Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Thursday, October 18, 2012

Mutakhir...


بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sungguh, lama saya tidak meninggalkan catatan di sini. Sekadar menjadi pembaca senyap kepada blog-blog rakan-rakan. Masa yang dipenuhi dengan pelbagai rutin harian. 

Hidup saya Alhamdulillah, ceria dikelilingi senyum tawa dan tangis manja Najla Rufayda yang kini berusia 11 bulan. Semakin bijak, banyak ragam dan keletah. Selaku cucu sulung sebelah keluarga saya, dia selalu jadi perhatian emak-emak saudara dan bapa-bapa saudara. Malah di sebelah suami juga, kerana statusnya sebagai 'yang paling kecil' dalam kalangan kami.

Alhamdulillah, walau berjauhan dengan ayah, Najla sangat solehah!. Mungkin dia memahami Umminya bersendirian menjaganya. Jarang sekali dia membuat kerenah. Setiap hari, hari saya dilalui dengan penuh kesyukuran atas kurniaanNYA, permata hati sebijak dia. Melayan kerenahnya walaupun kepenatan tetapi sering membuat saya tersenyum. Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Suami masih di Perlis. lebih tepat di Institut Pendidikan Guru Kangar. Baki pengajiannya satu semester lagi- praktikum yang akan bermula januari depan. Tempat praktikal ditentukan- SK Kuala Teriang, Langkawi. Insya Allah, jika tiada halangan, saya akan bercuti 3 bulan, selepas 40 hari akan ke sana menemani suami.
Cuti 3 bulan??? Ya, Insya Allah, moga Allah memudahkan urusan kami seterusnya, Najla akan menjadi kakak , dijangka januari akan datang. Kandungan saya kini mencecah 6 bulan. Alhamdulillah, biar berjauhan dengan suami, membesarkan Najla dan membawa kandungan ini, Allah dengan keagungan dan kasih sayangNYA mengurniakan saya kesihatan yang baik. Dia sesungguhnya amat Pemurah, mengurniakan kami pelbagai nikmat di sebalik cabaran demi cabaran.

Seperti sepanjang mengandungkan Najla dulu, Alhamdulillah, tiada alahan. Kesihatan juga baik. Cuma agak penat menguruskan Najla yang semakin lasak sendirian. Tetapi saya gembira. Teruja seperti kali pertama bakal menimang cahaya mata. Suami juga begitu, gembira menerima kehadiran orang baru, keluarga yang semakin membesar dan Insya Allah, semoga semakin luas rezekiNya untuk kami.

Sejak jun lalu, kami kini telah menginap di rumah kami sendiri. Serba sederhana, seadanya untuk kami meneruskan kehidupan. Baitii Jannatii Insya Allah. 

Ok, berhenti di sini dahulu. Doakan, semoga diipermudahkan segalanya untuk kami. Atas nikmat kehidupan hingga hari ini, saya seringkali rasakan, amat sedikit kesyukuran ini. ayuh berusaha menjadi hamba yang baik setiap hari, dan menjadi yang terbaik untuk setiap insan di sekeliling kita. ya Allah, bantulah kami kerana sesungguhnya tanpaMu kami tak punya apa-apa dan hanyalah insan yang tidak berdaya.

 

Friday, April 20, 2012

Kain putih bercorak iman


بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

5 Bulan Sayang usiamu kini
Terasa baru semalam
mendapat khabar kewujudanmu
melukis senyum di wajah Ummi dan Ayahmu

terasa baru semalam
merasa tendangan dan kuisanmu
dalam rahim persinggahan
mengukir senyum di wajah Ummi

terasa baru semalam
sakit melahirkanmu dirasakan
menjelma teruja dalam debaran

terasa baru semalam
mendengar sapaan tangis pertama
melihat wajah mulus pandang pertama
mendakap tubuh mungilmu kejap di dada
mengukir cinta tiada sempadannya

setiap detik 
melihat dirimu membesar di hadapan mata
saat terindah dalam hidup bonda

setiap saat
denyut nadi sarat cinta
namun kusedar di alam nyata
engkaulah permata
engkaulah amanah
asuhanku disoal di sana
hala tujumu ke mana hala

engkaulah
kain putih yang ingin kucorakkan
dengan warna iman
agar di sana kasih dan cinta kita berkekalan
dalam dakapan cinta Ar rahman

Ummu Najla Rufayda
20 April 2012
Bandar 32

Saturday, March 10, 2012

Najla- almost 4months

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, Najla Rufayda si bintang hati dah menghampiri 4 bulan. Sangat peramah. Sangat suka tersenyum bila ditegur. (ikut sapa ni eh?). Alhamdulillah dah boleh meniarap sejak usianya 3 bulan. Mulut dah semakin riuh. Alhamdulillah, Allah izinkan Ummi untuk masih menyusukan Najla sepenuhnya. Di rumah pengasuh najla dibekalkan dengan susu perahan (ebm). Moga-moga Allah izinkan niat Ummi untuk menyusukan Najla sehingga usianya 2 tahun. Kembali kepada sunnah. memang susah dan banyak cabaran tapi Ummi mahukan yang terbaik untuk si bintang hati ni.

For the time being, Najla tinggal berdua dengan Ummi sebab Ayah sedang ikuti Diploma Pendidikan di IPG kangar, Perlis. (Jauh kan??) Alhamdulillah sebab Najla sangat solehah dan tak meragam. Malah, jadi teman setia Ummi.

Hidup berdua memang banyak cabarannya . Tetapi setiap kesusahan pasti ada kesenangan akhirnya. Ummi mesti kuat. Januari lalu nenek (ibu mertua) kembali ke rahmatullah. Ayah perlu ke Perlis untuk setahun setengah. macam-macam berlaku. Sedih. Tapi kena kuat. jangan ikutkan kesedihan tu, nanti semua kerja tak jadi. lagipun kalau terlalu bersedih nanti susu untuk Najla merudum. Justeru, Ummi merendam segala kesedihan itu jauh ke sudut hati. Ummi hanya ingin jadi kuat dan tabah. Untuk Ayah, untuk Najla. Untuk seisi keluarga.

Tanggungjawab di sekolah dan di rumah. Sekarang musim sukan dan kokurikulum. Balik dari sekolah jam 3.10, ambil Najla di rumah pengasuh. Jam 4 sama ada di padang melatih bola jaring atau di dewan melatih bahas dan pidato. Najla ikut sama. Sebenarnya boleh je tinggalkan dia di rumah pengasuh. Tapi Ummi tak sampai hati. Kasihan dia. Ayah jauh, kalu Ummi pun selalu ambil lambat, sangatlah kasihan anak Ummi. jadi ummi angkut dia sama. Dia selalu terpinga bila tengok Ummi berbahas dengan anak-anak murid Ummi. Dia selalu merenung bila Ummi bagi arahan main bola jaring di padang. yang penting najla dapat tengok muka Ummi.

Minggu lepas 2 hari berturut-turut Ummi ada tugas di luar, Rabu ada Multaqa guru pendidikan Islam. Bahasa Arab daerah Bera. Khamis ada mesyuarat kokuria di PPD. Balik lambat. 6.30 baru sampai rumah dan ambil Najla. Sangat kasihan dia. Sudahnya, walau petang itu dia berjaga jam 5.30, dia hanya tidur jam 11.30 malam. Berjaga sebab nak main-main dengan Ummi. Sebab nak tengok muka Ummi. Sebab rindukan Ummi yang ambil dia lambat. Ummi yang penat sebab selepas seharian ada tugasan, melayan pulak kerenah Najla yang tak nak tidur. tapi Ummi gembira. kepenatan hilang bila tengok senyum manis Najla dan dengar suara manjanya berborak dengan Ummi dengan bahasa yang tak difahami! Indahnya menjadi seorang ibu, Alhamdulillah atas tiap nikmat yang Allah kurniakan.

Alhamdulillah, latihan petang2 berbaloi. Pidato dan bahas johan daerah. Forum naib johan. Tahniah anak-anak didik Ummi. Terima kasih Najla sebab temankan ummi.  Ummi terkenang guru-guru yang banyak memberi tunjuk ajar dalam bidang ini. Moga Allah rahmati mereka. Cikgu Zaki, Cikgu Sarimah. Cikgu Khairul. Dr Rahmah. Dr Akmal, Dr Majdi, Ust Solah. Ust Ibrahim. Moga Alah rahmati semua.

Sebenarnya ada entry januari yang belum siap. entry sedih sampai tak boleh nak taip sampai habis. nanti ada mood baru siapkan.

Al-Fatihah untuk nenek.