Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Kisah malang yang berulang –bahagian II
Selasa
Kejadian berjumpa dengan Cik Bai semalam masih bermain-main di minda. Dalam layar ingtan,tidak hilang wajah Cik Bai, wajah yang penuh rasa bersalah. Sukar saya mengikis bayangnya. Hati ini menangis, kesal dengan apa yang berlaku.
Pagi itu, Kak Fiddhah datang ke bilik. Selasa hari yang tiada kelas bagi saya. Maka agenda harian pada hari itu dipenuhi dengan munaqasyah bersama kak Fiddhah- classmate saya dari Indonesia. Kami menekuni madah Taqwim Kutub Ta’lim Al-Lughah Al-‘Arabiah li An-naatiqiina bighairiha- Evaluation of Arabic as 2nd Language textbooks. Bertukar pendapat,mendalami tajuk-tajuk. Ingatan saya pada Cik Bai hilang seketika.
Ba’da Asar, kak Fiddhah mohon permisi pulang ke biliknya di Mahallah Safiyyah. Saya pula lebih senang di bilik, berehat sebentar, sebelum SMS dari Kak Nor diterima,mengajak saya makan malam bersama di luar UIA. Saya bersetuju, penat juga rasanya seharian berkurung di bilik.
Saya berkira-kira,selepas makan nanti tidak mahu pulang ke bilik, sebaliknya terus ke library, masih ada beberapa perkara yang ingin dirujuk di sana. Tika kereta yang kami naiki tiba di roundabout sebelum pintu pagar utama UIA, mesej diterima dari Siti. Perancangan kami bertukar lagi. Kami perlu ke JJ Wangsa Maju. Cik Bai dan Nurul menanti kami di sana. Ada hal penting. Kami menunggu Siti yang baru habis kelas lalu terus ke JJ Wangsa Maju.
Restoran KFC, JJ Wangsa Maju.
Cik Bai bersama Nurul sedia menanti. Bersalam dengan Cik Bai. Manis dia berbaju kurung. Lain benar dengan pakaiannya malam semalam-hanya T-shirt sendat dan seluar slack ketat. Dalam perjalanan ke sini tadi, kami dimaklumkan, Cik Bai ingin menemui kami kerana fikirannya bercelaru. Menurut Nurul, seharian ini, Cik Bai asyik mengulang hasratnya untuk ‘membunuh’ bapa kepada anak yang di dalam kandungannya. Marah dan geram menguasai. Sedih,rasa berdosa dan pelbagai emosi lain mencanak-canak,membuatnya jadi hilang pertimbangan. Bimbang dengan keadaan itu, Nurul mengheret Cik Bai ke JJ Wangsa Maju untuk menemui kami. Kami Cuma mampu memberi pandangan, mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sedia ada, bukan menambahkan kekusutan yang ada.
Cik Bai sudah banyak bersuara, mungkin dia telah mula menerima kami sebagai kawan,lantas rasa selesa meluahkan apa yang berkecamuk di fikirannya. Dia mula memikirkan cara terbaik untuk berhadapan dengan keluarga. Cik Bai meluahkan, dia sanggup menerima apa jua risiko untuk berdepan dengan keluarga. Lalu satu persatu ahli keluarganya diceritakan kepada kami,dengan penjelasan peribadi tiap kakak/abangnya serta kemungkinan reaksi mereka jika menerima berita buruk ini. Akhirnya Cik Bai memikirkan untuk menemui salah seorang kakaknya, yang pada pendapat beliau, selalu berfikiran rasional menerima apa jua keadaan, berbanding kakak-kakak dan abang-abang yang lain yang agak emosional.
Cik Bai tidak mahu menunggu lagi, bebanan makin berat di bahunya, jika boleh malam itu jua dia ingin menemui kakaknya itu. Lalu kami nekad, malam itu kami akan ke rumah kakak Cik Bai, Kak Imah di Cheras Baru.
Sewaktu melangkah menuju ke kereta, sempat Cik Bai meminta maaf dari kami kerana katanya, dia telah menyusahkan kami. Sempat dia bertanya:
‘tak apa ke korang semua ni, korang tak kisah ke? Saya ni menyusahkan korang je,padahal bukan sapa-sapa pun’
Saya senyum memandang Cik Bai, sambil menepuk bahunya, saya hanya mampu menjawab
‘takpela, ni hari Cik Bai.’
Siti pula hanya memandang, sambil melawak meredakan suasana yang tiba-tiba jadi hening;
‘takpe, Tikah and Kak Nor ni memang cita-cita diorang jadi menteri kebajikan masyarakat. Sedangkan orang Asli pun diorang sanggup tolong, nikan pulak orang Melayu’
Komen Siti diiringi ketawa kami. Dalam perjalanan ke Cheras Baru, kami berbincang, nak cakap apa,siapa yang nak mula dulu,bagaimana nak dimulakan.serta segala macam kemungkinan yang bakal terjadi. Masing-masing berdebar, saya juga terasa debarannya. Mungkinkah kami dihalau nanti, kerana masuk campur urusan peribadi orang lain, mungkinkah kami dihamun? Sanggupkah,cukup kuatkah menerima semua itu? Semua soalan bermain-main, dengan harapan dan doa,moga urusan kami dipermudahkanNYA.
Kawasan rumah pangsa Cheras Baru. Cik Bai sendiri kurang pasti arah ke rumah kakaknya, mujur hari minggu sebelumnya, saya dan kak Nor menghadiri walimah Yazid- salah seorang ikhwah COMRADE di kawasan tersebut. Ingat-ingat lupa,kereta kancil Kak Nor membelah malam,mencari kawasan yang dimaksudkan.
Kami sampai di kawasan rumah pangsa baru di Cheras. Berhati-hati menaiki tangga ke tingkat 4. Kedatangan kami disambut ramah oleh Kak Imah- kakak kepada Cik Bai. Suami kak Imah yang juga abang ipar Cik Bai sedang menonton TV di ruang berdekatan tempat kami duduk. Anak-anak Kak Imah yang masih kecil memandang kami kehairanan- bersimpuh di sebelah ibunya.
Kami bercerita, memulakan dengan taaruf ringkas siapa kami-kawan kepada siti-kawan kepada Nurul, kawan kepada Cik Bai. Berbasa-basi dengan pelbagai cerita, susah ingin memulakan hal yang sebenar.
Akhirnya Nurul memulakan, disambung oleh Kak Nor. Cik Bai mula menangis. Kak Ima terkedu,terkejut.kecewa.terkilan.marah. bertubi-tubi soalan ditanya kepada Cik Bai. Suaminya pula kekadang menyampuk,dengan nada yang lebih tinggi. Marah. Sesungguhnya, siapakah yang mampu menahan kemarahan mendengar perkara itu? Kami mendengar sesi soal jawab antara Kak Imah, suaminya dan Cik Bai dalam debar. Bimbang keadaan menjadi genting.
‘habis ko nak bin kan anak tu dengan nama saper?’ keras. Antara soalan yang ditanya suami Kak Imah kepada Cik Bai. Esakan Cik Bai kian tinggi. Kami hanya mampu memandang. Anak-anak Kak Imah terkebil-kebil memandang adegan antara mak ayah mereka dan mak usu mereka.
Kak Imah menerima khabar tersebut dengan berat, dan beratnya tanggungjawab untuk menerangkan pula kepada keluarga yang lain. Mak,ayah, abang-abang,kakak-kakak dan adik-adik yang lain.
Kak Imah berterima kasih kepada kami,sekurang-kurangnya Cik BAi menemui kawan yang betul di saat genting begini.
Kami beransur pulang dari rumah Kak Imah. Cik Bai tinggal di sana. Malam itu, seluruh ahli keluarganya akan dipanggil berkumpul.
Kami pulang,sekurang-kurangnya 1 tanggungjawab lepas. Tapi Cik BAi, bagaimanakah hari-hari seterusnya? Penyesalan di saat itu sesungguhnya sudah tidak berguna.
Mata sudah hampir terlelap masa sms Siti diterima, dia men’forward’kan mesej Nurul kepadanya kepada saya
Sms mengucap terima kasih pada kami. Jua keterharua kerana pertolongan kami.Sms yang meminta kami terus membantu, kerana katanya, tanggungjawab kami tidak akan terhenti sampai di situ.
Tanpa saya sedari.. tak kuat saya menahan kesayuan, jika selama ini saya menangis di hati,akhirnya air mata jernih tumpah jua,menemani malam saya. Sedih,sayu, dan saya berdoa, tiada lagi yang mengulangi kisah malang ini. Duhai sahabat muslimah,adik2-adik muslimah, janganlah diulang kisah malang ini lagi. Jagalah dirimu dan peribadimu. Duhai kaum Adam, jadilah pembela, pelindung & pemimpin. Bukan pemusnah dan perosak. Ya Allah, peliharalah..
**
Saya menceritakan kisah ini dalam kelas halaqah, pedoman buat adik-adik seramai 45 orang itu,agar mereka tidak ulang kisah yang sama. Dengan peringatan berhati-hati meletak cinta, serta larangan menyusun atur tertib cinta dengan tertib yang salah. Jangan sekali-kali cintamu pada manusia membenarkanmu menggugah cinta pada Allah yang WAJIB diletak teratas.
Seminggu selepas itu, salah seorang adik dalam kelas tersebut menghubungin dan meminta nombor KEWAJA- tempat perlindungan wanita senasib CIk Bai. Katanya, kawannya memerlukan nombor terseut selepas menerima nasib yang sama dengan Cik Bai. Astaghfirullah.. berulang lagi??
***
Menyemak helaian akbar, berita bayi dibuang hampir setiap hari. Aduh, berulang lagi??
****
Saya sempat berbual dengan Kak Ina- isteri kepada pengasas KEWAJA ketika sambutan Maal Hijrah di Asrama Baitul Ummah. Katanya- KEWAJA sudah penuh, pelatih (jika boleh digelar pelatih) di dalamnya sudah melebihi kapasiti yang sepatutnya.
****
Saya pernah membaca artikel- musim bayi luar nikah lahir adalah berkala. Terutamanya bulan September- gara-gara malam tahun baru. Atau bulan Mei- angkara malam sambutan merdeka, ataupun oktober- gara-gara Hari Valentine..
Apa lagi harus dikatakan?
Seruan- jagalah dirimu!
Wallahu ‘alam..
**
hutang terlunas untuk menyiapkan episod 2 kisah ini. En Sai,harap puas hati.. sory terlambat. hehe. Moga orang rumahmu cepat sembuh ;-)
mohon berehat seketika, mengejar due date untuk taslim (submit) assignment. My friend said- kejar due? mcm bersalin pulak ada due ;-)..
Moga dipermudahkan semua.. Aminn..
No comments:
Post a Comment