JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Monday, May 21, 2007

moga tenang di sana..

  • Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Al- Fatihah buat ayah angkat tersayang, Abu Hassan Hj Kecik yang meninggal dunia pada jam 9.45 malam,Sabtu 12 Mei 2007



Sabtu malam, saya sedang berkumpul bersama mak dan adik-adik. Malam waktu istirehat, sambil menonton televisyen. Abah pula di ruang sebelah, sibuk membuat panggilan kepada saudara mara, menjemput untuk kenduri abg long nanti. tiba-tiba abah datang, menghulur telefon bimbit emak “ada miscall dari rumah Mak Nah” kata abah. Emak mencapai telefon bimbitnya dan terus mendail nombor rumah Mak Nah.Talian sibuk. Emak mendail lagi. Dan apabila panggilan dijawab, khabar duka, pemergian ayah angkat saya- yang saya panggil abah- diterima. Innalillah wainna ilaihi rajiun..

Saya, mak dan abah bergegas bersiap. Saya membawa bekal pakaian, berhajat untuk bermalam di sana. Abah dan emak mengizinkan. Di saat ini, hanya terbayang wajah duka ibu angkat saya –yang saya panggil emak-.. masih basah dalam ingatan, pemergian Kak Mawar, 2 tahun lepas. Masih baru lagi rasanya.. dan kini emak kehilangan pula suami tersayang. Janji Allah pasti, bila tiba waktu perjanjianNYA, kita pasti kembali.

Perjalanan ke rumah mereka mengambil masa lebih kurang 10 minit. Proton Saga kelabu yang dipandu abah membelah malam menuju ke Kg. Gajah Mati. Sampai di rumah, mak tenang di sisi jenazah abah. Saya memeluk emak. Membisikkan kata-kata semangat. Seterusnya mencari kakak-kakak yang lain. Mereka di bilik. Kak Ima, Kak Mas, seorang demi seorang saya salami dan peluk. Sedu sedan bersulam.. seorang demi seorang saudara mara dan jiran tetangga datang berziarah malam itu.. hampir 12 malam, yang tinggal Cuma anak-anak dan menantu-menantu arwah. Di sisi jenazah abah, emak masih setia melagukan ayat-ayat suci al-quran. Saya menemani emak, bersama abang-abang dan kakak-kakak yang lain. Kami bergilir-gilir membacakan ayat-ayat suci al-quran. Sambil membaca, emak meminta saya menyemak bacaannya, dan membetulkan jika tersalah baca. Hampir 3.00 pagi, mata saya tidak mampu menahan kantuk. Melihatnya, emak menyuruh saya tidur, dan saya meminta izin masuk ke bilik..

5.30 pagi-alunan bacaan al-quran mengejutkan saya dari lena. Selesai mandi dan solat subuh, saya kembali membaca Al-Quran di sisi jenazah. Abg ngah dan isteri bersama anak-anak sudah sampai lewat pagi tadi. Maka semua anak-anak arwah abah sudah berada di rumah. Saya mencari kelibat emak. Tiada di ruang depan itu. Saya ke dapur, mencari emak. Sayu hati melihat emak berdiri di depan pintu dapur, membelakangkan saya, menghadap remang-remang subuh. Jauh menungannya. Emak saya hampiri. Sekujur tubuh lemah emak saya dakap erat. Emak menangis di bahu saya. “akak baru lagi pergi, ni abah pulak tinggalkan mak” sendu emak di pagi hari. Saya memujuk emak, meniupkan kesabaran.. Ya Allah, tabahkan hati emak. Saya memahami derita emak. Masa saya masih kecil, anak emak yang ke 3- Abang Edi meninggal dunia dalam kemalangan yang ngeri. 2 tahun lepas, Kak Mawar kesayangan kami pula kembali kepada Rabb. Bukan kematian itu yang dikesali, tapi cara kematiannya yang tragis itu (rujuk entry mac 2005) amat memilukan. Dan kini, teman hidupnya selama 40 tahun pula pergi. Sejak arwah kak Mawar pergi, mak tinggal berdua di rumah itu dengan abah. Dan sekarang, perjanjian Abah dengan Rabb sampai. Tinggallah emak, dengan kesedihan yang tiada hujungnya..

Saudara mara, tetangga, sahabat handai semakin ramai memenuhi rumah. Saya mengikut mak cik-mak cik mencari daun bidara, melerai dan melumatkannya untuk mandi jenazah. Jam 9pagi, anak-anak arwah Kak Mawar- Hakim dan Nisa sampai bersama papa dan mama baru mereka. ketika memeluk tubuh kecil Hakim dan Nisa, emak menangis lagi. Mengundang pilu di hati kami yang melihatnya…

Hampir 11 pagi, jenazah siap dikafan dan disolatkan. Saya dan adik- Izzati memapah emak ke kubur untuk persemadian abah. Abah disemadikan di sebelah kubur arwah Kak Mawar. Emak dalam langkah yang longlai, dalam sedu sedannya menggagahkan diri membacakan ayat-ayat suci Al-quran untuk suami dan anak-anak yang telah pergi dahulu..

‘Wahai jiwa yang tenang, pulanglah kamu kepadaTuhanmu dengan redha dan kamu diredhai, masuklah bersama hamba-hambaku, dan masuklah ke dalam syurgaku”
****
3 hari, abah dimasukkan ke hospital kerana lemah jantung. Sabtu pagi, meronta-ronta abah ingin pulang. Kerana desakannya, doctor membenarkan abah pulang, dengan janji dia akan kembali semula untuk buat follow up. Malam itu, abah makan tengahari berlaukkan ikan goreng. Dia masih mampu berjalan sendiri, ke dapur, kedepan rumah. Selepas makan, abah baring di tilamnya.Jam 9.30 malam, abah mengadu kepanasan. Dia meminta Kak Mas memasang kipas. Abah cuba bangun dari pembaringan, tapi dia tiba-tiba rebah kembali. Hilang kekuatan. Dalam baringnya dia mengadu kepanasan. Emak mengambil air batu untuk meredakan kepanasannya. Abah kian tercungap-cungap. Kak Mas dan emak mengajarnya mengucap. Dengan mudah, nyawanya ditarik keluar dan dia kembali menemui Ilahi..

Hj Abu Hassan bin Kecik. Saya dan adik-adik memanggilnya ‘aboh gemok’.. kerana fizikalnya, pasti. Dari kecil, sejak saya belum lahir lagi, sewaktu kami sekeluarga menetap di Kg Gajah Mati, kami menyewa rumah sewa abah. Dan sejak usia saya 2 bulan, sewaktu mak dan abah bekerja, saya dihantar ke rumah keluarga ini. Ibu asuhan saya- Mak Nah- saya panggilnya Emak. Dan suaminya- saya panggil abah. Anak-anak mereka pula menjadi kakak dan abang saya. Dalam kasih sayang keluarga ini, saya membesar, hinggalah usia saya 7 tahun, keluarga kami berpindah ke Taman Saga. Namun hubungan erat ini tak pernah terputus.

Abah yang saya kenali, sangat berdisiplin orangnya, maklumlah dulu dia merupakan Tukang Masak Tentera. Selepas bersara dari tentera, beliau bekerja sebagai tukang masak hospital mentakab.
Walaupun tegas, abah penyayang orangnya. Masih ada dalam kotak memori saya kenangan zaman kanak-kanak bersama abah. Saya seringkali mengikut mak dan abah serta kakak-kakak menanam jagung dan pisang di tepi sungai pahang. Penat bekerja, kami membakar jagung dan pisang. Enak sekali jagung dan pisang bakar dimakan panas-panas dengan air kopi. Makan berkelah di tepi sungai pahang. Selesai makan, kami terjun sungai..

Masih terasa riangnya berendam dalam kolam ikan abah di belakang rumah, memungut ikan-ikan potak yang tersangkut di jaring. Dan masih terasa lenguhnya leher mendongak melihat abah memanjat pokok kabung untuk menadah nira pada dahannya… masih terasa penatnya mengejar itik-itik dan angsa, sewaktu mengikut abah dan emak memberi makan ternakannya..
Masih segar juga, kenangan berulang-alik ke jerantut pada hujung minggu untuk menziarahi kak Ima, anak bongsu mak dan abah yang ketika itu menuntut di SMK TAHAP. Dan sepanjang perjalanan itulah, abah akan menitipkan nasihat, agar saya belajar rajin-rajin.
Walaupun kami pindah ke Taman Saga, abah masih prihatin, terutama soal pelajaran. Setiap kali menhgadapi peperiksaan besar, abah tak lupa menasihati dan apabila result keluar, pasti dia antara orang yang awal bertanyakan keputusan…

Semuanya masih basah dalam ingatan.zaman kanak-kanak saya.. di atas dukungan abah, saya membesar..terlalu banyak jasa abah dan keluarga pada saya, adik-adik dan keluarga..

Buat abah, moga Allah membalas jasa dan kebaikan abah dengan kasih sayangNYA yang tak bertepi. Moga abah tenang di sana, di sisi Rab.. kami semua juga akan kembali nanti..

No comments: