بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah.Segala puji hanya milik Allah yang memanjangkan usia kita dan masih hidup, dapat lagi menghirup udara 2011. Mudah-mudahan ditetapkan hati, dikejapkan langkah untuk terus berbakti, seiring helaan nafas dan panjangan usia.
2010 berlalu penuh kenangan dan asam garam kehidupan. Yang manis, pahit, tawar,masin, masam, segala macam rasa, itulah sunnatullah. Sebagai hambaNYA, harus sentiasa yakin setiap yang berlaku itu ada hikmah di sisiNYA, maka dengan kurniaan akal itu, seharusnya menjadikan segala yang berlaku sebagai iktibar.
::cikgu= kerjaya= ibadah::
Perjuangan sebagai Murabbi bermula dengan musim baru persekolahan. Pelbagai amanah digalas. Pelbagai cabaran menunggu. Harus kuat. Harus cekal. Harus bersungguh. Setiap amanah itu harus diiringi perancangan dan usaha gigih. Maka selepas usaha itu, tawakkal dan serahkan padaNYA. Dengan doa penuh pengharapan. Bukankah DIA telah berpesan
فإذا عزمت فتوكل على الله
2011 ini, ingin kutanamkan azam dan semangat untuk memajukan kerjaya. Mengumpul pahala sebanyaknya dalam 'ibadah' kerjaya 'membina insan' ini. Pemergian Dr Marzuki- seorang pensyarah di Institut Pendidikan UIAM banyak meninggalkan kesan.
Jumaat yang berkah itu, saya di Taman Ilmu dan Budi. Menguruskan hal berkaitan penyerahan tesis MA. Betul-betul berada di hadapan Resouce Centre, INSTED. Lebih kurang 11.30pagi. Saya menunggu waktu jumaat, rindu bersolat jumaat di Masjid UIA. Tiba-tiba kekecohan berlaku. Dr Marzuki jatuh sebaik usai mesyuarat Senat UIAM. Lalu dia pergi selamanya mengadap Rabbul Izzati. Sangat tiba-tiba. Serangan jantung menjadi asbab. Hakikatnya, perjanjian denganNYA telah tiba.
Pemergian yang membuatkan ramai terkejut. Kerana sebelum itu, Arwah bergelak ketawa dengan rakan-rakan setugas. Namun masya Allah, dengan izinNYA, penghujung kehidupan arwah di taman Ilmu dan Budi. Ketika sedang bertugas. Maka alangkah indahnya kesudahan hidup beliau. Jumaat yang berkah, ketika menjalankan tugas (kerja) yang dianggap ibadah.
Maka sesungguhnya itu mengingatkan saya. Selangkah menuju ke tempat kerja, niatkan dalam hati. Ya Allah, kerjaya ku ini ibadahku, keranaMU. Maka alangkah indahnya jika saat itu ketika sedang bekerja, perjanjian denganNYA tiba, husnul khatimah. husnul khatimah. Pengakhiran kehidupan yang amat baik. Arwah Dr Marzuki, sepanjang hayatnya sangat baik orangnya. Saya membaca laman facebook rakan-rakan arwah mengucapkan takziah. Semuanya menyebut kebaikan-kebaikan beliau. Wajah yang tenang dan sentiasa tersenyum. Allah, Allah, Allah. Indahnya bila pemergian itu meninggalkan jasa dan budi kepada manusia. Berada di Masjid UIAM usai Asar itu untuk solat jenazah Arwah, saya tidak tahu mengapa hati saya sayu. Saya tidak pernah belajar dengan arwah. Hanya mengenali namanya dan melalui cerita teman-teman yang pernah belajar dengannya. Namun saya tahu, saat pemergiannya itu, telah pergi seorang murabbi ummah yang amat banyak jasanya.. Al-Fatihah
usai solat Jenazah
::7 Tahun::
7 Tahun tanpa henti. Bukan saya tidak pernah jatuh. Namun saya kuatkan hati untuk bangun kembali. Bukan tidak pernah rasa putus asa bertandang. Namun saya kuatkan jiwa agar bersabar. Ditambah dugaan demi dugaan di kanan dan kiri. Bukan hati tidak pernah ada cemburu melihat rakan-rakan lain memiliki kerjaya dan kereta, berbelanja hasil titik peluh mereka. Sedang dalam tempoh itu, saya memilih kehidupan serba sederhana, berbelanja seadanya. Menahan diri dari keinginan demi keinginan. Saya lalui jua tempoh yang panjang itu.Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. DIA sentiasa ada, membukan jalan dalam setiap kesukaran. Melimpahkan kurnia dalam setiap kesempitan. Menganugerahi kesabaran dalam setiap kesulitan.
Adat menuntut ilmu. Kata Imam As-Shafiie, antara syarat menuntut ilmu itu adalah tul azzaman. Masa yang panjang.
2003-2007, masa yang panjang itu telah saya lalui untuk menjadi pengembara. Pengembara lautan ilmu. Alhamdulillah. Dahaga kian berkurang. Namun masih belum cukup. Masih banyak yang belum saya terokai. Namun Alhamdulillah, kembara yang panjang itu menemukan saya sijil-sijil bertinta nama saya berbintikan Abah, dengan kelayakan Ijazah, Sarjana dan Diploma. Namun mudah-mudahan ilmu itu tidak sekadar di sijil. Mudah-mudahan saya berjaya mencernakan dalam kehidupan. Ya Allah, bantulah saya.
Selepas kembara ilmu secara rasmi 'marathon' 7 tahun itu, 2011 ini, saya berhenti sebentar. Ingin memberi ruang untuk masa membina cinta, membina kerjaya dan membina keluarga.
Dengan izinNYA dan (izin dia) akan saya sambung lagi perjalanan itu nanti. Mudah-mudahan Allah membantu. Mudah-mudahan dia merestu. Mudah-mudahan dibukakan jalannya kelak Insya Allah.
::putaran kehidupan::
kata Mak:
"masa kamu semua kecil, bila mak kena pergi kursus, mak pening kepala, mana la nak tinggalkan anak-anak,
sekarang kamu semua dah besar, mak kena pergi kursus lagi, sekarang pening kepala jugak. Manala nak tinggalkan mak (nenek kami) pulak."
Putaran kehidupan. Wan (nenek) menjangkau 98 usianya 2011 ini. Memerlukan penjagaan dan pemerhatian. makin hampir majlis saya, Wan antara orang yang paling excited. Teruja menerima menantu cucu. sambil kadang-kadang membayangkan masa depan yang indah bersama cicit baru. (buat saya malu) . Di saat ini saya hanya mendoakan, moga wan dipanjangkan usia agar sempat masa depan yang indah itu dilaluinya. Ya Allah, panjangkanlah umur Wan.
::sebulan/4minggu/30 hari::
Sebulan lagi?? Oh macam tak percaya! Betul ke dah nak tukar status ni? betul ke dengan dia?? hohoho.. Ada masa tak mahu difikirkan. Mahu menyibukkan diri dan membiarkan masa berlalu hingga hari itu tiba. :-)
Ya Allah, bantu saya agar semuanya baik-baik sahaja. Ya Allah, saya mohon keberkatan dariMU dalam setiap perkara menuju ke alam itu. Ya Allah, bantu saya sebab saya lemah tak berdaya. Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah, bantulah dalam segala-gala................
*undangan akan menyusul nanti.....
No comments:
Post a Comment