بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
November menjelang.. Oktober lalu, genap 6 tahun saya bermukim di bumi UIA ini.. Saya mendaftar di Main Campus ini Oktober 2003. Kini sudah 2009. Telah lama masa berlalu, namun tidak terasa ia berlalu. Jika seorang anak, usia 6 tahun sudah memasuki alam persekolahan.
Terasa baru semalam mendaftar diri di CAC, menjalani Taaruf Week dan kemudiannya mendaftar diri di Mahallah Ameenah. Saya dan kawan-kawan sama batch tidak ramai.Kemasukan pada semester 2 hanya kecil bilangannya, kebanyakannya yang berjaya menyudahkan pengajian di Matrikulasi setahun setengah,berbanding 2 tahun tempoh maksimum.
Terasa baru semalam bertatih menggali ilmu di Taman Ilmu dan Budi,dengan para pensyarah yang dedikasi.
Terasa baru semalam ke Kg Husin, kampung pertama Orang Asli yang saya masuk selepas memilih mengikuti COMRADE. Masih terasa indahnya malam Ramadhan di Kg Husin, bertarawih di tanah lapang,beratapkan bulan dan bintang bersama rakan-rakan dan orang kampung, dengan penghawa dingin yang tidak boleh dikawal darjah kesejukannya- ciptaaan DIA yang Maha Kuasa-. Masih terasa kesejukan air bukit ketika masak untuk bersahur di situ, sejuknya hingga ke tulang hitam.
Masih terasa indahnya ukhwah sahabat-sahabat COMRADE, yang kini melata ke seluruh negara meneruskan kehidupan masing-masing.Meski jauh, budi dan kasih sayang dan semangat mereka tetap di hati.
Cepatnya masa berlalu, dulu saya merentasi jalan berbukit di Mahallah Ameenah (kini Mahallah Zubair), melalui Mahallah Safiyyah,menyeberangi jalan utama di hadapan pintu masuk UIA untuk ke Kuliyyah HS .
Berulang alik saban hari, 3 tahun setengah lamanya.
Masih terasa manisnya pengalaman mengikuti pertandingan debat, berlatih hingga ke pagi, hingga kalam Arab menemani mimpi. Sungguh, kerana latihan yang amat banyak, seminggu selepas pertandingan, mimpi saya masih berbahasa Arab!
Masih terasa manisnya majlis graduasi. Saat berarak masuk ke dewan diiringi selawat, saat keluar dewan, menyalami tangan Emak dan Abah,mengucup pipi dan memeluk mereka,diiringi mutiara jernih keharuan di pipi keduanya!. Oh, sungguh istimewa rasa itu.
Usai perjuangan ijazah, cuma 3 bulan saya berehat sebelum menyambung pengajian Sarjana. Dan belum usai menarik nafas lega, saya menyambung lagi pengajian. Saya ingin menjadi ahli dalam bidang pendidikan. Menyambung pengajian dalam Diploma Pendidikan ini sesungguhnya menemukan saya dengan mutiara-mutiara ilmu.Sungguh, makin banyak yang dipelajari,makin terasa kejahilan diri. Lalu saya menggabungkannya dengan setiap pengalaman dan ilmu lalu, sebelum terjun ke medan sebenar.
Sungguh,cabarannya bukan sedikit. Bukanlah mudah mengekalkan momentum selepas 6 tahun belajar,belajar dan belajar. Dan bukan tidak pernah rasa jemu itu datang. Bukan tidak pernah keinginan untuk memiliki wang dan membeli itu dan ini dengan duit gaji sendiri datang. (Waima saya banyak melakukan kerja part time satu masa dulu, keadaannya sekadar cukup makan). Bukan tidak pernah mengikat perut kerana mendahului keperluan pengajian melebihi keinginan lain. Bukan tidak pernah air mata ini tumpah kerana rasa 'penat' melalui hari-hari bergelar pelajar.
Dan saya percaya, kesabaran hari ini, kepenatan hari ini pasti terbayar nanti. Bukan dengan wang dan permata, tetapi kepuasan memberi apabila kita memiliki. Bukankah hanya orang yang memiliki boleh memberi? Mudah-mudahan dengan ilmu terbatas yang telah dicari dan digali,dengan pengalaman cetek ini,saya mampu memberi, mengembangkan Bahasa Al-Quran pada anak bangsa, meski masih tertanya,mampukah saya mengharung segala cabaran nanti,mampukah saya menjadi Murabbi yang mengubah bangsa? Namun saya tahu, hati saya di sini. Jiwa saya ingin menjadi Murabbi. Kerjaya pendidik bukan pilihan terakhir. Tetapi ia pilihan pertama. Langkah pemula. Sebelum langkah demi langkah yang lebih jauh ingin saya teroka, Insya Allah.
Namun masa semakin hampir. Semakin hampir. Semakin hampir. dan sesungguhnya masih banyak yang perlu diselesaikan, masih banyak yang belum dibekalkan dalam diri,masih banyak kelemahan perlu diperbaiki. Sungguh, jika ditanya, saya masih ingin belajar. Namun selepas tamat pengajian DPLI ini, saya ingin mempraktikkan segala ilmu,mencurah segala bakti, membina diri menjadi Murabbi. Juga membina keluarga (insya Allah).. Namun laluan ini tidak akan saya tinggalkan.Saya akan kembali bergelar pelajar nanti.Mudah-mudahan Insya Allah, dipermudahkan segalanya.
Terima Kasih Ya Allah, atas setiap peluang ini.
Terima Kasih Ya Allah, ilmu yang Kau beri cuma setitis dari kuasaMu
Terima Kasih Ya Allah, sahabat-sahabat sejati sepanjang jalan perjuangan
Terima Kasih Ya Allah, kesabaran dalam tiap dugaan
Terima Kasih Ya Allah, tak terhitung nikmatMU, moga aku terus menyemat kesyukuran dalam diri.
Insya Allah, menjelang Febuari ini, saya pasti bersedia!
اللهم يسر لي، الله المستعان
No comments:
Post a Comment