بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hari ini saya ingin kongsikan sebuah kisah. Kali ini bukan tentang teknik mengajar atau tentang Bahasa Arab tetapi berkaitan dengan satu sisi dalam diri pelajar yang selalu kita lupa dalam pengajaran. Tentang jiwa. Tentang jiwa pelajar.
Saya berkesempatan untuk melunaskan 'relief' di dalam sebuah kelas. Lazimnya 'relief' sesuatu yang amat tidak digemari guru praktikal (baca: bukan semua). Relief atau ganti. Masuk ke kelas yang tidak dimasuki guru. Selalunya, guru praktikal perlu ambil tugas ini kerana masanya yang sedikit berbanding guru sedia ada. Bagi saya, relief menyelamatkan saya dari 'mati kutu' kerana kadang-kadang amat bosan tak tahu nak buat apa di bilik guru bila tiada kelas. ABM, buku rekod mengajar dah dipenuhi. Jadi tercongok-congok di bilik guru tak tahu nak buat apa. Apabila ada relief, rasa lega sedikit, ada kerja nak buat, boleh kenal pelajar baru. Selamat juga duit elaun tu dari unsur-unsur 'gaji buta'..
Ok, sambung cerita tentang 'relief' ni. Masuk ke satu kelas tingkatan 3. Kelas pertengahan. Masa itu adalah masa Bahasa Inggeris. Saya masuk dan memulakan dengan bahasa Inggeris yang mudah. Disahut dengan leungan 'tak faham' dari para pelajar. Saya tanya betul ke tak faham. Ulang ayat yang sama. Ok, boleh pulak faham. Maka saya teruskan 'berspeaking' dengan mereka.
Oleh kerana masa tu tengahari, nak cakap banyak pun tak guna. Maka saya habiskan masa dengan permainan. Saya menulis perkataa AEROPLANE di papan putih dan meminta setiap kumpulan membuat perkataan lain daripada huruf-huruf tersebut. Setiap perkataan dibina diberi 5 markah untuk setiap huruf. Setiap kumpulan (berdasarkan barisan) perlu menjawab mengikut giliran. Tidak boleh mengulang perkataan yang telah dibina sebelumnya.
Sedari awal ada seorang pelajar terkinja-kinja di depan. Betul-betul depan muka saya. Pelajar lain duduk di tempat masing-masing. Pelajar ni agak pelik. Buat tak tahu kehadiran saya dan terkinja-kinja di hadapan. Terserlah kenakalanya. Saya memandangnya bulat. Memberi isyarat tanpa suara supaya kembali ke tempat duduknya namun dia buat tak tahu. Geram juga saya namun untuk mengangkat suara saya fikir itu bukan penyelesaiannya.
Oleh kerana sifatnya yang terkinja-kinja dan mulutnya yang sibuk mengata orang itu dan ini di tengah sesi permainan dijalankan, saya berfikir untuk menggunakan 'keaktifan tangan dan mulutnya'. Lalu saya melantik dia sebagai penulis markah di papan putih dan ternyata 'keaktifannya' itu bermanfaat di situ. Dia menjalankan tugas dengan baik meskipun adakala mulutnya masih bising memberi komen mengarut terhadap jawapan rakan-rakannya.
Usai permainan, masa masih ada kira-kira 10 minit. Saya mengarahkan pelajar membuat kerja sendiri di samping mengawal mereka agar kelas tidak bising lalu mengganggu p n p di kelas lain. Saya mengambil kesempatan berbual dengan 'pencatat markah ' tadi. Saya bertanya dalam bahasa inggeris. Dia faham tiap pertanyaan saya namun menjawab dalam bahasa melayu. Saya yakin, dia sebenarnya boleh berbahasa Inggeris dengan baik tetapi tidak mahu menggunakannya.
Bermula dengan bertanya tentang tempat tinggal, hobi dan sebagainya, saya kemudian bertanya tentang pekerjaan ibubapanya. Lalu saya mendapat jawapan bahawa ibubapanya adalah peguam dan memiliki firma guaman di sebuah kompleks membeli-belah terkemuka di ibu kota. Maka tidak hairanlah jika dia mampu memahami tiap persoalan saya yang di dalam Bahasa Inggeris itu. Tidak mustahil jika dia berinteraksi dengan ibubapanya di rumah.
Lalu saya ajukan lagi soalan
"so, do you want to be a lawyer in the future?' merujuk kepada karier kedua ibubapanya.
"Tak naklah. Sibuk. Bukan duduk kat rumah pun' jawabnya, sedikit membentak. Mata beningnya memandang saya dan saya melihat ada jawapan kepada banyak persoalan di situ.
Jawapan mengapa dia agak nakal di kelas. Jawapan kenapa namanya amat banyak dicatat dalam buku rekod kawalan kelas di meja guru. Setiap hari, ada sahaja guru mencatat namanya di dalam buku itu. Kesalahan paling banyak adalah kesalahan mengganggu pengajaran dan pembelajaran.
Saya bukan kunselor. Apatah lagi guru berpengalaman. Namun saya membuat kesimpulan bahawa sikapnya itu kemungkinan ada kaitan dengan 'sibuk' yang didakwa tentang ibubapanya. Bukankah remaja sebenarnya memerlukan perhatian? Bukankah anak-anak sesungguhnya amat mendambakan perhatian ayah dan ibu? Maka mereka selalunya 'membuat perangai' kerana inginkan perhatian dari orang yang sepatutnya.
Saya kembali mengkoreksi diri. hari ini kita semua sibuk. sibuk dan disibukkan dengan pelbagai tanggungjawab. Maka adakah dalam kesibukan itu, ada sesuatu yang kita abaikan?
Anak-anak?
Suami?
Isteri?
Ibu?
Bapa?
Masyarakat?
Ummat?
Justeru, moga kesibukan kita hari ini tidak melupakan kita bahawa di sana, di satu tempat, ada insan yang memerlukan perhatian kita. Wang Ringgit boleh dicari, tetapi tidak mampu membeli kasih sayang dan perhatian. Bukankah jiwa itu juga memerlukan makanan?
***
Pelajar tadi: moga ada masa untuk aya mendampinginya lagi.
No comments:
Post a Comment