Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Friday, December 02, 2011

Semarak Cinta

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Secebis coretan. Sebuah kisah. Permulaan sebuah perjalanan dan tanggungjawab. Pengakhiran satu penantian.Semarak rindu dan cinta. Lalu, amat kerdil diri ini dirasa. Agung kuasaMu. Manifestasi kehebatanMu.


12 November- sabtu

hari persekolahan. Ganti cuti Raya Haji. Saya mengambil Cuti Rehat Khas. Sejak 2 3 hari ni, sakit sikit-sikit sudah ada. Masih menunggu 'tanda'. Berehat di rumah mertua.

13 November- ahad

Pagi itu, saya dan suami ke Pekan Sehari Kerayong. Membeli lauk pauk dan sayuran. Saya mengambil kesempatan mencari ulam pucuk kayu. Teringin pula. Alhamdulillah, jumpa. Kami kemudiannya balik ke rumah di Bera. Perancangan kami nak hadiri walimah pasangan guru-rakan setugas saya di SMKB- cikgu Maizani & Cikgu Azimah. Semalamnya majlis di rumah Azimah dan kami tak berkesempatan pergi. Hari ni pula majlis sambut menantu di rumah cikgu Maizani- di Sebertak juga.

Sampai di Bera, hari masih awal. Saya mengisi masa mengemas rumah apa yang patut.Maklumla, nak 'bercuti' lama. Jam 11.30, kami ke rumah cikgu Maizani. Tak sempat menunggu pengantin, kami pulang. Saya rasa tidak selesa berlama-lama. Ada rasa sakit di bahagian abdomen.

Malam itu, pinggang semakin terasa sakit. Namun selera makan saya tetap ada. Makan nasi dengan ulam pucuk kayu dicicah dengan sambal belacan. Lauk kari ayam. Bertambah saya makan.Sebelum tidur, kesakitan di pinggang makin terasa. Dalam hati saya berdoa, andai masanya telah tiba, moga Allah permudahkan.

Saya berada di rumah mertua. Due date saya 18 Nov. Untuk itu saya merancang untuk mengambil MC bermula 14 Nov. Tambahan sakit sudah mula terasa. 

14 Nov- isnin
Saya terjaga dari tidur apabila terasa sakit. Sakit yang sukar digambarkan. Sakit yang tidak pernah dialami. Perut mengeras diikui kesakitan yang amat. Inikah masanya? Saya melihat jam di telefon bimbit. 3.50 pagi. Tidak lama kemudian sakit itu hilang. Kemudian datang semula. Saya melihat lagi jam. 4.00 pagi. Kesakitan berulang lagi selepas 10 minit. Tetap dan berkala. Hati saya meyakini, masanya kian hampir. Sambil memerhati jam, saya menahan sakit. Contraction bererusan. Suami di sebelah tidur pulas. Melihat wajahnya yang nyenyak, tak sampai hati nak gerak beliau.

Tiba-tiba beliau sendiri terjaga. Mungkin erangan saya menahan sakit mengganggu tidurnya. Beliau bertanya sudah lamakah saya sakit, sela sakit berapa lama. Wajahnya sarat kebimbangan.  Jam 5.30, hampir waktu subuh. Saya tidak betah lagi berbaring lalu mencapai tuala dan mandi. Usai mandi, saya terus solat. Tidak menunggu suami untuk berjemaah seperti biasa. Saya solat ketika contraction hilang. Usai solat, contraction datang semula dan saya mengerang dengan berelekung di atas katil. Usai suami solat, dia membantu saya, mengurut2 belakang saya bila contraction datang sambil melihat jam. 6.30 pagi, suami perasan sakit saya makin dekat selanya. dari 10 minit menjadi 5 minit. Lalu kami terus bersiap ke klinik.

Sampai di Klinik Kesihatan Bukit Mendi yang mengambil masa kira-kira 5minit perjalanan, suami menghubungi jururawat on call. Tidak lama kemudian beliau sampai.Beliau bertanya beberapa perkara dan memeriksa timing contracion saya. 10:2. Jalan diperiksa. Oh, saya sangat tidak suka prosedur VE ini. 3cm. Namun kerana contraction saya semakin kuat, saya perlu dihantar ke hospital dengan segera, menaiki ambulans.

Ambulans ditunggu. Sambil menahan sakit, saya berjalan-jalan mengelilingi kerusi di ruang menunggu klinik. Kurma yang memang sedia ada dalam beg saya makan beberapa biji sambil berdoa Allah memudahkan semuanya. Saat contraction hilang, saya cuba menekuni surah Maryam. Bila contraction datang, saya berjalan lagi untuk meredakan kesakitan. En suami pula pulang ke rumah mengambil ibu mertua dan membeli sarapan. Mihun yang dibelinya cuma masuk beberapa suap. Selera saya sudah hilang sama sekali dek kesakitan. Ambulans yang dijangka tiba dari Kemayan tiba-tiba rosak.Kalut jururawat di klinik menghubungi klinik kesihatan lain.

Akhirnya suami menganjurkan kami pergi sendiri, diiringi jururawat ke Klinik Kesihatan Padang Luas. Di sana ambulans menanti. Selepas hampir 2 jam 'terperangkap' di KK Bukit Mendi, barulah kami bergerak ke KK Padang Luas.

Saya menaiki ambulans. Suami menaiki keretanya mengiringi bersama ibu mertua. 10.45 pagi, saya sampai di  Hospital Sultan Haji Ahmad Shah. Emak, abah dan adik saya sudah menunggu di sana. Saya sempat melemparkan senyuman pada emak sambil menahan contraction.

Usai beberapa prosedur, VE dilakukan lagi. 4cm. Memandangkan contraction yang kuat, saya ditolak masuk ke labour room. 12.00t engahari  jam ketika itu. VE dilakukan. 5cm. Doktor berkata, dalam jam 4 petang baru dijangka jalan terbuka penuh. Saya melihat jam, ada 4 jam lagi lebih kurang. Kesakitan yang kian kuat, maknanya lama lagi saya harus menanggung kesakitan ini. Dalam hati, saya berdoa tanpa henti. Dalam menahan contraction, saya sempat mendengar riuh rendah di bilik sebelah menyambut kelahiran kembar. kemudian di bilik-bilik yang lain, tangisan demi tangisan kedengaran menandakan kelahiran demi kelahiran. Ya Allah, saya tidak sabar mendengar tangisan kelahiran anak saya pula. Saya tidak sabar mengucapkan salam buat anak soleh/ah saya pula.

12.30, air ketuban dipecahkan. Suami saya dipanggil masuk menemani saya. Kehadirannya banyak membantu. Sambil mengucap kata semangat, belakang saya digosok penuh kasih sayang. Terima Kasih Abang.  1.30petang, VE dilakukan. 6cm kata doktor. Memandangkan jangkaan doktor yang mengatakan masanya masih lambat, suami saya keluar untuk menunaikan solat Zohor. Saya sempat berpesan agar beliau menunaikan solat hajat.

Sebaik suami keluar, contraction saya semakin kerap, 3 minit sekali dengan tempoh setiap contraction +-50saat. Bantuan pernafasan melalui gas diberikan memandangkan tempoh contraction yang lama. Hanya Allah yang tahu betapa sakitnya. Patutlah seorang ibu diangkat darjatnya 3 kali lebih dari seorang bapa. Tidak lama kemudian, suami masuk kembali menemani saya.

2.45. Saya seperti ingin meneran. Saya segera memaklumkan kepada jururawat. VE yang dilakukan sebelum itu menunjukkan bukaan baru 8cm. Jururawat melakukan VE sekali lagi, bukaan penuh 10cm dan saya dibenarkan meneran. Jam ketika itu 2.50 petang. Beberapa kali cubaan gagal. Saya sebenarnya sudah letih. Amat letih. Tenaga saya telah habis kerana menahan kesakitan sejak pagi. Suami terus memberi kata semangat. Jururawat memaklumkan jika selepas 50minit saya masih gagal melahirkan, kelahiran vakum terpaksa dilakukan bagi mengelak bayi lemas kerana terlalu lama berada di pintu. Saya jadi semangat semula. Saya ingin melahirkan anak ini secara normal.

Tiba-tiba,contraction menjadi lambat dan perlahan. 10minit sekali dengan tempoh cuma 30 saat. Ini menyukarkan lagi proses meneran. Tanpa contraction, saya tidak dibenarkan meneran. Bayi saya sudah tidur rupanya! Sebab itulah contraction semakin perlahan dan jantungnya semakin lemah. Bantuan oksigen terpaksa diberikan.Saya semakin risau. Saya berkata di dalam hati, bangun sayang, lekas-lekas keluar, ayah dan ummi menunggumu. 

Sementara menunggu contraction datang, saya mengumpul tenaga, membaca kalimah2 Zikrullah. Hati saya berdoa tanpa henti. Tiba-tiba telefon bimbit saya yang berada dalam poket baju suami berbunyi. Subhanallah Walhamdulillah Laa Ilaaha illallah Allahu Akbar. Begitulah nada ringone telefon saya. Serentak itulah, segenap kesakitan saya hilang kerana anak saya telah selamat dilahirkan! Serentak bunyi ringtone Zikrullah yang berkumandang itu, tangisan bayi saya kedengaran, dia diletakkan di atas dada. Subhanallah. Hanya itu yang mampu saya ucapkan, diiringi linangan air mata kegembiraan suami dan kucupan kasihnya di dahi saya. Bayi yang masih diselaputi darah itu saya renung seraya bertanya soalan yang saya sendiri tidak tahu diajukan kepada siapa. "girl ke boy?"

"girl, Sayang. Allahu Akbar. Anak ayah" Suara suami menerjah telinga. Tali pusat dipotong, bayi saya dibersihkan dan suami saya diminta keluar sementara beberapa prosedur lagi perlu saya lalui.

Usai plasenta dikeluarkan dan proses jahitan dilakukan, bayi saya yang sudah siap dibersihkan dibawa masuk untuk saya susukan. Menurut jururawat, anak saya telah diazan dan diiqamahkan ayahnya, dengan disambut ramai sekali emak saudaranya.Alhamdulillah.

 14 November 2011 bersamaan 18 Zulhijjah 1432H, 3.30 petang, 3.3kg. Demikianlah lahirnya puteri sulung kami. Nikmat bergelar ibu menghilangkan segenap rasa sakit yang dialami. Lewat petang barulah saya dan si kecil dibawa ke wad Kenanga 2. Suami sudah pulang menghantar ibu mertua. Seharian di hospital, kepenatan menjamah jasadnya yang kian dimamah usia.Emak saya datang bersama adik menghantar beg dan beberapa peralatan.Waktu melawat telah tamat maka tidak boleh berlama-lama.

Malam itu,malam pertama si kecil bersama saya di dunia yang penuh dugaan ini. Panggilan telefon dari suami menemani, bertanya keadaan saya dan si kecil, sambil mengucap terima kasih kerana melahirkan anak kami. Saya hilang kata-kata. Terharu. Bahagia. Saya melihat hari hadapan yang bermula pada hari ini, bermulanya kehidupan kami sekeluarga. Saya sebagai Ummi, beliau sebagai Ayah dan si kecil ini mengikat cinta kami dan menghiasi rumahtangga kami. Allahu Akbar, amat besar nikmatMU Ya Allah.

Malam itu, meski kepenatan, saya tidak boleh tidur. Saya terkebil-kebil memandang si kecil comel di sebelah saya. Seperti tidak percaya, si kecil inilah yang saya kandung 9 bulan lebih lamanya. Saya merenung wajah si comel sambil berfikir, betapa tanggungjawab yang besar saya pikul untuk mencorakkannya. Betapa saya akan dipersoalkan di akhirat kelak jika gagal mendidiknya. Ya Allah, tanpaMU ku tak berdaya. Bantulah dan pimpinlah aku dalam tiap langkah. 

Terima kasih buat semua yang mendoakan kesejahteraan kami.
Terima kasih atas ucapan tahniah kalian. Doa kalian saya aminkan penuh pengharapan.Moga kalian semua diberkati.
Terima kasih emak. Begitu susahnya melahirkan seorang anak, namun emak tabah melahirkan 8 anak!
Terima kasih suami tersayang. Terima kasih Abang, menemani dan memberi kata-kata semangat. Anak ini hadiah istimewa untuk Abang.Moga kita dapat didik dia sebaiknya.
Terima kasih kakitangan dewan bersalin HOSHAS atas layanan baik mereka.
Terima kasih Abah, ibu mertua dan adik-adikku yang sabar menanti, mendoakan  dan meraikan kelahiran ini.
 Terima kasih Allah. Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah.
30 minit selepas dilahirkan.

3 hari--ditahan semalaman di hospital kerana Jaundis

Hari ke--15

Hari ke-16
1 Muharram- botak

Si kecil anak solehah ini (Insya Allah) dinamakan NAJLA RUFAYDA BINTI JALALUDDIN. 





Thursday, October 27, 2011

Nama

 
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Nama. Nama memberi makna yang signifikan kepada seseorang individu. Justeru Rasulullah berpesan agar memberikan nama yang baik-baik untuk anak-anak. Menanti kelahiran si pejuang ini, tentulah kami juga seperti ibu bapa yang lain, mencari-cari nama yang sesuai untuknya.
Walaupun semasa pemeriksaan antenatal dulu, doktor telah memaklumkan jangkaan jantina si kecil ini, kami tetap bersedia menerima siapapun dia, sama ada mujahid atau mujahidah. Qari atau Qariah. Maka kami juga menyediakan 2 nama. Yang penting dia sihat sejahtera dan membesar menjadi hambaNYA yang baik.

Berbalik kepada soal nama tadi. Setelah berbincang, adalah 2 3 nama yang telah disenaraipendekkan. Yang pasti nama2 itu mempunyai maksud yang baik dan ringkas. En suami lebih senang menamakan anak dengan satu patah perkataan, 2 suku kata. Kata beliau, kalau nama panjang, walau maknanya baik, orang lain akan cenderung memendekkan nama tersebut hingga hilang makna asalnya. Jadi dia mahu anaknya sentiasa didoakan dengan makna yang baik, yang ada pada nama tersebut.

Seterusnya, kami bersepakat bahawa nama tersebut mestilah 'ringan' untuk disebut oleh lidah Melayu, supaya maknanya kekal apabila disebut nama tersebut. Tak ada huruf-huruf yang berat untuk lidah Melayu seperti Qaf, Kho, dan sebagainya. Sebab ada setengah perkataan bila lidah Melayu menyebutnya, hilang makna asalnya. 

'ala kulli hal, memberi nama yang baik adalah antara tanggungjawab awal ibu bapa. Mudah-mudahan kita semua mengambil berat perkara ini, bukan sekadar terikut dengan trend semasa ataupun memilih yang cantik tanpa memikirkan kesinambungan nama tersebut kepada si anak. Peringatan untuk diri sendiri juga.

Jumpa lagi nanti. ;-)



Wednesday, October 26, 2011

9 Purnama Merindu


بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, alhamdulillah, Alhamdulillah.. 9 Purnama telah berlalu. 9 Purnama yang penuh kerinduan. Minggu ni dah masuk minggu ke-37 kehadiran pejuang kecil ini di alam penuh kasih sayang. Dah menghitung hari kelahirannya.

Setiap malam, sebelum tidur ada gusar. Dah ada sakit-sakit tak malam ni? Pagi apabila buka mata juga begitu, sudah tibakah harinya? Mungkin itu perasaan biasa bagi seorang bakal ibu, lebih-lebih lagi ibu baru seperti saya. Perasaan yang sama dikongsi dengan En Suami. Minggu lepas ketika beliau out station di Negeri Sembilan, jam 1.30 pagi beliau menghubungi saya, bertanya keadaan saya dan si kecil, sedangkan dia tahu saat itu saya mungkin telah tidur! Rupanya dia sendiri tidak mampu melelapkan mata, risau tentang kami. Doakan Adik dan Ummi selalu ye ayah, Insya Allah moga Allah permudahkan urusan kita semua. 

Si kecil ni dah semakin besar. Semasa pemeriksaan antenatal minggu lepas, beratnya dah mencecah -+2.8kg. Alhamdulillah. Perut pun dah rasa penuh sangat-sangat. Setiap kali dia bergerak, terasa agak keras, tulang temulangnya bergesel. Sejak 2,3 minggu ni, semakin aktif pulak dia. Dah tak sabar nak jumpa Ayah dan Ummi ke Sayang? ;-) Insya Allah tak lama lagi kita akan berjumpa ye.. 

::perkongsian::
Perkahwinan itu perkongsian hidup. Rasululullah, saat ketakutan selepas menemui Jibril di Gua Hira', segera pulang menemui Khadijah dan berkongi perasaannya yang ketakutan, memohon Khadijah menyelimutkannya.

Begitulah contoh yang seharusnya dijadikan ikutan dan teladan kehidupan suami isteri. Dalam usia perkahwinan yang amat masih muda ini, Allah mengurniakan kami kesempatan-kesempatan untuk berkongsi kehidupan. Adakala, perkongsian itu agak unik namun saya percaya, Allah memberi ruang itu untuk mengeratkan kasih sayang antara kami.

Seawal kehamilan (malah sebelum saya tahu kehadiran pejuang kecil ini), encik suami yang dahulu mengalami sindrom muntah-muntah dan pening kepala. Bekalan asam tak putus dalam keretanya padahal sebelum itu dia bukanlah penggemar makanan berasam. 
Keadaan ini berterusan hingga usia kandungan 3 bulan. Saya tidak mengalami apa-apa alahan sebaliknya suami yang menanggung semua tu. 
Soal mengidam juga begitu. Saya biasa-biasa sahaja, suami pula yang selalu mengidam teringin nak makan itu dan ini.
Kulitnya juga mengalami masalah, seperti pembawakan budak lagaknya, sedangkan saya tidak mengalami masalah itu.

Perkongsian yang unik, kami sama-sama menghadapi saat-saatnya sebelum kelahiran si kecil ini. Moga kelak apabila anak ini lahir, dia akan mengerti bahawa saat menanti kelahirannya, Ayah dan Ummi berkongsi banyak hal. Sering saya katakan pada suami, Allah nak kami berkongsi pahala. Dan menghayati erti 'perkongsian' itu. 


:: Hari Graduasi Mak Andak:
Tahniah untuk adik saya Nur Izzati sempena hari graduasinya 15 Oktober lalu. Konvo kali pertama di Jordan kami tak dapat raikan. Justeru apabila IKIP mengadakan sambutan graduasi untuk pelajar IKIP-Yarmouk di Kuantan, saya dan keluarga tidak lepaskan peluang untuk bersama-sama menyambutnya. 

Oklah, sampai di sini dahulu perkongsian kali ni, doakan saya selamat melahirkan si kecil ini dan semoga si pejuang ini kelak menjadi anak yang soleh/ah, pejuang agama Insya Allah.


Saturday, October 01, 2011

Syawal:Syukur



بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, segala pujian hanya milik Allah atas tiap nikmat kurniaanNYA.
Selamat Hari Raya! Eh ada raya lagi ke??  Syawal dahpun berlalu. Kalau masih ada ziarah menziarahi dan menjamu rakan-taulan makan, Alhamdulillah,moga ada keberkatan untuk mereka yang ikhlas menghubung dan mengeratkan silaturrahim.

 Syawal tahun ini tentulah yang teristimewa. Pertama kali menyambut Aidilfitri bersama suami dan keluarga baru. Alhamdulillah, nikmat Allah yang tak terhingga. Menyambut Syawal dengan serba sederhana, kerana tumpuan saya dan suami lebih kepada keterujaan menyambut our little pejuang November nanti, Insya Allah.

Saya berhari raya di kampung suami di Felda Bukit Puchong dahulu. Pagi raya, ke masjid menunaikan solat sunat hari raya. Kami memilih berjalan kaki beramai-ramai ke masjid bagi mengelakkan kesesakan jalanraya. Meriah apabila manusia berduyun-duyun ke rumah Allah. Betapa 'gembiranya' si kecil ni mendengar suara kuat si ayah bertakbir dan mengalunkan ayat suci selaku imam di pagi raya, berpusing-pusing dalam perut sampai ummi nak solat pun kegelian je. Anak bertuah ni selalu macam tula, bila dengar suara kuat di mikrofon, lebih-lebih lagi kalau suara ayahnya jika kami menemani ayah ke majlis2, sangat kuat memberi respon. Alhamdulillah, bahagia sungguh melalui saat ini.
Satu hari di hari raya..baru pulang dari masjid..

Aidilfitri kami juga lebih berseri dengan kepulangan adik saya yang ke-4 (yang ke-5 dalam keluarga) Izzati setelah tamat pengajiannya di Jordan. Seminggu sebelum Aidilfiri, kami sekeluarga menjemputnya di KLIA. Terlerai rindu saat memeluk dirinya. Paling teruja tentulah bonda, setelah hampir 2 tahun tidak bertatap mata dengan anakanda tercinta, terlerai sudah kerinduan. Sebelum tu pun, asyik membilang hari sambil merancang untuk masak itu dan ini. Kata adik saya sebelum kepulangannya, dia sangat teringin makan Ikan Patin Masak Tempoyak.Emak dengan gigihnya menunaikan impian itu, Izzati sampai ke Malaysia jam 3petang dan hari itu, kami sekeluarga berbuka puasa di rumah Abang Long di Putrajaya, dengan hidangan istimewa Ikan Patin Masak Tempoyak yang emak sediakan selepas subuh pagi itu, sebelum bergerak ke KLIA! 

ketibaan yyang dirindui..

Doa selamat..syakirah atas kepulangan..
Abah & Andak
Emak dan Abah gembira anak mereka dah pulang..

Ok, sambung cerita raya. Raya pertama di rumah mertua, banyak menghabiskan masa di rumah sebab ramai sekali tetamu yang datang, lebih-lebih lagi anak-anak murid suami.Hidangan raya pertama- Laksa. Encik suami mengidam laksa di raya pertama. Ayah yang selalu mengidam itu dan ini, Ummi biasa-biasa sahaja.hehehe.  Lepas satu rombongan, satu rombongan berkunjung. Raya kedua, suami dan keluarganya menziarahi kubur arwah ayah. Saya hanya duduk di rumah. Sebaik adik-beradik suami yang beraya di rumah mertua mereka sampai, kami bermaafan dan bersua muka sebelum pulang ke Mentakab.

Sampai di Mentakab, sempat beraya beberapa rumah. Rancangan kami, pada hari raya ke-3 akan menziarahi saudara mara sebelah mak saya bersama adik-adik di sekitar Jambu Rias dan Bentong. Namun kuasa Allah, malam itu suami saya demam dan sakit perut. Sepanjang malam, beberapa kali dia terjaga. Saya sendiri tidak boleh  lelap tidur, sekejap-sekejap terjaga, memantau suhu badannya yang semakin panas. Si kecil ni pun macam tahu-tahu je ayahnya demam, baru saya nak lelapkan mata dia bergerak-gerak, macam nak bagitau 'Ummi, tengok Ayah'. 
Pagi esoknya, demam suami masih belum surut. Rancangan kami dibatalkan. Suami saya hanya berehat. Tengahari itu, kami ke klinik. Alhamdulillah, kata doktor suami hanya demam biasa. Sebaik masuk kereta selesai urusan di klinik, suami bersuara.
"jom pergi scan adik, Abang rindu kat dia"

Oh, rupanya si ayah demam sebab rindukan si kecil ni! Hehe. Lalu kami ke klinik pakar di Bukit Bendera, 4D scan dan doktor memaklumkan jantina si kecil. Cuma tak dapat tengok mukanya sebab dia sangat pemalu, menutup mukanya. Dari awal lagi, dah banyak kali scan tapi si kecil ni memang pemalu, tak nak tunjuk muka kat Ummi dan Ayah. Takpela sayang, yang penting sihat dan selamat dalam perut Ummi. Tak lama lagi kita akan berjumpa jua biiznillah.

Petang itu, alhamdulillah, suami semakin sihat. Dah jumpa 'penawar' demam dia. Keesokan harinya, kami ke Bentong dan ke Jambu Rias, hampir 10 rumah saudara mara diziarahi sebelum pulang ke Bukit Puchong malamnya.

Sekian cerita raya tahun ini, Alhamdulillah atas setiap nikmata yang Allah kurniakan, moga segalanya menjadikan kami hamba yang lebih bersyukur.

Syawal lalu, kawan sewostorian kami, Safri selamat diijabkabulkan dengan pasangannya-Rohani, junior kami di Woso. Semoga dirahmati dan diberkati selalu masjid yang dibina!
Ayie dan Ann





Thursday, August 04, 2011

Ahlan Ya Ramadhan..

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, bertemu lagi Ramadhan tahun ni. Ramadhan yang istimewa, pertama kali berpuasa bersama encik suami. Moga pengisian Ramadhan tahun ini juga lebih bermakna dan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Nampaknya, dah hampir 6 bulan sejak entry terakhir saya coretkan di rumah ni. Wah dah bersawang-sawang nampaknya blog ni. Sejujurnya banyak yang ingin saya kongsikan cuma 'mood' nak menulis tiada. Jadi segala yang berlegar di fikiran akhirnya berlalu begitu sahaja.

6 bulan bergelar isteri, Alhamdulillah, bersyukur sangat-sangat atas setiap nikmat yang Allah kurniakan. Masih dalam proses 'orientasi' rumahtangga. Bak kata seorang teman,, proses 'orientasi' rumahtangga mengambil masa selama 5 tahun!. Maka setiap hari akan belajar perkara yang baru. Apa jua keadaan, saya hanya mengharapkan redha Allah dalam tiap langkah dan semoga DIA sentiasa memelihara cinta kami dalam cintaNYA.


Alhamdulillah, antara nikmat terindah yang DIA kurniakan dalam kehidupan kini adalah nikmat bakal bergelar ayah dan ibu. Tak terhitung kesyukuran kami kerana rezeki awal yang dikurniakanNYA. Saya sendiri tidak menyangka secepat ini si kecil ini akan menghiasi kehidupan kami.

KUASA ALLAH


sebulan selepas perkahwinan, saya menghadiri kursus di Kuala Terengganu selama 3 hari. En Suami menemani. Ketika itulah en suami memberitahu nalurinya rasa kuat mengatakan yang pejuang kecil kami telah hadir. Saya cuma buat endah tak endah. Tidak mahu terlalu mengharap sebenarnya. Seminggu selepas itu, 'teman baik' saya yang sepatutnya datang tak datang. Dengan penuh teruja, kami mencuba HPT (home pregnancy test).

Saya masih ingat hari itu, saya sedang tidur. Lebih kurang jam 5 pagi. Tiba-tiba encik suami  menggerakkan saya. Katanya dia bermimpi saya mengandung. Awal pagi itu, dia menggerakkan saya semata-mata untuk buat HPT. Dengan mamai2 lagi, saya pun ke bilik air. Jeng jeng jeng.. garisan kedua timbul di HPT. Saya menggosok mata. Betul ke ni? Mata masih mamai lagi, rasa nampak tak nampak je garisan kedua tu. Saya buka pintu bilik air, en suami tercegat di hadapan pintu bilik air. 'Macam mana?' tanya beliau sepatah.

'Ntah, abang tengokla sendiri' kata saya seraya menyerahkan HPT padanya.
'Alhamdulillah' sepatah keluar dari mulutnya sambil tersenyum.
'ye ke ni?' saya pula bertanya, masih tak percaya.
'betul la ni, tadi pun abang dah mimpi' jawab suami dengan senyum menguntum.

Selanjutnya kami berjumpa doktor untuk pengesahan. Alhamdulillah. Ketika itu, usia perkahwinan kami baru 5 minggu dan usia pejuang kecil kami ialah 4 minggu. Tentulah satu cabaran juga kerana dalam masa yang singkat, perlu menyesuaikan diri dengan perkara-perkara baru dalam perubahan fasa demi fasa kehidupan.


Hari esok, usia pejuang kecil kami 25 minggu. Alhamdulillah, sepanjang 6 bulan ini, saya menikmai saat-saat indah bagi seorang bakal ibu. Awal usia kandungan, tiada masalah alahan dihadapi. Cuma selera makan berkurangan. Namun kami melalui saat-saat cemas apabila saya mengalami 'few episodes of bleeding'. Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik setakat ini dan pejuang kecil ini kini membesar dengan sihat dan semakin aktif bergerak, walaupun berpuasa. Alhamdulillah, pejuang kecil ini membesar di tengah bulan Ramadhan yang mulia. Mudah-mudahan saya diberi kesihatan yang baik untuk melalui Ramadhan kali ini sebaik mungkin. Mudah-mudahan juga, 'piala TAQWA' yang menjadi misi Ramadhan dapat di semai dalam jiwa pejuang kecil ini sejak awal lagi.

Begitulah kisahnya awal kehadiran pejuang kecil ini. Mudah-mudahan, jika satu masa dia membaca coretan ini, dia akan mengerti betapa kehadirannya amat menggembirakan dan membahagiakan kami. Kehadiran yang dinanti bukan sahaja oleh kami ibubapanya, tetapi juga keluarga besar kami. Dan mudah-mudahan anak ini kelak akan tahu betapa besar harapan kami, mahu dia jadi anak yang soleh//solehah yang sentiasa dekat dengan penciptaNYA. Mudah-mudahan harapan ini diperkenankanNYA dan Allah memberi kekuatan kepada kami untuk mendidik pejuang kecil ini dengan sebaiknya.

PESTA KEJU

Sejak mengandung (sejak berkahwin) saya mempunyai hobi baru. Suka masak makanan yang berasaskan keju! Kek keju pelbagai jenis, tat keju, triffle keju. Meriah betul. Saya suka masak je, makan tu bagi kat siapa-siapa yang berminat, selalunya saya bawa ke sekolah. Kesannya, sudah beberapa kali pula kelas masakan kek keju diadakan di rumah sebab rakan-rakan setugas nak belajar. Seronok juga main masak-masak ni. ;-)


MY BABY
Ni kisah 'anak pertama'. Bukan si kecil pejuang tadi, tapi kereta. Hehe. Akhirnya selepas 7 bulan bekerja, saya mendapatkan 'anak pertama' ni. si Viva putih. Oklah tu, ulang-alik dari rumah ke sekolah yang tak sampai 300m. Sebelum ni berjalan kaki sahaja, tapi bila si pejuang kecil dah ada, tak bolehla nak berjalan kaki mendaki bukit lagi. 14 Mei ambil dari kedai dan pada 16 Mei tahun ni, hari pertama saya menggunakannya ke sekolah. Kereta Hari Guru. ;-)

TAHNIAH!

Baru-baru ni sahabat baik saya Fatimah Shukor dah selamat melahirkan puteri sulungnya si comel Anis Tasnim. Tahniah untuk Faimah & Hashim. Moga Tasnim jadi anak yang solehah. Tahniah juga seorang lagi kawan Mukmin saya- Nurul Haida yang selamat melahirkan putera kedua- Harith Firdaus. Moga diberkati Allah selalu seisi keluarga.

Wednesday, February 16, 2011

Majlis Perkahwinan:: Segala Puji hanya milikMU

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, akhirnya selamat menjadi isteri kepada en. Jalaluddin bin Hashim, 4 februari yang lalu. Majlis kenduri belah perempuan diadakan pada 5hb diikuti majlis sambut menantu keesokannya. Majlis yang sederhana tetapi meriah. Apapun, saya sangat terharu dengan kehadiran ramai tetamu ke kedua-dua belah kenduri. Sangat teruja jumpa dengan kawan-kawan yang jauh dan dekat, dari kawan sekolah rendah (Al-Mukmin) , kawan se Wosto hinggalah kawan-kawan UIA (COMRADE). Juga kawan-kawan sekerja di SMK Bera.  Malah majlis ini jadi reunion mini untuk mereka. Juga terharu dengan kesudian guru-guru saya menghadirkan diri, seperti Ustazah Radziah (MUkmin) yang kali terakhir berjumpa adalah ketika usia saya 12 tahun! Masya Allah, namun kesudian beliau dan anak-anak datang amat mengharukan. Begitu juga guru-guru Mukmin yang lain dan guru-guru saya dan suami di Wosto. Doa dari para guru saya aminkan penuh pengharapan.

Tak lupa juga saudara mara belah mak dan abah, yang jauh dan dekat yang berkampung di rumah sejak awal. Jiran tetangga juga tak dilupa. Jasa dan bakti kalian, hanya Allah yang mampu membalasnya.

Buat kak Long dan Mimi adikku, thanks banyak-banyak siapkan pelamin tempat bergambar, bilik tidur dan khemah pengantin. Saya tidak menempah dari mana-mana butik. kakak ipar meminjam barang-barang dari sepupu dan kami bergotong-royong memasangnya. (Pengantin pun panjat memanjat menyiapkan segala..hehe)

hasilnya:

Kak Long memasang pelamin

Adikku Mimi ambil bahagian..Pengantin bagi arahan (nampak tangan je, masa ni belum berinai lagi)

Pelamin: untuk akad nikah duduk di bawah je..
Pelamin: tukar kerusi..
 

untuk pakaian majlis pulak, hanya pakaian semasa majlis belah lelaki yang disewa dari butik. Pakaian akad nikah hadiah dari mak (hantaran bertunang). Maka saya hantar ke kedai untuk dijahit dan saya jahitkan manik-maniknya. Pakaian hari besar pun pakaian sendiri. Beli kain di Serikin, Sarawak masa jalan-jalan dengan keluarga dulu. Hanya RM35 sehelai!! Hantar jahit dan saya jahit sendiri manik-maniknya.(memang ada kepuasan tersendiri sebab jahit manik sendiri kat baju untuk dipakai pada hari bahagia. Walau tak semeriah mana baju tu tapi rasa puas hati sangat2)  Banyak sebab saya memilih untuk buat sendiri daripada sewa di kedai. 1 sebab en suami selalu pakai baju Melayu, jadi kalau sewa kedai, harga yang lebih kurang sama tapi bajunya pulang balik, so baik buat sendiri. Duanya sebab agak susah nak cari pakaian yang menepati ciri-ciri menutup aurat. Saya cerewet sikit bab-bab ni.  Untuk make up pulak, satu hal jugak. namun Alhamdulillah, dapat mak andam yang menepati apa yang saya nak. Tak nak make up tebal2 sampai berubah muka, tak nak cukur kening & tak nak bulu mata palsu. Maka saya menggunakan 'kuasa' sebagai 'raja sehari' untuk elakkan semua tu. Alhamdulillah, 'kuasa' dapat digunakan sebaiknya. 

Semasa majlis kahwin ni, dah tak ada dulang hantaran lagi. Sebab masa bertunang dulu dah bawa maka kami ambil keputusan masa kahwin ni tak perlulah semua tu. lagipun adat je kan?? Mudahkan semua pihak juga. Alhamdulillah sebab kedua-dua keluarga pun tak kisah sangat tentang hantaran-hantaran ni. Apapun, saya rasa bersyukur sebab impian majlis yang sederhana tapi meriah dah direalisasikan. Meriah dengan tetamu, doa-doa dan ucapan mereka saya aminkan penuh pengharapan.  Cuma agak ralat sebab bila tetamu tak putus kunjung tiba, tak sempat nak bergambar dengan ahli keluarga penuh. Tapi tak pelah, kalau semua ada pun sorang (andak) takde tak seronok jugak..Nanti kahwin alang kita bergambar penuh satu family ok..?? 


oklah, kita layan gambar-gambar sekitar majlis yer...
Bersama adi bongsuku Izyani

Debaran akad Nikah


Alhamdulillah, selesai sudah,,mengucup tangan suami ..

Mahar cinta..

Hadiah..

Untuk suami tersayang.. cincin perak terukir NAJ 4.2.2011

Moga Allah berkati..



mohon restu mak dan abah..

Mohon restu wan (nenek saya,99 tahun).. Selendang saya jahit sendiri maniknya..cantik tak??


Adik (sepupu) sedang mengucar kacirkan bilik pengantin..hehe

Kek: Istimewa dari partner syarahan BA masa di Wosto yang kini bergelar Chef (hamizan Shahudin)

Abg sulung dan adik no 3 (saya di tengah-tengah antara mereka-no2)

Mak dan Abah..tak terbalas jasa kalian..

Sepupu dari Kelantan

'Puak-puak' Jambu Rias


Ustazah Selamah (Mukmin)

Menunggu en Suami

Kak Kin (Wosto) dan anak-anak yang sanggup datang naik ekspres dari Terengganu kerana suaminya tak dapat cuti..



My juniors





anak-anak sedara kesayangan Mak Ngah
My best friend- Fairuza..love u lots
gotong royong..



wajah-wajah kesayangan hamba..
Alhamdulillah atas setiap nikmat yang Allah kurniakan.Moga kasih sayang antara kami dan keluarga kedua belah pihak berkekalan.. Terima kasih pada semua dan mohon maaf atas tiap kekurangan.. Insya Allah entry akan datang tentang perasaan dan gambar-gambar lain pula (Belah lelaki).
Doakan kebahagiaan kami dunia dan akhirat dan moga masjid yang dibina membawa kami lebih menghampiri cintaNYA.


Friday, February 04, 2011

harapan hanya padaMU

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Lebih kurang 4 jam dari sekarang, status akan berubah..Moga Allah bantu dalam setiap langkah dan memberkati usrah yang bakal dibina..

Alhamdulillah, kerisauan kami berakhir apabila Izzati selamat sampai ke Jeddah pagi tadi. Bercuti hampir 2 minggu di Mesir, beliau terperangkap di sana dalam kekacauan yang berlaku. Tiket penerbangan pulang ke Jordan terpaksa dibatalkan. Setelah hampir seminggu melalui zaman perintah berkurung, akhirnya dapat keluar ke Jeddah dan akan pulang ke Jordan beberapa hari lagi.

dalam susah dan senang, pengharapan hanya pada DIA
الله المستعان

Wednesday, January 19, 2011

dekad yang lalu

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Mari mengimbas perjalanan hidup. Dekad yang lalu.

2000 (tingkatan empat)
- Buat keputusan untuk tolak tawaran ke KISAS selepas istikharah. 
- Pen Ketua asrama
- dapat anugerah Pengerusi Terbaik Forum Remaja Daerah
- Menang bola jaring MASISUPA dan Syarahan BA
-Tahun kenal dengan (en tunang). tapi masa tu sangat tak suka dia sebab kat dewan makan tiap-tiap hari kawan semeja makan yang juga sekelas dengan en tunang asyik cerita tentang dia. Dalam hati selalu kata macam bagus je budak ni apasal semua orang suka sangat cerita pasal dia) hahaha..lepas tu paling tak suka bila ada gosip2 antara kitorang padahal saya tak pernah langsung tegur mamat tu! 
- Dapat result SMA yang warna-warni. Impian dan target tahun 2000 tercapai.

2001(tingkatan 5)
-Penolong Ketua pelajar. En Tunang pulak jadi ketuanya.  Saya pelajar yang sangat serius. Hehehe.
- Johan Pidato DiRaja Temerloh. Ke-3 negeri Pahang.
-Ahli Panel Terbaik Forum Remaja Temerloh dan Johan daerah. mewakili Temerloh ke peringkat negeri. dapat saguhati.
- Cemburu dengan ketua saya masa tu sebab dia dapat ketiga kebangsaan Tilawah Al-Quran
- Sangat sibuk dari awal tahun hingga bulan 7 ke sana ke mari dengan aktiviti koko. MASISUPA (syarahan bahasa arab & bola jaring), pastu forum,pastu pidato. Pastu pergi perkhemahan ke sana dan ke mari juga Mak sangat selalu marah sebab tahun ni saya nak periksa SPM. tapi saya budak degil dan tak reti duduk diam.2 bulan sebelum SPM baru saya pulun semua.
- Rutin saya bangun pagi, sebelum subuh dah ada kat surau (rindunya hening dan dingin subuh di bumi Wosto )- saat yg pling rindu adalah azan subuh yg dialunkan en tunang yang sangat menusuk ke hati) (masa tu dalam hati takde taman lagi ok). Selepas subuh, saya akan ada di kelas sebelum 7 pagi. Buat target kerja harian kat kelas. 7.20 balik asrama untuk 'hambat' pelajar yang lambat ke sekolah (garang gila masa ni).
-Meninggalkan alam sekolah adalah sangat menyedihkan :(

2002
-Walau mak bising-bising saya sibuk, keputusan SPM buat mak tersenyum. 
- KIBAI kat Kuliyah 
-Dapat masuk matrik UIA. Bahasa Arab. Cita-cita dan impian sejak kecil tercapai. masih ingat baju kurung biru dan tudung labuh putih hadiah mak yang saya pakai masa daftar kat PJ. Sangat gembira tengok wajah mak abah senyum.
-Result matriks sangat comel ;-)
- My 1st handset- 3310. Nombor  maxis. Masa tu harga simkad rm198. Mahal betul.

2003
-dapat anugerah pelajar terbaik bahasa arab kat matriks. malam anugerah, saya jadi MC bahasa Arab. sangat gembira tengok mak abah berseri-seri malam tu.
- masuk kampus utama selepas 3 sem di matriks. Menjadi penghuni pertama Mahallah Ameenah (kini Zubair). Zaman nakal dan suka karaoke nasyid dalam bilik dengan geng-geng sekepala. Mula berjinak-jinak dengan COMRADE

2004
-Cuti sem panjang, jadi guru ganti Cikgu Sarimah kat Wosto. Latih pidato dan menang daerah Temerloh. latih forum dan menang juga daerah. Cikgu ganti 2 bulan, saya lebih banyak berjalan bawa budak-budak bertanding. Suka hati. hehehe
- 1st program dengan COMRADE- ANtraxx kat Endau Rompin. kenal dengan COMRADEANS yang baik hati dan terus jatuh cinta. Rutin lepas tu- tiap sem masuk kampung orang asli!

2005
-Tak ingat sangat tapi masa belajar ni malas sikit. Mula berjinak-jinak dengan debat bahasa Arab.Jadi penjaga masa pertandingan debat bahasa Arab tapi selalu leka sebab kepala ligat fikir nak 'lawan' pendebat. Akhirnya waktu perkhemahan di Tanjung Bidara, saya dipaksa berdebat (masa tu AJK program) dengan pendebat2 UIA. terus 'ditarik' dan terjun ke bidang ini.

2006
-Program debat pertama- ASEAN Intervarsity dan dapat naib Johan.
-Debat Intervarsity- Johan
- Terpilih ikuti Educational Visit ke India. 1st time pergi jauh ke luar negara, 1st time naik 'belon'. Sangat gembira dapat ke Taj Mahal.
-Debat diraja- Semi Finalist. >> Best sebab dapat jalan-jalan ke Sarawak. (jalan-jalan percuma memang best)

2007
-Tahun akhir. tamat pada April. Rasa belum puas belajar. Sambung master Jun 2007.
- Sangat seronok belajar dan baru rasa nikmat belajar yang sebenar.
- Trainer debat BA untuk beginner.
- Konvokesyen: menangis saat berselawat beramai-ramai masuk ke dewan. rasa bertuah dipilih Allah. Gembira dapat gembirakan mak dan abah.

2008
-Bergelut dengan tesis. Tapi sangat perlahan siapkannya. 
- Ada orang hubungi semula. (jeng jeng jeng) n bagitau nak gi umrah (hadiah menang tilawah).. Bagitau nak doa kat sana, doa DIA tunjuk yang terbaik untuk kami. Diam tak terkata sebab tak rasa apa-apa.
- Penghujung 2008- Dalam hati ada taman. ('',) Tapi mengenangkan perjalanan yang masih jauh, tak siram bunga kat taman tu. Biar je jadi hidup segan mati tak mahu. hehehe.

2009
- Mengajar kat Wosto sebab dah penat belajar. sambil siapkan tesis. Dapat tawaran JQAF di SK Gunung Senyum tapi menolak.
-Kembali ke Al-Wosto tercinta dengan gembira. Kembali menjadi jurulatih pelbagai acara (inilah duniaku)..
-Guru kelas 2 Ibnu Sina dan warden asrama. Ustazah/teacher yang garang tapi baik hati (kononnya)..
-dah umur 25 jadi dah mula fikir serius banyak perkara. Berkira-kira untuk menyiram bunga dalam taman supaya segar sikit. ('',)
-Julai- dapat tawaran DPLI di UIA (Bahasa Arab) dan terima. Tinggalkan wosto dengan sedih tapi gembira sebab laluan cita-cita semakin terbuka. Belajar DPLI dengan bersungguh-sungguh dan serius.
- Penghujung 2009- rombongan merisik datang. Mula fikir masa hadapan dengan serius. Cuma laluan di hadapan tu nampaknya masih panjang..

2010
-Latihan Mengajar di SMK Hillcrest. 2 Arif akan diingat sampai bila-bila sebab anak murid (rasmi) pertama.
- Feb 2010- Bertunang. 
-Habiskan DPLI
-Ditempatkan di SMK Bera
-1st time merasa gaji sendiri (gaji kerja tetap)
-Oktober- Konvo kali ke-2. (DPLI) dapat anugerah pelajar terbaik DPLI bahasa arab. Senyum sebab tengok mak abah n en t gembira.

2011
.........
........
........

Mengharapkan yang baik-baik dan lebih baik dari tahun sebelumnya. Azam bulan januari dah tercapai (dapatkan lesen kereta) hehehe...

Mahu jadi guru bahasa yang baik (bahasa melayu dan bahasa Arab)
jadi isteri (dan ibu) yang baik
jadi anak dan menatu yang baik
jadi kakak dan adik yang baik
jadi kawan yang baik


yang paling utama
MESTI JADI HAMBA YANG LEBIH BAIK ('',)

Selamat hari lahir ke-26 untuk encik tunang (8 jan)..moga diberkati selalu jalan hidupmu!

-menanti 24 jan dan 10 hari berikutnya- Moga Allah permudahkan semua...

...It'll be my 26th birthday
and i hope he'll not go far away
the hope in my heart, in my pray
i believe Allah will show us the way
and make ease for us for the day...