Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Tuesday, June 19, 2007

sempena hari bapa: CAA 5906: LAMBANG CINTAMU YANG TAK BERTEPI

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


CAA 5906. proton saga kelabu abah. Dimiliki sejak 1986. lambang cinta, lambang pengorbanan, lambang kegigihan, lambang kasih sayang abah yang tak bertepi pada kami.

Hari ini, usia CAA 5906 sudah 21 tahun, seusia adikku yang ke 4-mimi. Dan sepanjang tempoh itulah, masih gagah ia berkhidmat kepada kami.
Ia menemani abah saban hari berulang alik dari Taman Saga ke SMA Al-Wosto dengan perjalanan kira-kira 45 minit. Berulang-alik ke destinasi-destinasi yang kerap dikunjungi- Al-Mukmin (hingga kini, kerana adik-adik saya masih di sana), kedai Telekom Mentakab (dulu-tika mak masih bertugas di situ), kampung kami-kg Jambu Rias (dulu-ketika wan masih menetap di sana), serta ke kebun, untuk abah menabur budi pada tanah.

Di tempat letak kereta guru di Al-Wosto, CAA 5906 diparkir di belah kanan sekali. Dari tahun 1989 hinggalah sekarang, ia masih di situ.Deretan kereta cikgu-cikgu lain, sering bertukar ganti. Kerana 2 sebab- kerana para guru yang bertukar ganti dan kerana guru-guru yang selalu menaik taraf kereta mereka. Manakan tidak, sudah 19 tahun, munasabahlah jika guru-guru lain menukar kereta, dari Proton Saga ke Waja- Spektra, atau jika masih setia dengan jenama tempatan- memilih Gen2 atau MyVi.

Tapi tidak bagi CAA 5906. masih kental jiwanya bersama cikgu Jamaludin.
Persoalannya, kenapa??

Kerana itulah lambang kasih sayang dan pengorbanan abah pada kami adik-beradik. Setiap kali model kereta baru keluar, kami menggiat abah
‘abah, unser ni lawa.. besar pulak tu’
“Abah, gen2 ni cantikla’
“Abah, avanza ni muatla kalau kita jalan jauh’
“Abah, MyVi ni ok gak”

Tapi tiap kali itu juga, jawapan abah sama; “belanja sekolah kamu semua lebih penting”

Itulah abah, apa-apa hal, pendidikan kami tetap diutamakan. Biarlah cikgu-cikgu lain mengganti kereta, bergaya dengan model-model terbaru. Bagi abah, selagi CAA 5906 masih mampu berfungsi dengan baik, membawanya berulang alik mencari rezeki, mendidik anak bangsa, dia tidak kisah. Biarlah kereta itu buruk, bak kata adik saya Amran Munawar satu petang, ketika kami duduk bersantai di beranda rumah, di sisi CAA 5906.

“ngah, ni kereta perang ni” kata Munawar, membuat saya terpinga.
“kereta perang ? kenapa?”
“ yela, tengok ni, lubang sana sini, macam kereta yang kena bedil ngan peluru kat Palesti tu.”
Oh, terkesima saya, membawa saya meneliti kereta kesayangan abah. Benar, beberapa lubang di bumbungnya ditampal. Dan masih banyak kecacatan lain, antaranya pintu belakang yang hanya boleh dibuka dari luar. Untuk itu, setiap kali saya keluar dengan mak dan abah dan saya duduk di belakang, seringkali saya usik pada mereka, ‘rasa macam boss pulak’ co jika ingin keluar, mereka perlu membuka pintu itu dari luar.

Tahun lepas, abah membeli kancil 2nd hand adik saya –nazifi berulang alik dari gombak ke mentakab. Dan saya menjadi penumpang setia. Namun CAA 5906 masih jadi kesayangan abah. Baru-baru ini saya suarakan lagi pada abah, tak nak tukar kereta ke?

Jawapan abah masih sama. “Kereta tu, kalau jual pun tak seberapa harganya. Biarlah, elok lagi.”

Dan emak menyampuk.. “anak-anak mak dah besar. Kami tunggu anak-anak semua balik, dengan kereta masing-masing, bawa kami jalan-jalan” lembut tapi penuh makna.

Itulah abah, perbelanjaan yang lebih utama diutamakan, membesarkan 8 orang anak dalam kehidupan serba seadanya, dan abah, akan terus meniupkan semangat dan kegigihannya pada kami dalam senyapnya itu.

Abah, selamat hari bapa. Kami semua sayangkan abah.
Kak ngah dan anak-anakmu..

No comments: