Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
PERHATIAN:
CATATAN PERJALANAN INI ADALAH CATATAN INDIVIDU. PERJALANAN DAN PROGRAM YANG DITEMPUH JUGA ADALAH ATAS PILIHAN INDIVIDU. TIADA KENA MENGENA DENGAN MANA-MANA JABATAN ATAU PERTUBUHAN.HARAP MAKLUM.
Selasa 27 oktober
Tidak sempat berehat. Tanpa menjejak kaki ke Taman Ilmu dan Budi, saya dan beberapa sahabat lain (saya, Mok Ana, shariah, Pijan, Fatin my Twin,Abg Zul,Dik Jazli n Dik Shazni) mengikut rombongan Dr Razak ke Kuala Mu, Sg Siput Utara, Perak.
Malam itu, lebih kurang jam 8 malam, dari Tol Jelapang, kami memulakan perjalanan menaiki 1 pajero dan 1 land rover ke kg Kuala Mu. Selain kami dan Dr Razak,ahli rombongan yang lain adalah 2 orang anak kenalan dr Razak (budak2 sekolah menengah), Ust Mat (ABIM Outreach yang jaga Pos Kuala Mu), Ustaz (JAIP) dan Anis- son of Dr Razak yang berumur 7 tahun dan Asiah-kakak anis yang berusia 13 tahun.
Hampir jam 11 malam, kami tiba di Kampung Perjek. Bermalam di sana. Kami (muslimat) di surau bahagian atas dan musliminnya menginap di bawah.
Rabu 28 oktober
Paginya, udara nyaman menyambut kami. Kami dimaklumkan, rombongan kami akan bergerak jam 10 pagi, memandangkan jalan yang masih basah. Saya dan sahabat-sahabat lain mengambil kesempatan beramah mesra, menziarahi rumah penduduk sekitar. Penduduk di situ merupakan dari kaum Temiar.
kg Perjek yang bersih
Jam 10 pagi, kami mula bergerak, dan kenderaan bertambah kepada 3, apabila ada 2 orang ustaz dari JAIP turut serta. Selain muatan orang (kami), kenderaan juga dipenuhi dengan barang-barang ration, makanan dan anak getah yang akan diberi kepada penduduk Kuala Mu.
dalam Land Rover
Kami berhenti rehat di kawasan anak air terjun. Kata Ustaz Mat, mereka meggelarnya sebagai RnR- kawasan persinggahan jika ingin ke Kuala Mu. Land Rover yang dipandu Ust Mat membawa kami berlima (all sisters) dan anak Dr Razak- Anis yang petah berbual sepanjang perjalanan. Lama menunggu, pajero yang dipandu Dr Razak dan dinaiki ikhwah yang lain tak kunjung tiba. Hampir 2 jam menunngu, baru mereka tiba. Rupa-rupanya mereka tersesat. Tersalah masuk jalan, nak melencong terus ke Pos Yong. Nasib baik Dr Razak tersedar di pertengahan jalan.
Kami diberi taklimat ringkas tentang laluan yang akan ditempuh, jalan tanah merah di lereng bukit, bawahnya gaung. Jalan yang teruk, merupakan laluan Pak Belang mencari rezeki. Sebarang kemungkinan minta dihadapi tanpa panik.
Perjalanan diteruskan, memang jalannya teruk. Kawasan hutan di celah-celah banjaran titiwangsa, kehijauaannya menyejukkan mata. Subhanallah.Sesekali Land Rover yang kami naiki dipandu zig zag bagi mengelakkan tayar terlekat pada tanah merah yang licin. Mendaki 9 bukit tegak 90 darjah. Land Rover beralun-alun sepanjang perjalanan. Sungguhpun begitu, ada ketikanya saya terlena. Mengantuk punya pasal. Dan natijahnya, sesekali kepala terhantuk ke dinding Land Rover.
Kami melalui beberapa kampong- Pos Legap, Kg Dawoi, Kg Keep, sebelum tiba di kg Bersah lebih kurang jam 2 petang.Syukur, perjalanan tidak menghadapi kesulitan.
Kg Bersah
Beramah mesra dengan penduduk kampong, naik ke rumah Penghulu Hador dan memasak untuk makan.
Kg Bersah- ada 3 keluarga Islam termasuk keluarga penghulu Hador. Kami dilayan dengan baik, anak-anak penghulu Hador yang kebanyakannya beliawanis menyambut mesra kami.
Selepas makan dan solat, adik-adik kampung (perempuan) mengajak kami ke sungai. Mengambil kesempatan mandi-manda di sungai, menyegarkan badan selepas perjalanan yang jauh. Saya dan my twin-Fatin mengikut amek (emak-bahasa Temiar) yang juga isteri penghulu Hador ke kebun jagung untuk memetik jagung. Mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak saya, saya rindukan suasana ini, berlarian dengan kaki ayam di kawasan kebun jagung dan mandi sungai batang Semantan bersama Mak Nah, Arwah Kak mawar dan Arwah abah gemuk (abah Hassan) Really miss the moment..
Dan saat ini, di celah-celah banjaran titiwangsa, saya dan fatin berkaki ayam memetik jagung bersama amek, sebelum terjun semula ke sungai, dengan keriuhan adik-adik mengusik kami.
Kami Solat bersama adik-adik, beliawanis kampong. Adapt bermusafir, boleh solat jamak dan qasar. Tapi oleh kerana maslahah dakwah (mengajar mereka solat). Kami solat tamam.
Dr Razak agak lewat pulang ke Kg Bersah. Rupanya pajeronya terlekat di jalanan. Maka dia dan sorang ustaz jalan kaki. Malam itu, Alhamdulillah, En Daud menerima hidayah Allah dan memeluk islam. Bertambah lagi satu keluarga muslim di kampong ini, Alhamdulillah.Tersentuh hati saya bila mendengar lafaz syahadah diucapnya. Kemudia diadakan pula akad nikah antara enciK Daud (18 tahun) dengan pasangannya (Azizah- 17 tahun). Mas kahwinnya RM20. ringkas sahaja majlisnya. Sekadar menjalankan yang wajib.
Khamis 29 Oktober
Pagi itu, kami memasak meehun untuk sarapan. Kemudian mengagihkan makanan yang dibawa (beras,gula,dsb) untuk diagihkan kepada penduduk di Pos Kuala Mu
Nota: Apabila disebut Pos, maknanya ada lebih dari 1 kampung di dalamnya. Kebiasaannya, sesebuah pos dilengkapi sekolah, rumah pentadbiran jheoa dan beberapa kemudahan asas yang lain.
Pos Kuala Mu sendiri mempunyai 5 kampung- Kampung Bersah, Kampung Kuala Mu, Kg Gapis hulu, Kg Gapis Hilir dan Kg Tok.
Kami ke kg kuala Mu, bermesra dengan penduduk kampong (minority muslim). Mengagihkan makanan kepada mereka. Ternyata kehadiran Dr Razak disambut gembira oleh penduduk kampong. Masakan tidak, Dr Razak telah masuk ke situ sejak 10 tahun lalu. Dan di sekeliling kampong, banyak pokok getah yang telah mula ditoreh penduduk kampong yang juga punca rezeki mereka, semua itu adalah pemberian Dr Razak kepada mereka, kira-kira 10 tahun yang lalu.
Kami dibawa ke Sungai di hujung kampong. Subhanallah, saya tidak pernah melihat sungai secantik ini, hamparan rumput hijau di kiri kanan sungai, dengan air menderu deras, jernih menyejukkan mata dan hati. Subhanallah, alam yang masih suci dan belum ternoda oleh tangan-tangan manusia.
subhanallah... Ma kholaqta haza baathilan..
Di tepi sungai itu, ada sebuah rumah buluh. Menurut Dr Razak, di situlah mula-mula sekali beliau dan kawan-kawannya menginap bila tiba di Kuala Mu, kerana orang kampong tidak menerima mereka. Lama-kelamaan, bila penduduk kampong mula menerima mereka dan memeluk islam, barulah sebuah surau dibina ditengah-tengah kampong, dan mereka menginap di situ.
Muslimin mengambil kesempatan mandi manda di sungai. Kami pula pusing seluruh kampong, bermesra dengan penduduk. Insya Allah, kampong ini ada potensi untuk lebih ramai memeluk islam kelak.
Pulang ke kampong bersah, bersiap untuk pulang. Selepas makan tengahari, tibalah masa untuk wida’. Kami dihantar pulang dengan tangisan adik2. Baru sehari kami di sini. Tapi kemesraan terjalin erat. Amek-amek mula berair mata. Ahli rombongan kami sendiri ditebak sayu. Tak mampu menahan air mata dari mengalir dari tubirnya. Esak tangis adik-adik menghantar kami pulang.
bergambar sebelum pulang. Dr Razak di tepi sekali (baju biru)
Kuala Mu memberi semangat. Moga diizinkan kembali di sini. Saya teringat perbualan dengan salah seorang beliawanis ‘kami dan amek-amek suka akak-akak datang, jarang ada orang datang, masuk dapur, masak sama-sama kami’
Yes, di situ saya dapat 1 point yang baik- dakwah bil hal. Memecahkan jurang untuk meraih kepercayaan dan melarik kemesraan.
To be continued.. (saya akan sambung catatan ini dengan pengajaran-pengajaran yang lain)
1 comment:
heheheheh Jazli harus di tukar menjadi Jali ye... hahahahaha harap maklum.. t_t
Post a Comment