Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Monday, February 22, 2010

Refleksi praktikal 2










Subjek: Pendidikan Islam

Kelas: 4 XXX

Tajuk: Rasul Penyampai Wahyu (Tugas Rasul,perkara ghaib,peranan manusia)

Saya memulakan set induksi dengan menulis perkataan berikut di papan putih

2012

Ternyata ‘tembakan’ ini mengena apabila usai menulis, kelas mula riuh rendah. Filem 2012. Memang itu yang saya maksudkan. Lantas seorang demi seorang pelajar melontarkan pandangan mereka tentang filem ini. Saya tidak menontonnya tetapi saya membaca tentang filem ini. Saya bertanya pelajar siapa yang menonton filem ini, hampir semua kelas mengangkat tangan.saya tanyakan isi kandungannya. Berebut-rebut pelajar ingin menjawab. Setelah memberi peluang kepada 2,3 pelajar melontarkan idea mereka, saya akhiri induksi itu dengan soalan, apakah hukumnya meramal hari kiamat? Beberapa pelajar memberi jawapan yang memuaskan hati saya. Lantas kandungan sebenar pelajaran disentuh.

Berdasarkan itu, saya melihat amat penting untuk seorang guru, khususnya mata pelajaran Pendidikan Islam menjadikan subjek itu ‘hidup’ dan amat dekat dengan jiwa pelajar kerana mereka melaluinya setiap hari. Ada sahaja perkara yang berlaku di sekeliling memerlukan panduan dari ‘agama’. Jika pelajaran sekadar menjadi hafalan fakta, pelajar akan gagal menghayatinya. Ketika menyampaikan tajuk ini, saya juga menyentuh tentang aplikasi mengarut dalam penggunaan laman sosial yang menjadi kegilaan remaja hari ini- Facebook. Semasa sesi taaruf sebelum ini, saya mendapati hampir keseluruhan pelajar mempunyai akaun Facebook mereka. Justeru, saya mengaitkan dengan penggunaan berbagai-bagai kuiz ramalan yang terdapat dalam laman sosial tersebut.

Refleksi saya adalah apabila perkara yang diajar dikaitkan dengan reality kehiduan seharian, subjek menjadi dekat dengan pelajar dan minat mereka bertambah. Dan cabarannya untuk para guru adalah supaya mengetahui isu semasa, lebih mengenali siapa pelajar mereka dan lebih kreatif dalam perbincangan dalam kelas.



Tajuk: Khulafa Ar-Rasyidin

Semasa tajuk ini, teknik bercerita dan perbincangan kumpulan digunakan. Saya membekalkan mereka dengan peta minda yang masih kosong di sana-sini. Mengagihkan beberapa tajuk kecil kepada beberapa kumpulan, pelajar melakukan perbincangan dan membuat persembahan disamping memenuhi peta minda berdasarkan persembahan rakan-rakan tadi.

Antara perkara yang saya cuba untuk kaitkan dengan tajuk ini adalah hubungan dengan kafir Dzimmi, antara polisi dalam pemerintahan KAR (sejak zaman Rasulullah sollallahu a’laihi wasallam).. Kelas /sekolah tempat saya menjalani latihan mengajar ini adalah sekolah multi ras. Justeru saya tekankan tentang peri pentingya menjaga hubungan sesama kaum dan tidak memulakan sebarang api yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Saya turut membawa pelajar menghayati semangat Usamah bin Zaid yang hanya berusia 18 tahun ketika menjadi panglima perang dan dihantar ke Ghassan oleh Abu Bakar As-Siddiq. Satu cabaran buat mereka yang hampir seusia dengan sahabat agung ini supaya menjadi pemuda yang kuat dan berguna untuk agama dan bangsa.

Alhamdulillah, teknik penceritaan seperti diperakukan ramai, malah terbukti jika kita lihat dalam Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai satu teknik yang malar segar. Amat digemari dari dulu hingga kini. Namun cabaran untuk guru adalah bahasa yang digunakan dan teknik penyampaian yang berkesan. Disamping diselangselikan dengan kecindan dan persoalan supaya sesi tidak menjadi sesuatu yang menjemukan.

Untuk perkongsian, saya syorkan anda membaca buku bertajuk ‘Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik’ keluaran Must Read Sdn Bhd, hasil tulisan Razali Saaran. Saya menjumpai buku ini semasa bertandang ke bilik Jaie- budak comel- semalam. Belum menekuninya, sekadar buat ‘speed reading’ terhadap kandungannya namun saya dapati panduan di dalamnya amat berguna untuk para guru, lebih-lebih lagi guru pelatih seperti saya. Bukankah Rasulullah itu contoh teladan terbaik kita?

::Mari Belajar Bahasa Arab dengan Gembira::

Hari saya diselia, tajuk pengajaran adalah tentang أنواع الأفعال من حيث زمنها > Maka pada hari itu, skop pengajaran di dalam kelas adalah tentang jenis-jenis فعل diikuti فعل الماضي secara mendalam.

Malam itu, saya telah menyediakan ABM untuk pengajaran iaitu carta aliran untuk tasrif fi’il..

 
bahan-bahannya...

ukur jangan tak ukur....


potong jangan tak potong...


isi gam jangan tak isi...


tampal jangan tak tampal....


siap satu langkah...


                                                           lekatkan dengan riben...


percubaan.. Alhamdulillah dah siap...





Untuk set induksi, saya menulis 3 kumpulan ayat yang berbeza, mewakili 3 zaman فعل Lalu saya tanyakan para pelajar apa perbezaan yang terdapat dalam 3 kumpulan tadi. Pelajar-pelajar yang bijak ini dapat melihat perbezaan ayat dan mengeluarkannya. Maka tajuk pelajaran pun diperkenalkan.

Ketika menerangkan فعل الماضي saya mengeluarkan ABM yang dibuat dan membina contoh-contoh ayat berdasarkan carta yang sedia ada dengan bertanya pelajar penambahan /perubahan yang berlaku untuk setiap dhomir yang berbeza. (إسناد الأفعال إلى الضمائر ). Di penghujung sesi, teknik pengulangan dilakukan untuk memenuhi objektif pelajar dapat menhafal tasrif fi’il tersebut.



Bagi tujuan itu, saya menggunakan teknik ‘menghafal mengikut mood.’

Mari menghafal ketika gembira:

Kataba

Katabaa

Katabuu.. – hingga akhir (dalam mood yang amat gembira, dengan memek muka ceria dan senyuman paling menawan)

Mari menghafal ketika sedih

Kataba..

Katabaa..

Katabu.. hingga akhir (dengan memek muka yang sedih, nada yang sedih, )

Mari menghafal ketika marah

Kataba

Katabaa..

Katabuu.. (dengan memek muka garang, nada yang tegas)



Ustazah, sambil menangis…?? Kata pelajar dan saya menyuruh dia yang melakukannya..

(saya mendapat idea teknik ini daripada kisah ‘Goreng Pisang..siapa nak beli Goreng Pisang’ yang dipersembahkan di Pos Tuel)

Yang pasti teknik ini membuat pelajar gembira, kelas ceria dan pelajar tidak jemu nak menghafal tasrif 14 untuk fi’il madhi.. sebelum kelas berakhir saya melakukan pertandingan siapa dapat hafal dalam masa yang paling pantas.. menyebut tasrif 14 ini dengan secepat mungkin tanpa kesilapan.. berebut-rebut pelajar nak hafal dan majoritinya dapat hafal dengan baik. Penilaian dilakukan dan hasil pembelajaran yang dinyatakan tercapai.

Refleksi dari penyelia: Alhamdulillah, mendapat reaksi positif dari penyelia Cuma saya perlu perbaiki cara penggunaan ABM. Carta yang saya tunjukkan di awal pelajaran sepatutnya hanya ditayangkan di hujung pembelajaran, semasa memulakan teknik hafazan. Ini bagi mengelakkan terlalu banyak maklumat yang diterima pelajar dalam satu masa apabila carta diletakkan sekaligus. Sebaiknya, bina bersama-sama pelajar dahulu satu persatu, di akhir baru letakkan carta. (Al-Quran pun diturunkan secara berperingkat, begitulah dalam pengajaran, sedikit demi sedikit, bukan diberikan sekaligus). Satu pengajaran yang berguna untuk saya pada masa hadapan.. Alhamdulillah

Refleksi saya: Adakalanya, guru perlu menjadi pelakon di dalam kelas. Memek muka, nada,intonasi,suara, semuanya adalah elemen penting untuk komunikasi berkesan. Kelas yang ceria akan menggalakkan sesi pembelajaran dan menambah minat pelajar dalam pengajaran. Alhamdulillah, selepas 2 minggu mengajar, ada di kalangan pelajar yang meminta saya supaya menjadi guru tetap di situ, bukan sekadar sehingga bulan April. Alhamdulillah, ini bermakna saya telah berjaya memenangi hati mereka.. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan lagi agar cinta mereka kepada Bahasa Arab akan terus dipupuk. Hari ini, saya menunggu-nunggu hari-hari seterusnya untuk masuk ke kelas lagi. Seperti mana mereka yang sudah jatuh cinta, saya juga sudah jatuh cinta lagi!

jatuh cinta lagi... !