Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Monday, February 22, 2010

Refleksi praktikal 2










Subjek: Pendidikan Islam

Kelas: 4 XXX

Tajuk: Rasul Penyampai Wahyu (Tugas Rasul,perkara ghaib,peranan manusia)

Saya memulakan set induksi dengan menulis perkataan berikut di papan putih

2012

Ternyata ‘tembakan’ ini mengena apabila usai menulis, kelas mula riuh rendah. Filem 2012. Memang itu yang saya maksudkan. Lantas seorang demi seorang pelajar melontarkan pandangan mereka tentang filem ini. Saya tidak menontonnya tetapi saya membaca tentang filem ini. Saya bertanya pelajar siapa yang menonton filem ini, hampir semua kelas mengangkat tangan.saya tanyakan isi kandungannya. Berebut-rebut pelajar ingin menjawab. Setelah memberi peluang kepada 2,3 pelajar melontarkan idea mereka, saya akhiri induksi itu dengan soalan, apakah hukumnya meramal hari kiamat? Beberapa pelajar memberi jawapan yang memuaskan hati saya. Lantas kandungan sebenar pelajaran disentuh.

Berdasarkan itu, saya melihat amat penting untuk seorang guru, khususnya mata pelajaran Pendidikan Islam menjadikan subjek itu ‘hidup’ dan amat dekat dengan jiwa pelajar kerana mereka melaluinya setiap hari. Ada sahaja perkara yang berlaku di sekeliling memerlukan panduan dari ‘agama’. Jika pelajaran sekadar menjadi hafalan fakta, pelajar akan gagal menghayatinya. Ketika menyampaikan tajuk ini, saya juga menyentuh tentang aplikasi mengarut dalam penggunaan laman sosial yang menjadi kegilaan remaja hari ini- Facebook. Semasa sesi taaruf sebelum ini, saya mendapati hampir keseluruhan pelajar mempunyai akaun Facebook mereka. Justeru, saya mengaitkan dengan penggunaan berbagai-bagai kuiz ramalan yang terdapat dalam laman sosial tersebut.

Refleksi saya adalah apabila perkara yang diajar dikaitkan dengan reality kehiduan seharian, subjek menjadi dekat dengan pelajar dan minat mereka bertambah. Dan cabarannya untuk para guru adalah supaya mengetahui isu semasa, lebih mengenali siapa pelajar mereka dan lebih kreatif dalam perbincangan dalam kelas.



Tajuk: Khulafa Ar-Rasyidin

Semasa tajuk ini, teknik bercerita dan perbincangan kumpulan digunakan. Saya membekalkan mereka dengan peta minda yang masih kosong di sana-sini. Mengagihkan beberapa tajuk kecil kepada beberapa kumpulan, pelajar melakukan perbincangan dan membuat persembahan disamping memenuhi peta minda berdasarkan persembahan rakan-rakan tadi.

Antara perkara yang saya cuba untuk kaitkan dengan tajuk ini adalah hubungan dengan kafir Dzimmi, antara polisi dalam pemerintahan KAR (sejak zaman Rasulullah sollallahu a’laihi wasallam).. Kelas /sekolah tempat saya menjalani latihan mengajar ini adalah sekolah multi ras. Justeru saya tekankan tentang peri pentingya menjaga hubungan sesama kaum dan tidak memulakan sebarang api yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Saya turut membawa pelajar menghayati semangat Usamah bin Zaid yang hanya berusia 18 tahun ketika menjadi panglima perang dan dihantar ke Ghassan oleh Abu Bakar As-Siddiq. Satu cabaran buat mereka yang hampir seusia dengan sahabat agung ini supaya menjadi pemuda yang kuat dan berguna untuk agama dan bangsa.

Alhamdulillah, teknik penceritaan seperti diperakukan ramai, malah terbukti jika kita lihat dalam Al-Quran serta hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai satu teknik yang malar segar. Amat digemari dari dulu hingga kini. Namun cabaran untuk guru adalah bahasa yang digunakan dan teknik penyampaian yang berkesan. Disamping diselangselikan dengan kecindan dan persoalan supaya sesi tidak menjadi sesuatu yang menjemukan.

Untuk perkongsian, saya syorkan anda membaca buku bertajuk ‘Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik’ keluaran Must Read Sdn Bhd, hasil tulisan Razali Saaran. Saya menjumpai buku ini semasa bertandang ke bilik Jaie- budak comel- semalam. Belum menekuninya, sekadar buat ‘speed reading’ terhadap kandungannya namun saya dapati panduan di dalamnya amat berguna untuk para guru, lebih-lebih lagi guru pelatih seperti saya. Bukankah Rasulullah itu contoh teladan terbaik kita?

::Mari Belajar Bahasa Arab dengan Gembira::

Hari saya diselia, tajuk pengajaran adalah tentang أنواع الأفعال من حيث زمنها > Maka pada hari itu, skop pengajaran di dalam kelas adalah tentang jenis-jenis فعل diikuti فعل الماضي secara mendalam.

Malam itu, saya telah menyediakan ABM untuk pengajaran iaitu carta aliran untuk tasrif fi’il..

 
bahan-bahannya...

ukur jangan tak ukur....


potong jangan tak potong...


isi gam jangan tak isi...


tampal jangan tak tampal....


siap satu langkah...


                                                           lekatkan dengan riben...


percubaan.. Alhamdulillah dah siap...





Untuk set induksi, saya menulis 3 kumpulan ayat yang berbeza, mewakili 3 zaman فعل Lalu saya tanyakan para pelajar apa perbezaan yang terdapat dalam 3 kumpulan tadi. Pelajar-pelajar yang bijak ini dapat melihat perbezaan ayat dan mengeluarkannya. Maka tajuk pelajaran pun diperkenalkan.

Ketika menerangkan فعل الماضي saya mengeluarkan ABM yang dibuat dan membina contoh-contoh ayat berdasarkan carta yang sedia ada dengan bertanya pelajar penambahan /perubahan yang berlaku untuk setiap dhomir yang berbeza. (إسناد الأفعال إلى الضمائر ). Di penghujung sesi, teknik pengulangan dilakukan untuk memenuhi objektif pelajar dapat menhafal tasrif fi’il tersebut.



Bagi tujuan itu, saya menggunakan teknik ‘menghafal mengikut mood.’

Mari menghafal ketika gembira:

Kataba

Katabaa

Katabuu.. – hingga akhir (dalam mood yang amat gembira, dengan memek muka ceria dan senyuman paling menawan)

Mari menghafal ketika sedih

Kataba..

Katabaa..

Katabu.. hingga akhir (dengan memek muka yang sedih, nada yang sedih, )

Mari menghafal ketika marah

Kataba

Katabaa..

Katabuu.. (dengan memek muka garang, nada yang tegas)



Ustazah, sambil menangis…?? Kata pelajar dan saya menyuruh dia yang melakukannya..

(saya mendapat idea teknik ini daripada kisah ‘Goreng Pisang..siapa nak beli Goreng Pisang’ yang dipersembahkan di Pos Tuel)

Yang pasti teknik ini membuat pelajar gembira, kelas ceria dan pelajar tidak jemu nak menghafal tasrif 14 untuk fi’il madhi.. sebelum kelas berakhir saya melakukan pertandingan siapa dapat hafal dalam masa yang paling pantas.. menyebut tasrif 14 ini dengan secepat mungkin tanpa kesilapan.. berebut-rebut pelajar nak hafal dan majoritinya dapat hafal dengan baik. Penilaian dilakukan dan hasil pembelajaran yang dinyatakan tercapai.

Refleksi dari penyelia: Alhamdulillah, mendapat reaksi positif dari penyelia Cuma saya perlu perbaiki cara penggunaan ABM. Carta yang saya tunjukkan di awal pelajaran sepatutnya hanya ditayangkan di hujung pembelajaran, semasa memulakan teknik hafazan. Ini bagi mengelakkan terlalu banyak maklumat yang diterima pelajar dalam satu masa apabila carta diletakkan sekaligus. Sebaiknya, bina bersama-sama pelajar dahulu satu persatu, di akhir baru letakkan carta. (Al-Quran pun diturunkan secara berperingkat, begitulah dalam pengajaran, sedikit demi sedikit, bukan diberikan sekaligus). Satu pengajaran yang berguna untuk saya pada masa hadapan.. Alhamdulillah

Refleksi saya: Adakalanya, guru perlu menjadi pelakon di dalam kelas. Memek muka, nada,intonasi,suara, semuanya adalah elemen penting untuk komunikasi berkesan. Kelas yang ceria akan menggalakkan sesi pembelajaran dan menambah minat pelajar dalam pengajaran. Alhamdulillah, selepas 2 minggu mengajar, ada di kalangan pelajar yang meminta saya supaya menjadi guru tetap di situ, bukan sekadar sehingga bulan April. Alhamdulillah, ini bermakna saya telah berjaya memenangi hati mereka.. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan lagi agar cinta mereka kepada Bahasa Arab akan terus dipupuk. Hari ini, saya menunggu-nunggu hari-hari seterusnya untuk masuk ke kelas lagi. Seperti mana mereka yang sudah jatuh cinta, saya juga sudah jatuh cinta lagi!

jatuh cinta lagi... !

Saturday, February 20, 2010

Refleksi praktikal...

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله... السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah..sudah dua minggu saya menjalani latihan mengajar di SMK Hillcrest, Sri Gombak, Selangor.. Walaupun masih baru, telah diselia oleh pemantau selasa baru-baru ini. Dan nampaknya saya sudah mula sesuaikan diri dengan keadaan di sini. Alhamdulillah, segala puji hanya milik Allah yang telah memudahkan segalanya..




Melapor diri (1 Febuari 2010)

Pagi yang tenang walau dalam hati ada debaran. Tak henti saya mengucapkan اللهم يسر لي kerana sesungguhnya saya tahu hanya DIA berkuasa memudahkan sesuatu.

Sempat saya titipkan pesanan buat mak dan abah memaklumkan saya memulakan praktikal hari ini (sebenarnya mereka dah tahu).. mohon doa dan restu, dibalas doa dan semangat dari emak. Hati saya tenang sedikit.

Melangkah ke sekolah dengan 2 sahabat lain, Kak Baizura dan Halimah. Pelajar telah ramai di kawasan perhimpunan, maklumla pagi isnin. Saat bayu menyapa lembut wajah, terasa tenang di hati. Saya rasa telah bertemu ‘jiwa’ saya. Inilah jiwa saya; sekolah, perhimpunan,hingar bingar pelajar. Dan seawal itu saya telah jatuh cinta dengan sekolah ini. Ada ketenangan di hati. Ada keyakinan dalam langkah.



Usai melapor diri, kami dimaklumkan sekolah hanya mampu menerima seorang guru bahasa Arab kerana kelas bahasa arab yang terhad. Kami bertiga berbincang. Saya akhirnya memilih untuk teruskan perjuangan di sini, sungguhpun risau di hati tentang pengangkutan pergi dan balik (awal perancangan, kami akan datang dan balik bersama, kalau tinggal seorang, saya nak naik apa?..) namun saya kesampingkan kerisauan itu. Saya percaya ada ada penyelesaiaannya nanti. Dan saya yakin dengan pilihan ini, bukankah setiap hari saya memohon اللهم ادجلني مدخل صدق, واجرجني مخرج صدق، وانزلني منزل صدق maka saya percaya ketenangan yang dihadiahkanNYA itu adalah petunjuk terbaik..



Maka saya berseorangan memulakan perjuangan. Mula-mula memang kekok namun lama kelamaan, hingga hari ini, sudah 2 minggu, saya rasakan kegembiraan ada di sini.

Kelas Bahasa Arab.

Saya ditugaskan mengajar kelas 2 Arif. 27 pelajar semuanya. Hari pertama Cuma sesi taaruf. Saya meminta pelajar menulis soalan-soalan yang ingin mereka tahu tentang saya di papan putih. Sengaja. Mahu mereka bergerak. Mahu menilai tahap keaktifan mereka. Mahu melihat siapa yang berani. Tamat tempoh 2 minit, ada beberapa soalan tertulis. Soalan mereka dalam bahasa melayu saya jawab dalam bahasa Arab. Ternganga. Tak faham. Lalu saya terjemahkan.

Kemudian saya menulis ayat2 mudah untuk mereka tuturkan dalam bahasa Arab. Nama, tempat tinggal, hobi, cita2.. Maka sesi taaruf dengan mereka bermula seorang demi seorang, dengan berpandukan ayat bahasa arab yang saya tuliskan. Bagus mereka ini. Dalam diam, saya memulakan tugas ‘menyiasat’ latar belakang dan tahap bahasa mereka.



Langkah ketiga- masukkan jarum. Jarum cintai Bahasa Arab. Saya mengambil semula cita2 mereka semasa sesi taaruf tadi.

Bayangkan 10 tahun akan datang

Kamu adalah doktor, fasih berbahasa Inggeris., kamu juga adalah doktor yang fasih Bahasa Arab. Alangkah hebatnya kamu.

Kamu adalah jurutera, fasih berbahasa Inggeris. kamu juga adalah doktor yang fasih Bahasa Arab. Alangkah hebatnya kamu. Bekerja di luar negara, dengan Pak Arab yang kaya..

Kamu adalah peniaga yang berjaya. fasih berbahasa Inggeris. kamu juga adalah doktor yang fasih Bahasa Arab. Alangkah hebatnya kamu. Perniagaan Antarabangsa sebab ada bahasa Arab sebagai tambahan

Ada yang menjerit ‘wow..’’

Saat itu saya tahu, jarum saya telah mengena. Kerana mereka pelajar yang baik maka tugas ini lebih mudah..

Akhir sebelum usai sesi, saya meminta mereka menulis biodata ringkas. Satu medium terbaik untuk saya mengenali mereka, latarbelakang mereka. SES mereka. Dan ternyata, ada jurang yang ketara antara mereka, ada yang ayahnya Cuma pemandu teksi. Ada yang berayahkan professional (PTD, doktor, peguam). Maka saya tahu, cabaran saya bukan mudah namun caranya pasti ada.



Kelas Pendidikan Islam

Ditugaskan mengajar 4 proaktif. Saya memulakan kaedah yang sama, meminta mereka menulis soalan untuk mereka Tanya di papan tulis. Malas-malas. Tiada respon. Pelajar tingkatan 4, egonya lain sedikit. Lalu saya katakan, adik2 kamu di tingkatan 2 amat cergas menulis soalan dalam sesi yang sama pagi tadi. Baru rasa tercabar. Bangun seorang demi seorang. Kenakalan terserlah dengan soalan-soalan seperti berikut:



Cikgu dah kawin ke belum?

Cikgu rasa Tarmizi macam beruang tak?

Cikgu rasa saya hensem tak?

Saya jawab:

Cikgu dah kawin ke belum?

Belum tapi coming soon Insya Allah so kalau kamu ada abang jangan kenalkan kepada saya

Pelajar ketawa

Cikgu rasa Tarmizi macam beruang tak?

Siapa Tarmizi? Bangun!

Tarmizi bangun.

Ok kelas, kamu rasa Tarmizi macam beruang?

Kelas: Ya.. ada yang jawab tak

Ok, kamu adalah apa yang kamu fikirkan, kalau kamu kata ya, maka yalah jawapannya. Kalau kamu kata tak, taklah jawapannya. Tapi ingat, berhati2 lah dalam tindakan. Jangan ikut apa yang kamu rasa, tapi ikut apa yang kamu fikir. Kamu sepatutnya fikir dengan akal, Tarimiz adalah manusia maka dia tetap manusia. Kalau kamu ikut ‘rasa’ kamu akan binasa. Bukan sahaja Tarimizi akan ‘jadi’ beruang, tapi akan ada kerbau, kambing, ayam dan sebagainya dalam kelas ni. Jadi, ikut apa kamu fikir.fikir yang waras. Baru semua orang akan jadi manusia.



Kelas senyap.

Cikgu rasa saya hensem tak?

Siapa ‘saya’? Bangun.

Pelajar yang menulis soalan itu bangun.

Ok, cukuplah saya ingatkan kamu Allah kata, Dia menjadikan manusia sebaik2 ciptaan. Maksudnya tidak ada yang tidak cantik melainkan kita semua ini cantik2 belaka. Tapi Allah juga kata, yang paling cantik adalah yang paling bertaqwa, berakhlak. Jadi tak guna kita semua cantik kalau tak dengar cakap mak ayah, ponteng sekolah, malas buat kerja sekolah,tak hormat cikgu.



Ada yang tertunduk, mungkin terkena batang hidung sendiri. Sekali lagi, tugas saya agak mudah kerana pelajar kelas ini baik-baik belaka.

Seterusnya sesi taaruf, sama macam kelas di atas. Saya menyampuk sekali sekala dengan membuat lawak dengan mereka

‘saya tinggal di Tmn Samudera, dekat dengan Giant’

Cita-cita peniaga

Nak jadi peniaga? Patutlah, tinggal dekat dengan Giant. Ok bagus,nanti awak ambil alih Giant tu, boleh?

Sesi seterusnya, cucuk jarum.

Awak semua ada cita-cita. Bagus. Nak jadi cikgu, businessmen, akauntan.. jadi, penting ke nak belajar pendidikan islam ni?

Kelas: Penting….

Penting? Ye ke, orang yang tak ambil pendidikan islam tak boleh jadi peniaga? Akauntan?

Senyap

Kamu tahu kenapa ada banyak kes rasuah?kenapa mak ayah kita kena tipu beli barang mahal? Kenapa ada akauntan gelap duit syarikat?

Kelas: tak ada pendidikan agama

Ye ke? Ada yang dapat A pendidikan Islam

Senyap

Yang tak ada bukan pengetahuan, tapi penghayatan. Jadi saya nak kamu tukar sikap. Kita belajar bukan untuk semata2 dapat A. tapi ada yang perlu kita cari… Setiap yang kita pelajar ada kaitannya dengan kehidupan. Contoh , minggu lepas kamu belajar tajuk Manusia perlu bersyukur, betul?

Betul

Ok, sekarang semua bernafas, hirup udara.

Ok, kamu, berapa kamu bayar untuk udara ni?

Percuma ustazah..

Betul, Free of Charge kan?

Bersyukur. Perlu bersyukur..tapi macam mana..?



Demikianlah saya membebel. Namun membebel yang ada makna. Mereka senyap. Bagus untuk permulaan ini. Sesi berakhir dengan baik dan saya gembira, sekurang-kurangnya untuk sesi yang singkat ini saya telah cuba yang terbaik untuk mengikat hati mereka..

Ok, jumpa lagi di sesi akan datang, set induksi yang membuatkan 1 kelas gamat ingin bercakap..

Moga hari2 akan datang dipermudahkan..