Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Saturday, September 13, 2008

tersiat dan terhiris

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

jumaat. penghulu segala hari pada penghulu segala bulan. Hati tersiat.
Saya menghadiri Iftar CCAC- co-curricular rector's message. Dalam buku aturcara yang diedarkan tertulis agenda- pelancaran buku-buku rujukan CCAC untuk Halaqah dan Leadership serta anugerah buat beberapa kategori dalam sistem CCAC. terselit jua di situ- launching of signature dance. Hati tertanya jua, 'dance' apakah ini?

Tuan Rektor tidak datang. Ke Morocco katanya. Tidaka mengapalah, mendengar ceramah DR Akmal dan Ustaz Hamidon pun rasanya lebih enak . Mutiara ilmu dan hikmah yang berharga. Tiba ke acara pelancaran 'signature dance' yang katanya dijadikan IIUM Trademark. Hati menyumpah. marah. geram. tersiata. Trademark apakah? Saya tidak nampak kewajarannya langsung malah amat bertentangan dengan IIUM. Siapakah punya idea ni? Karut. Memang karut.

beberapa wanita dengan 2 lelaki mempersembahkan tarian dengan pakaian putih yang membalut nangka. Malu dan geram sungguh rasanya. Terkinja2 di depan hadirin, di pentas yang selama ini menyaksikan majlis bersejarah seperti konvokesyen para ilmuan. Satu dewan terkejut. Bunyi rungutana di mana-mana. Hati menggelegak. Tapi hanya itu mampu dilakukan. Selemah-lemah iman.

KHabarnya para urusetia dari CCAC sendiri terkejut kerana mereka tidak diberitakan tentang penyertaan acara 'aksi terlebih melampau' beberapa minit sebelum berbuka puasa ini. Maka tidaklah diketahui siapakah yang punya idea.

Usai majlis, katanya ada pelajar yang menulis memorandum dan mengutip tandatangan menentang pengiktirafan tersebut. Sayangnya saya tidak pula terjumpa pelajar-pelajar ini. Mahu juga amenurun tandatangan. 1000 kali pun takpa. Karut. Memang karut!

Friday, September 12, 2008

tunggu teduh..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Salam Ramadhan ke 12..Alhamdulillh, tadi sesi munaqasyah (viva) untuk proposal tesisku berlangsung. Lima panel - Dr Shamsul Jamili, Dr Abdul Wahab, Dr 'Asim, Dr Abdul Razak As-Sa'di dan Dr Akmal Khuzairi menjadi panel disamping musyrif- Dr Yasir Ismail.

Alhamdulillah, tajuk telah diterima, cuma ada beberapa pindaan pada proposal tersebut. Moga-moga dipermudahkan urusan semuanya dan berharap dapat menyelesaikan semuanya dalam minggu ini.

Perancangan untuk pulan ke laman ayahbonda ditangguhkan ke minggu depan. Saya bimbangkan Wan sebenarnya, kerana janji untuk pulang adalah untuk menjaga beliau. .. Kesian Wan yang tidak mahu ke mana-mana, tidak mahu ke rumah mak-mak sedara yang lain. Dia hanya ingin mendiam di rumah kami, menghabiskan usianya di sini. Cuma masalahnya, waktu penghuni no 60 jalan saga 15.taman saga itu keluar bekerja/ke sekolah, rumah akan kosong. dan amatlah sukar untuk membiarkan wan berseorangan di rumah. Dia masih kuat dan masih boleh menguruskan diri sendiri cuma dia menghidap pitam- pening kepala yang akan menyerang tanpa beri apa-apa amaran.

2 bulan ini. adik saya Izzati ada di rumah kerana bercuti maka wan gembira mendiami rumah kami ada adik yang temankan. Hari ini Izzati telah mendaftar untuk Sem barunya so wan juga terpinga-pinga keseorangan.. berkali dirayu, dia tidak mahu pergi ke mana-mana. Katanya jika tiada siapa di rumah untuk menemaninya, dia rela tinggal di rumah orang-orang tua. oh tidak! itu takkan kami biarkan berlaku.

So, harapya saya dapat selesaikan segalanya dengan cepat, pulang dan boleh menemani wan.Sekurang-kurangnya untuk sepanjang Ramadhan ini. Selepas ini? tak tahu lagi, perlu difikirkan nanti.

**
Tunggu Teduh Dulu. Dah lama saya mencari novel ni, dulu hanya terjual online maka saya bermalas-malas mendapatkannya. Minggu lalu, saya ke MPH Wangsa Maju dan secara tak sengaja tangan ini tercapai novel ini. RM29.90. saya tanpa ragu-ragu mendapatkannya.

Hati tengah rusuh. Alhamdulillah, banyak yang saya dapat. Novel ini benar-benar menyentuh jiwa. Kedit buat Faisal Tehrani atas karya yang mampu membawa jiwa mendekati keagunganNYA. Tunggu Teduh Dulu. Ya, saya harus sabar menunggu teduh. Dan harus sentiasa yakin dan memegang kejap- Kerja DIA tiada siapa yang tahu.

Saya sukakan hari-hari Salsabila Fahim mengerjakan Umrah. Tanah Suci Mekah dan Madinah terasa amat dekat di hati. Al-Wasfu (gambaran) tentang kedua tanah suci tersebut amat terperinci hingga terasa saya berada di sana. Kerinduan untuk ke sana memuncak. Moga-moga dimudahkan jalan saya menjejak Tanah Haram kelak. Dan suasana itu menjadikan saya meyakini dalam hati. Itu bukan main-main. Itu bukan sia-sia. Cuma saya perlu percaya- tunggu teduh dulu!


Ketenangan Ramadhan benar-benar hadir lagi,Alhamdulillah atas nikmatMU ini. Allahu Akbar!

Thursday, September 04, 2008

Alhamdulillah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Alhamdulillah, saya telah menghantar proposal tesis (proposal baru..) ke qism tadi.. (department). Berikutnya, saya akan melalui satu sesi munaqasyah (viva) untuk proposal tersebut di hadapan 5 panel termasuk musyrif saya Dr Yasir. Berdebar juga. Mudah-mudahan dipermudahkan semuanya.


Sementara menunggu sesi tersebut, saya ingin melakukan persediaan rapi supaya dapat mempertahankan tajuk ini kelak ketika sesi viva. Saya juga diberi homework oleh Dr Yasir, beberapa perkara yang perlu dilakukan sekarang.


Antarnya- berlatih menaip dengan laju.


Kata Dr Yasir- tengoklah blogger, mereka menulis panjang sekali, mereka menaip dengan laju, itu satu kemahiran yang perlu dipelajari. Saya cuma tersenyum. Saya sudah memiliki blog ini sejak hampir 4 tahun yang lalu. Ya, kemahiran menaip dalam rumi boleh dikatakan laju, cuma kekadang tersalah taip. Dan saya berazam memiliki kepantasan sama untuk menaip dalam bahasa Arab pula.


Saya tersenyum kerana Dr Yasir tidak tahu bahawa saya juga tergolong dalam 'blogger' ;-) shh.. jangan beritahu beliau kewujudan blog ini ok? ;-)


Tajuk tesis saya- biarla rahsia dulu setakat ini. Saya akan bagitahu usai sesi munaqasyah nanti. Tetapi penulisan dan kajian ini melibatkan Debat Bahasa Arab... Satu kajian yang diharap membantu meningkatkan penguasaan kemahiran bertutur di dalam Bahasa Arab, Insya Allah.


***

Saya ingin kongsikan laman web ini- ada banyak video berbahasa Arab boleh dimuat turun, nasyid-nasyid arab serta khutbah. Ini sebuah you tube yang islamik.




***


Adik-adik peserta kem bahasa Arab SMK Tasik Puteri bertanyakan gambar program lalu.



So gambar-gambar lain boleh dimuat turun di sini >>> http://dhiyauqalbii.fotopages.com/

***

Selamat menambahkan amalan.. Ramadhan Kareem

Wednesday, September 03, 2008

tenang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ramadhan yang dirindui..
semoga kita menjadikanya ruang dan madrasah untuk 'recharge' rohani dan iman.. bukankah iman itu sifatnya berkurang dan bertambah..

Ramadhan di laman ayahbonda mendamaikan..

Khamis
Berjumpa Musyrif (supervisor) untuk perbincangan tesis. Pergerakan tesis yang agak lambat mengundang 'ceramah motivasi' dari Dr Yasir. Huh, memang salah sayapun yang banyak menunda kerja. Lalu saya menelan satu persatu motivasi, mempositifkan diri dan membina azam. Insya Allah akan saya sahut cabaran itu. Dan tentunya, kekuatan dan keazaman ini moga-moga kental berpanjangan.

Khamis petang- Sabtu

Berada di The Rock- Hulu Yam untuk kem bahasa Arab bersama adik-adik SMK Tasik Puteri. Saya tahu dan yakini, DIA tahu perancangan terbaik untuk saya. Tidak rugi saya ke sini walau mulanya agak ragu-ragu untuk pergi kerana pergerakan tesis yang membeku. Alhamdulillah, di sini saya dikurniakan mutiara yang amat berharga.

Ahad
saya pulang ke mentakab bersama adik. Singgah di Jambu Rias, rumah nenek saudara. "berkenalan' dengan anak saudara yang baru lahir. Firdaus namanya. Baru sebulan lebih. Suka betul cium baby. Aroma yang harum, suci. Menginsafi fitrah diri yang lahir tiada dosa tapi membesar dengan deretan dosa dilakukan..

Isnin
Satu Ramadhan. Kami berkumpul sekeluarga. Kecuali Abg Long dan Kak Long. Ceria laman ayahbonda.. Alhamdulillah. moga kami mensyukuri nikmat kasih sayang ini.

Selasa.
Cerita tentang Ayih lagi- anak kecil yang dijaga jiran saya ketika umminya kerja. Sebaik nampak kelibat saya, Ayih menyeringai. Mak Ngah! Jeritnya.

Tika saya ingin pulang ke rumah, pelbagai alasan diciptanya supaya pengasuhnya- yang dipanggil 'emak'- mengizinkannya mengikut saya.

'Bolehlah Ayih ikut mak ngah? Ayih tak sayang mak, ayih sayang mak ngah'
'Bolehlah ye mak? rumah mak tak best, rumah mak ngah best'

dan ini alasan yang buat saya tergelak besar..

'Bagilah Ayih pergi rumah mak ngah? Ayih bukan anak mak,. Ayih anak Mak Ngah'

hehe.. apa-apajela Ayih ni.. Lalu saya membawanya ke rumah. Bila umminya datang menjemput, pelbagai alasan pula yang dibuat supaya uminya membenarkannnya tinggal dengan saya. Hingga akhirnya saya diseret Ayih masuk ke dalam kereta Umminya, dan saya menutup pintu, sambil AYih yang di dalam kereta menjerit-jerit kemarahan.

Ok Ayih, kita jumpa minggu depan k..?

***
Ramadhan ini banyak mengingatkan saya ramadhan lalu. Kala itu sem pertama pengajian master saya. 'Ribut' melanda hebat. Namun Ramadhan yang hadir dengan keberkatan menghadiahkan ketenangan luar biasa, Alhamdulillah. Sem itu dilalui penuh gemilang. Tetapi yang lebih mengesankan adalah tarbiyah ramadhan yang banyak mempengaruhi keazaman dan kekuatan.

dan Ramadhan tiba lagi. Lalu saya bisikkan pada hati- apalah ertinya 'ribut dunia' itu jika dibandingkan dengan apa yang telah DIA beri selama ini? Lalu saya berazam mengabaikan segalanya.. bukankah ada tanggungjawa yang lebih penting? dan episod ini telah berulang kali saya hadapi.. bukankah di kala tenang itu diragut, DIA sentiasa ada menghadiahi ketenangan yang jauh lebih hebat, dan kedamaian hati yang tidak terungkapkan??..

Lalu.. tenanglah hati.. teruskan senyuman.. dunia dan seisinya, serta derita yang melingkari cuma sementara.. pandang jauh untuk tersenyum dan gembira.. jauh itu di sana- pertemuan denganNYA.

**
Renungan..
ruginya Ramadhan kita tanpa tahajud walau 2 rakaat.. sedang kita telah bangun untuk bersahur..
ruginya waktu berbuka tanpa titipan doa, sedang bukankah telah DIA janjikan, waktu berbuka itu mustajab doa..

***
Noktah.

Sunday, August 31, 2008

selamatla semua..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Tahniah dan selamat hari graduasi buat kawan-kawan semua. Selamat melangkah membawa tangungjawab sebagai modal insan membawa kemajuan pada agama,bangsa dan negara.

Hari konvokesyen UIAM tahun ini berbeza, dengan jubah baru dan mortar board menggantikan songkok dan tudung yang dililit logo UIA. Kiranya tahun lalu, saat saya meraikan hari graduasi adalah kali terakhir digunakan pakaian begitu.

Setahun berlalu, rasa cepat benar masa berlalu. Kini saya masih dalam pengajian master. 10 subjek sudah tamat diambil. Alhamdulillah. Kini dalam proses menulis tesis. Mudah-mudahan dipermudahkan semua.

Hari graduasi- saya sukakan aromanya. Melihat wajah ceria dengan jubah graduasi, aroma manis hari graduasi sering membangkitkan semangat. Rasa yang mneyelinap ke seluruh pelusuk jiwa ketika hari graduasi mencetus azam. Saya ingin bergraduasi lagi. Tahun depan, Insya Allah, dengan jubah ‘double stripes’. Dan saya ingin mengulanginya lagi, bergraduasi untuk kesekian kalinya pada masa akan datang, Insya Allah.

***
Selamat hari merdeka. Tiada ertinya laungan merdeka itu jika hati dan minda kita masih dijajah.

***
ahlan ya Ramadhan Kariim..
Bulan yang sentiasa dirindui.. moga permulaan jihad ini- di bulan Ramadhan yang mulia menjanjikan keazaman dan kekuatan.

Ramadhan kali ini, saya akan lebih banyak berada di laman ayahbonda. Bersama keluarga menunaikan ibadah puasa dan lebih penting- menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak/ cucu.

Saya rindui ramadhan, ketenangan dan keharmonian yang ada di dalamnya. Jihad kali ini - Allahummamthirna sobra..

Faiza 'azamta fatawakkal 'alallah!

Ramadhan Kariim..

Tuesday, August 26, 2008

Gombak-K.Terengganu-Pasir Puteh-Klang-Gombak

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


16-20

Kembara saya minggu lalu, Pagi Sabtu, dari UIA ke Kuala Terengganu, ke walimah Naim, kemudian bermalam di Tok Jembal-rumah kak Engku.


sempat bersantai di tepi pantai..


Ahad pagi- ke Pasir Puteh menghadiri walimah Mok Ana. Pulang juga hari itu dan tiba di UIA tengah malamnya.
Berhenti solat di Masjid Terapung, K.Terengganu

Esoknya, usai subuh saya menaiki komuter ke Klang untuk menghadiri sesi 2 Kem bahasa Arab persediaan ke Timur Tengah untuk pelajar tajaan JAIS.

bersama sebahagian peserta yang bakal ke Timur Tengah


bersama musyrifi al halaqah, Ust Lutfi dan Kak Lina serta AJK kursus



Selasa malam- kembali ke UIA.

selamat menuju mawadah rahmah n sakinah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Ogos ini, beberapa sahabat akrab saya mendirikan masjid.. Selamat menuju mawaddah, rahmah dan sakinah..

Naim & Fatimah



Ramadhan lalu, saat ber YM dengannya, Naim memaklumkan pada saya bahawa dia telah menemui ‘seseorang’ untuk dikongsikan impian dan harapannya. Lalu Naim menyuarakan hasratnya untuk mengikat tali pertunangan. Saya tumpang gembira, dan sebelum Ramadhan kali ini menjengah, Naim dan Fatimah selamat mendirikan rumahtangga. Naim, sahabat yang amat baik, yang sedia menyusahkan dirinya untuk menyenangkan sahabat-sahabatnya. Naim, you told me once- there is no ‘turning back’ in your life. Nasihat yang banyak mempengaruhi Tikah selepas itu. Then, dengan pegangan itu, akhirnya Naim temui seseorang yang terbaik, yang diciptakanNYA untuk Naim. But it’s different in my case. The ‘turning back’ (biiznillah) is my destination, Insya Allah. ;-)
comradean di walimah naim

Wan & Faheem


Wan, I still remember, u told me that :
At the very first time u saw me when I became your roommate, u told yourself that u believe that girl is a very special person and you wished to be her special friend.. then we became close and u realized how special is ‘the’ girl.

Indeed, u are the one who is very special. To know you and to be close with you is one of the most precious thing in my life. Hamdan Lillah..
Moga Allah rahmati Wan dan Suami dan semoga Allah mengganjari kalian jannah atas segala kebaikan kalian.Ameen.

Mok Ana & A.Zul


Ukhwah yang merimbun dalam COMRADE. Tiada kata yang terbaik untuk menggambarkan indahnya ukhwah saya dan Mok Ana. Kala malam saya menjadi siang- tidak mampu melenakan mata kerana keresahan berdepan masalah, cukuplah 1 miss call atau sms untuk Mok Ana, lalu pasti diberi respon, berkongsi gundah dan meleraikan resah. Juga tidak mampu diukur berapa KM sang kancil DAL milik Mok Ana membawa saya dan sahabat-sahabat COMRADE lain ‘makan angin’ dan ‘mengukur’ jalanraya. Musafir demi musafir yang mengakrabkan kami. Malah Mok Ana merupakan ‘penyimpan mohor besar rahsia-rahsia’ yang amat saya senangi.

Buat Yang ( hehe, pasni takleh panggil Mok Ana ‘Yang’ kot? ) thanks for everything.. Love u very much. I’ll be missing you.. Buat Mok Ana dan A.Zul, selamat menempuh hidup baru, moga diberkati selalu.
comradeans menyerbu pengantin

***
Berkongsi kegembiraan mereka, saya juga tumpang gembira, melihat mekar senyumaan mereka di hari bahagia mereka, cukup menggembirakan. Ya Allah, moga kegembiraan ini berpanjangan milik kami, sehingga saat kami bertemuMU nanti.

Rakan datang dan pergi.. namun sahabat sejati tetap dekat di hati…

Saturday, August 09, 2008

destinasi..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Saya baru pulang dari Klang malam semalam. Menjadi fasilitator untuk Kem Bahasa Arab Persediaan ke Timur Tengah bagi pelajar-pelajar tajaan JAIS. Bermukim sejak selasa lalu di Pusat Sumber Pendidikan JAIS, Kg Jawa memberi pengalaman baru. Jauh dari aroma keluarga, jauh dari keakraban ukhwah warga COMRADE, jauh dari keluarga debat. Di sana, saya sendiri. Tapi Alhamdulillah, diberiNYA ruang untuk saya mengenali dunia baru, dan dimudahkanNYA semua urusan.

AL-Madani Strategic Learning menjadi konsultan untuk program ini. Mengenali warga Al-Madani, terasa seperti sudah lama mengenali mereka. Ust Lutfi (ex-pensyarah matrik UIA)- Pengarah Al-Madni dan kak Linaeksekutif al-Madani. Mesra dan baik. Senang bekerjasama dengan mereka. Al-Madani sebuah syarikat penerbitan buku bahasa Arab. JUga konsultan Arab. Nanti bila ada kelapangan saya akan promosi AL-MAdani di sini.

Peserta kursus- pelajar tajaan JAIS yang akan ke Timur Tengah tahun ini- Mesir, Jordan atau Morocco. Pelbagai kursus termasuk perubatan. Fasilitator semuanya 6 orang. SEmua pelajar pasca ijazah. Semuanya pelajar antarabangsa kecuali saya. Semuanya lelaki kecuali saya. Saya mendapat 1 kumpulan- pelajar-pelajar perempuan semuanya. Permulaannya, takut-takut mereka berbual dalam bahasa Arab. Tapi selepas 3 hari- Jumaat lalu- mereka semakin yakin bertutur dalam bahasa Arab.

Gembira. Gembira sekali saya mengenali mereka. Keazaman dan kesungguhan mereka menyambung pelajaran, malah memberi saya semangat juga untuk meneruskan kembara ilmu ini.

Kursus akan bersambung semula 18 nanti dan saya akan kembali ke Klang 17 malam, sebaik sampai dari walimah Mok Ana di Pasir Puteh.

080808
Tahniah Wan & Fahim.
Baarakallahu fiikuma wajama'a bainakuma fikhair.

090808
pagi- Mass Lecture Halaqah 2. Saya mengendalikan. Alhamdulillah. Cuma agak susah menukar 'bahasa berfikir' dan lidah kepada English selepas seminggu menggunakan bahasa Arab dalam rutin.

tengahari-
saya menghadiri walimah wan di Bangi. Gerimis bertamu di hati. Pertemuan dengan Wan selalunya begitu. Pasti ada air mata saya yang tumpah. Namun kali ini, tangisan hanya berlagu di hati.

Wan cukup cantik dan berseri. Akhirnya, Wan da Fahim tiba ke destinasi yang mereka tunggu selama ini. Seperti kata Wan selalu- rasa dan hubungan ini meresahkan selagi tidak dihalalkan dengan nama ALlah.

Saya amat menghormati Wan dan Fahim. Mereka sekelas tetapi tidak berbual mesra. Tiada sms kecuali jika perlu. Mereka benar-benar menjaga hubungan dan pergaulan sebelum dnikahkan. Wan- sayaamat gembira melihat kegembiraan wan hari ini. Saya sentiasa doakan moga kebahagiaan dan rahmat Allah sentiasa megiringi Wan dan Fahim.

**
Gambar walimah Wan akan dimuat turun kemudian.
titik.

Monday, August 04, 2008

raja buah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Hujung minggu yang ceria buat saya.

Jumaat:
saya akan pulang ke rumah hari ini. semangat. maklumla, sudah sebulan lebih tidak menjejak laman ayahbonda. rindu aroma rumah yang sentiasa mendamaikan.

Pagi- saya ke KL bersama Jae,Shariah, Rehan dan Jannah. selesai makan-makan, kami ke MYdin Kotarya. Membeli peralatan untuk membuka sebuah Taski di Kg Kuala Mu, Perak. Alhamdulillah, usaha pelbagai pihak menemui hasil. Shariah, saya kagum dengan semangat anda! Moga diteruskan usaha.Moga diberkati selalu

Saya pulang dengan menaiki bas ke Bentong, lalu singgah di pejabat emak dan pulang ke Mentakab bersama emak. Dalam bas emak berbisik :

'Abah dah beli durian kampung tadi. Banyak. Dia tau ngah nk balik'

saya senyum. Abah, yang sentiasa tahu kegemaran saya.

Pulang ke rumah, tidak lama selepas berehat, emak dan abah memanggil saya. Duduk di ruang antara dapur dan ruang tamu, abah membelah durian satu persatu. Emak membantu. Saya pula menyuapkan durian seulas demi seulas ke dalam mulut. Hehe. Da lama menunggu peluang ini. Alhamdulillah. NIkmat yang tidak terhingga.

Sabtu.

Emak membeli barang di pasar pagi-pagi lagi. Dengan sarapan sekali. Ada 3 ketul kuih bakar sama. Owh, itu kuih kegemaran saya.Emak tidak lupa itu. Saya hanya mampu terharu dalam hati. Semalam abah, hari ini emak pula. Terima kasih mak dan abah.

Malam- kami berkenduri, menjamu makan jiran-jiran tetangga. Menu kampung. Kerabu kacang botol, gulai lemak nanas dan ikan masin. Sambal tempoyak masak. Sambal tempoyak mentah. Ikan masin. Ayam goreng. Semua memancing selera. Tetamu juga ramai memenuhi rumah. Meriah tapi sederhana. Alhamdulillah.

Ahad

Ke PC Fair di Dewan Sri Mentakab. Sekadar menjamu mata. Tidak bersemangat untuk pulang ke UIA. Ah, esok saja saya pulang. Hari yang manis. Pesta makan buah-buahan berterusan. Nikmat. Alhamdulillah

Isnin

Pulang ke UIA. Merindukan raja buah.

Wednesday, July 30, 2008

jangan tinggalkan saya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Update hari-hari berlalu..

Sabtu
Pagi- 1st halaqah.. sesi taaruf..

pagi- kunjungan durian dan rambutan..

tengahari- ke Asrama Baitul Ummah (ABU). Saya menjadi urusetia untuk majlis makan malam amal ABU. Petang itu, saya, dan beberapa rakan COMRADE ke Dewan Besar Tabung Haji, Jalan Tun Abdul RAzak. Kat bangunan Tabung Haji bersama adik-adik ABU. I love lisa very much!

Lisa- adik yang duduk kat ABU. Umurnya 6 tahun. Mak ayah dia melarikan diri entah ke mana maka Lisa dan bersama seorang adik dan kakaknya tinggal di ABU.

Lisa yang manja. Seringkali datang duduk di ribaan saya. Sebelum masuk dewan malam itu, beberapa kali dia berpesan. 'Lisa nak duduk dengan kakak ya.'
saya cuma mengangguk.

Malam itu, saya agak kalut meyusun adik-adik yang membuat persembahan. Lisa duduk bersama tetamu jemputan yang lain. Hingga tiba-tiba dia datang kepada saya dan mengulangi lagi' Lisa nak duduk dengan akak boleh?

lalu saya membawa Lisa ke meja saya dan kawan-kawan. Manja budak ni. Makan bersuap. Lalu dia bercerita- Lisa tak nak duduk sana. Ada mak cik garang. Dia tanya kenapa Lisa duduk kat Baitul Ummah.

ish, sapalah yang tanya soalan tu. Bukankah ada cara lebih baik untuk mengetahui jawapan itu, tanyakan pada penjaga ABU. Janganlah tanya budak kecik tu. BUkankah mereka ke sini kerana ada sisi hitam dalam kehidupan mereka.Ada kisah pedih. Ada luka. Maka adalah tidak wajar kita mengingatkan mereka tentang yang duka itu. Apatah lagi budak sekecil itu, tentulah terguris hatinya, ditinggalkan ibu dan ayah begitu sahaja.

Sebelum pulang, Lisa mengajukan bicara yang susah untuk saya jawab.
+Kakak tinggal kat mana?
-Kat asrama kakakla.Kat UIA.
+Lisa tak pernah tegok asrama kakak. Kakak bawakla Lisa pergi asrama kakak. Lisa nak tinggal dengan kakak boleh.

err.. boleh, sememangnya boleh dik. Tapi apalah upaya yang kakakmu ini ada? Ada sayang yang melimpah tapi kakakpun menyara hidup 'seadanya'. (Ni jawapan saya sendiri. Ta dijawab begitu kepada Lisa.

Maka di sinilah saya menyedari, penting juga menjadi kaya. Penting memiliki harta. Bukankah masih banyak jiwa yang memerlukan kita untuk berkongsi hidup mereka? Lisa, maafka akak!

**
Ahad.
saya sendirian menghabiskan masa di bilik. Menyelesaikan satu tugas, membantu Dr Rahmah membuat penyelidikan untuk membedah novel Salju Sakinah, menggali kriteria Adab islami dalam novel tersebut> Tidak mahu mengulas panjang tentang ini. Saya ingin menunggu ulasan atas ulasan selepas usai sesi Kupasan Novel tersebut di DBP hujung minggu ini. Untuk maklumat lanjut program tersebut, sila lihat di>>> sini

Selasa
pagi- mengambil ujian berkomputer untuk medapatkan lesen memandu.Alhamdulillah, lulus. Pecubaan pertama untuk orang yang 'zero' tentang pemanduan tetapi amat cemerlang sebagai seorang penumpang. hehe.

malam
menjadi juri pertandingan karaoke nasyid terbuka Mahallah Aminah. Thanks kak Shamila yang menjemput saya sebagai juri. Gian juga nak bernasyid dalam suasana santai begini, maklumla tiada brothers. Bebas. Terkenang kenangan menjadi naib johan petandingan nyanyian lagu patriotik di Mahallah Ameenah 2 tahun lalu. Saya berduet dengan syud mewakili blok F. hehe, berjaya kami 'menyumbangkan' lagu Warisan nyanyian Allahyarham Sudirman dan memujuk juri memberikan kemenangan tempat kedua kepada kami.

****
Sepupu saya selamat melahirkan anak kedua semalam. Seorang putera.Tahniah Kak Long Nor. Sepupu yang akrab dengan saya kerana masa mula bekerja dulu, dia menetap bersama keluarga saya di Mentakab. Sementelahan dia telah kehilangan ibunya sejak usianya 2 tahun lagi. Maka ibu saya menjadi ibunya. Dan saya yang tiada kakak pula, rasa gembira dikurniakan kakak sebaik dia. Khalila Farhana, selamat menjadi kak Long!
Allahu Al-Musta'an