 pelajar melontarkan idea mereka, saya akhiri induksi itu dengan soalan, apakah hukumnya meramal hari kiamat? Beberapa pelajar memberi jawapan yang memuaskan hati saya. Lantas kandungan sebenar pelajaran disentuh.

Berdasarkan itu, saya melihat amat penting untuk seorang guru, khususnya mata pelajaran Pendidikan Islam menjadikan subjek itu ‘hidup’ dan amat dekat dengan jiwa pelajar kerana mereka melaluinya setiap hari. Ada sahaja perkara yang berlaku di sekeliling memerlukan panduan dari ‘agama’. Jika pelajaran sekadar menjadi hafalan fakta, pelajar akan gagal menghayatinya. Ketika menyampaikan tajuk ini, saya juga menyentuh tentang aplikasi mengarut dalam penggunaan laman sosial yang menjadi kegilaan remaja hari ini- Facebook. Semasa sesi taaruf sebelum ini, saya mendapati hampir keseluruhan pelajar mempunyai akaun Facebook mereka. Justeru, saya mengaitkan dengan penggunaan berbagai-bagai kuiz ramalan yang terdapat dalam laman sosial tersebut.

Refleksi saya adalah apabila perkara yang diajar dikaitkan dengan reality kehiduan seharian, subjek menjadi dekat dengan pelajar dan minat mereka bertambah. Dan cabarannya untuk para guru adalah supaya mengetahui isu semasa, lebih mengenali siapa pelajar mereka dan lebih kreatif dalam perbincangan dalam kelas.



Tajuk: Khulafa Ar-Rasyidin

Semasa tajuk ini, teknik bercerita dan perbincangan kumpulan digunakan. Saya membekalkan mereka dengan peta minda yang masih kosong di sana-sini. Mengagihkan beberapa tajuk kecil kepada beberapa kumpulan, pelajar melakukan perbincangan dan membuat persembahan disamping memenuhi peta minda berdasarkan persembahan rakan-rakan tadi.

Antara perkara yang saya cuba untuk kaitkan dengan tajuk ini adalah hubungan dengan kafir Dzimmi, antara polisi dalam pemerintahan KAR (sejak zaman Rasulullah sollallahu a’laihi wasallam).. Kelas /sekolah tempat saya menjalani latihan mengajar ini adalah sekolah multi ras. Justeru saya tekankan tentang peri pentingya menjaga hubungan sesama kaum dan tidak memulakan sebarang api yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Saya turut membawa pelajar menghayati semangat Usamah bin Zaid yang hanya berusia 18 tahun ketika menjadi panglima perang dan dihantar ke Ghassan oleh Abu Bakar As-Siddiq. Satu cabaran buat mereka yang hampir seusia dengan sahabat agung ini supaya menjadi pemuda yang kuat dan berguna untuk agama dan bangsa.

Alhamdulillah, teknik penceritaan seperti diperakukan ramai, malah terbukti jika kita lihat dalam Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai satu teknik yang malar segar. Amat digemari dari dulu hingga kini. Namun cabaran untuk guru adalah bahasa yang digunakan dan teknik penyampaian yang berkesan. Disamping diselangselikan dengan kecindan dan persoalan supaya sesi tidak menjadi sesuatu yang menjemukan.

Untuk perkongsian, saya syorkan anda membaca buku bertajuk ‘Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik’ keluaran Must Read Sdn Bhd, hasil tulisan Razali Saaran. Saya menjumpai buku ini semasa bertandang ke bilik Jaie- budak comel- semalam. Belum menekuninya, sekadar buat ‘speed reading’ terhadap kandungannya namun saya dapati panduan di dalamnya amat berguna untuk para guru, lebih-lebih lagi guru pelatih seperti saya. Bukankah Rasulullah itu contoh teladan terbaik kita?

::Mari Belajar Bahasa Arab dengan Gembira::

Hari saya diselia, tajuk pengajaran adalah tentang أنواع الأفعال من حيث زمنها > Maka pada hari itu, skop pengajaran di dalam kelas adalah tentang jenis-jenis فعل diikuti فعل الماضي secara mendalam.

Malam itu, saya telah menyediakan ABM untuk pengajaran iaitu carta aliran untuk tasrif fi’il..

 
bahan-bahannya...

ukur jangan tak ukur....


potong jangan tak potong...


isi gam jangan tak isi...


tampal jangan tak tampal....


siap satu langkah...


                                                           lekatkan dengan riben...


percubaan.. Alhamdulillah dah siap...





Untuk set induksi, saya menulis 3 kumpulan ayat yang berbeza, mewakili 3 zaman فعل Lalu saya tanyakan para pelajar apa perbezaan yang terdapat dalam 3 kumpulan tadi. Pelajar-pelajar yang bijak ini dapat melihat perbezaan ayat dan mengeluarkannya. Maka tajuk pelajaran pun diperkenalkan.

Ketika menerangkan فعل الماضي saya mengeluarkan ABM yang dibuat dan membina contoh-contoh ayat berdasarkan carta yang sedia ada dengan bertanya pelajar penambahan /perubahan yang berlaku untuk setiap dhomir yang berbeza. (إسناد الأفعال إلى الضمائر ). Di penghujung sesi, teknik pengulangan dilakukan untuk memenuhi objektif pelajar dapat menhafal tasrif fi’il tersebut.



Bagi tujuan itu, saya menggunakan teknik ‘menghafal mengikut mood.’

Mari menghafal ketika gembira:

Kataba

Katabaa

Katabuu.. – hingga akhir (dalam mood yang amat gembira, dengan memek muka ceria dan senyuman paling menawan)

Mari menghafal ketika sedih

Kataba..

Katabaa..

Katabu.. hingga akhir (dengan memek muka yang sedih, nada yang sedih, )

Mari menghafal ketika marah

Kataba

Katabaa..

Katabuu.. (dengan memek muka garang, nada yang tegas)



Ustazah, sambil menangis…?? Kata pelajar dan saya menyuruh dia yang melakukannya..

(saya mendapat idea teknik ini daripada kisah ‘Goreng Pisang..siapa nak beli Goreng Pisang’ yang dipersembahkan di Pos Tuel)

Yang pasti teknik ini membuat pelajar gembira, kelas ceria dan pelajar tidak jemu nak menghafal tasrif 14 untuk fi’il madhi.. sebelum kelas berakhir saya melakukan pertandingan siapa dapat hafal dalam masa yang paling pantas.. menyebut tasrif 14 ini dengan secepat mungkin tanpa kesilapan.. berebut-rebut pelajar nak hafal dan majoritinya dapat hafal dengan baik. Penilaian dilakukan dan hasil pembelajaran yang dinyatakan tercapai.

Refleksi dari penyelia: Alhamdulillah, mendapat reaksi positif dari penyelia Cuma saya perlu perbaiki cara penggunaan ABM. Carta yang saya tunjukkan di awal pelajaran sepatutnya hanya ditayangkan di hujung pembelajaran, semasa memulakan teknik hafazan. Ini bagi mengelakkan terlalu banyak maklumat yang diterima pelajar dalam satu masa apabila carta diletakkan sekaligus. Sebaiknya, bina bersama-sama pelajar dahulu satu persatu, di akhir baru letakkan carta. (Al-Quran pun diturunkan secara berperingkat, begitulah dalam pengajaran, sedikit demi sedikit, bukan diberikan sekaligus). Satu pengajaran yang berguna untuk saya pada masa hadapan.. Alhamdulillah

Refleksi saya: Adakalanya, guru perlu menjadi pelakon di dalam kelas. Memek muka, nada,intonasi,suara, semuanya adalah elemen penting untuk komunikasi berkesan. Kelas yang ceria akan menggalakkan sesi pembelajaran dan menambah minat pelajar dalam pengajaran. Alhamdulillah, selepas 2 minggu mengajar, ada di kalangan pelajar yang meminta saya supaya menjadi guru tetap di situ, bukan sekadar sehingga bulan April. Alhamdulillah, ini bermakna saya telah berjaya memenangi hati mereka.. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan lagi agar cinta mereka kepada Bahasa Arab akan terus dipupuk. Hari ini, saya menunggu-nunggu hari-hari seterusnya untuk masuk ke kelas lagi. Seperti mana mereka yang sudah jatuh cinta, saya juga sudah jatuh cinta lagi!

jatuh cinta lagi... !

Saturday, February 20, 2010

Refleksi praktikal...

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah..sudah dua minggu saya menjalani latihan mengajar di SMK Hillcrest, Sri Gombak, Selangor.. Walaupun masih baru, telah diselia oleh pemantau selasa baru-baru ini. Dan nampaknya saya sudah mula sesuaikan diri dengan keadaan di sini. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah yang telah memudahkan segalanya..




Melapor diri (1 Febuari 2010)

Pagi yang tenang walau dalam hati ada debaran. Tak henti saya mengucapkan اللهم يسر لي kerana sesungguhnya saya tahu hanya DIA berkuasa memudahkan sesuatu.

Sempat saya titipkan pesanan buat mak dan abah memaklumkan saya memulakan praktikal hari ini (sebenarnya mereka dah tahu).. mohon doa dan restu, dibalas doa dan semangat dari emak. Hati saya tenang sedikit.

Melangkah ke sekolah dengan 2 sahabat lain, Kak Baizura dan Halimah. Pelajar telah ramai di kawasan perhimpunan, maklumla pagi isnin. Saat bayu menyapa lembut wajah, terasa tenang di hati. Saya rasa telah bertemu ‘jiwa’ saya. Inilah jiwa saya; sekolah, perhimpunan,hingar bingar pelajar. Dan seawal itu saya telah jatuh cinta dengan sekolah ini. Ada ketenangan di hati. Ada keyakinan dalam langkah.



Usai melapor diri, kami dimaklumkan sekolah hanya mampu menerima seorang guru bahasa Arab kerana kelas bahasa arab yang terhad. Kami bertiga berbincang. Saya akhirnya memilih untuk teruskan perjuangan di sini, sungguhpun risau di hati tentang pengangkutan pergi dan balik (awal perancangan, kami akan datang dan balik bersama, kalau tinggal seorang, saya nak naik apa?..) namun saya kesampingkan kerisauan itu. Saya percaya ada ada penyelesaiaannya nanti. Dan saya yakin dengan pilihan ini, bukankah setiap hari saya memohon اللهم ادجلني مدخل صدق, واجرجني مخرج صدق، وانزلني منزل صدق maka saya percaya ketenangan yang dihadiahkanNYA itu adalah petunjuk terbaik..



Maka saya berseorangan memulakan perjuangan. Mula-mula memang kekok namun lama kelamaan, hingga hari ini, sudah 2 minggu, saya rasakan kegembiraan ada di sini.

Kelas Bahasa Arab.

Saya ditugaskan mengajar kelas 2 Arif. 27 pelajar semuanya. Hari pertama Cuma sesi taaruf. Saya meminta pelajar menulis soalan-soalan yang ingin mereka tahu tentang saya di papan putih. Sengaja. Mahu mereka bergerak. Mahu menilai tahap keaktifan mereka. Mahu melihat siapa yang berani. Tamat tempoh 2 minit, ada beberapa soalan tertulis. Soalan mereka dalam bahasa melayu saya jawab dalam bahasa Arab. Ternganga. Tak faham. Lalu saya terjemahkan.

Kemudian saya menulis ayat2 mudah untuk mereka tuturkan dalam bahasa Arab. Nama, tempat tinggal, hobi, cita2.. Maka sesi taaruf dengan mereka bermula seorang demi seorang, dengan berpandukan ayat bahasa arab yang saya tuliskan. Bagus mereka ini. Dalam diam, saya memulakan tugas ‘menyiasat’ latar belakang dan tahap bahasa mereka.



Langkah ketiga- masukkan jarum. Jarum cintai Bahasa Arab. Saya mengambil semula cita2 mereka semasa sesi taaruf tadi.

Bayangkan 10 tahun akan datang

Kamu adalah doktor, fasih berbahasa Inggeris., kamu juga adalah doktor yang fasih Bahasa Arab. Alangkah hebatnya kamu.

Kamu adalah jurutera, fasih berbahasa Inggeris. kamu juga adalah doktor yang fasih Bahasa Arab. Alangkah hebatnya kamu. Bekerja di luar negara, dengan Pak Arab yang kaya..

Kamu adalah peniaga yang berjaya. fasih berbahasa Inggeris. kamu juga adalah doktor yang fasih Bahasa Arab. Alangkah hebatnya kamu. Perniagaan Antarabangsa sebab ada bahasa Arab sebagai tambahan

Ada yang menjerit ‘wow..’’

Saat itu saya tahu, jarum saya telah mengena. Kerana mereka pelajar yang baik maka tugas ini lebih mudah..

Akhir sebelum usai sesi, saya meminta mereka menulis biodata ringkas. Satu medium terbaik untuk saya mengenali mereka, latarbelakang mereka. SES mereka. Dan ternyata, ada jurang yang ketara antara mereka, ada yang ayahnya Cuma pemandu teksi. Ada yang berayahkan professional (PTD, doktor, peguam). Maka saya tahu, cabaran saya bukan mudah namun caranya pasti ada.



Kelas Pendidikan Islam

Ditugaskan mengajar 4 proaktif. Saya memulakan kaedah yang sama, meminta mereka menulis soalan untuk mereka Tanya di papan tulis. Malas-malas. Tiada respon. Pelajar tingkatan 4, egonya lain sedikit. Lalu saya katakan, adik2 kamu di tingkatan 2 amat cergas menulis soalan dalam sesi yang sama pagi tadi. Baru rasa tercabar. Bangun seorang demi seorang. Kenakalan terserlah dengan soalan-soalan seperti berikut:



Cikgu dah kawin ke belum?

Cikgu rasa Tarmizi macam beruang tak?

Cikgu rasa saya hensem tak?

Saya jawab:

Cikgu dah kawin ke belum?

Belum tapi coming soon Insya Allah so kalau kamu ada abang jangan kenalkan kepada saya

Pelajar ketawa

Cikgu rasa Tarmizi macam beruang tak?

Siapa Tarmizi? Bangun!

Tarmizi bangun.

Ok kelas, kamu rasa Tarmizi macam beruang?

Kelas: Ya.. ada yang jawab tak

Ok, kamu adalah apa yang kamu fikirkan, kalau kamu kata ya, maka yalah jawapannya. Kalau kamu kata tak, taklah jawapannya. Tapi ingat, berhati2 lah dalam tindakan. Jangan ikut apa yang kamu rasa, tapi ikut apa yang kamu fikir. Kamu sepatutnya fikir dengan akal, Tarimiz adalah manusia maka dia tetap manusia. Kalau kamu ikut ‘rasa’ kamu akan binasa. Bukan sahaja Tarimizi akan ‘jadi’ beruang, tapi akan ada kerbau, kambing, ayam dan sebagainya dalam kelas ni. Jadi, ikut apa kamu fikir.fikir yang waras. Baru semua orang akan jadi manusia.



Kelas senyap.

Cikgu rasa saya hensem tak?

Siapa ‘saya’? Bangun.

Pelajar yang menulis soalan itu bangun.

Ok, cukuplah saya ingatkan kamu Allah kata, Dia menjadikan manusia sebaik2 ciptaan. Maksudnya tidak ada yang tidak cantik melainkan kita semua ini cantik2 belaka. Tapi Allah juga kata, yang paling cantik adalah yang paling bertaqwa, berakhlak. Jadi tak guna kita semua cantik kalau tak dengar cakap mak ayah, ponteng sekolah, malas buat kerja sekolah,tak hormat cikgu.



Ada yang tertunduk, mungkin terkena batang hidung sendiri. Sekali lagi, tugas saya agak mudah kerana pelajar kelas ini baik-baik belaka.

Seterusnya sesi taaruf, sama macam kelas di atas. Saya menyampuk sekali sekala dengan membuat lawak dengan mereka

‘saya tinggal di Tmn Samudera, dekat dengan Giant’

Cita-cita peniaga

Nak jadi peniaga? Patutlah, tinggal dekat dengan Giant. Ok bagus,nanti awak ambil alih Giant tu, boleh?

Sesi seterusnya, cucuk jarum.

Awak semua ada cita-cita. Bagus. Nak jadi cikgu, businessmen, akauntan.. jadi, penting ke nak belajar pendidikan islam ni?

Kelas: Penting….

Penting? Ye ke, orang yang tak ambil pendidikan islam tak boleh jadi peniaga? Akauntan?

Senyap

Kamu tahu kenapa ada banyak kes rasuah?kenapa mak ayah kita kena tipu beli barang mahal? Kenapa ada akauntan gelap duit syarikat?

Kelas: tak ada pendidikan agama

Ye ke? Ada yang dapat A pendidikan Islam

Senyap

Yang tak ada bukan pengetahuan, tapi penghayatan. Jadi saya nak kamu tukar sikap. Kita belajar bukan untuk semata2 dapat A. tapi ada yang perlu kita cari… Setiap yang kita pelajar ada kaitannya dengan kehidupan. Contoh , minggu lepas kamu belajar tajuk Manusia perlu bersyukur, betul?

Betul

Ok, sekarang semua bernafas, hirup udara.

Ok, kamu, berapa kamu bayar untuk udara ni?

Percuma ustazah..

Betul, Free of Charge kan?

Bersyukur. Perlu bersyukur..tapi macam mana..?



Demikianlah saya membebel. Namun membebel yang ada makna. Mereka senyap. Bagus untuk permulaan ini. Sesi berakhir dengan baik dan saya gembira, sekurang-kurangnya untuk sesi yang singkat ini saya telah cuba yang terbaik untuk mengikat hati mereka..

Ok, jumpa lagi di sesi akan datang, set induksi yang membuatkan 1 kelas gamat ingin bercakap..

Moga hari2 akan datang dipermudahkan..