Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers
Showing posts with label guru. Show all posts
Showing posts with label guru. Show all posts

Friday, November 21, 2008

Laskar Pelangi: Muhammadiyyah vs Al-Mukmin

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Laskar Pelangi. Dah lama saya mencari novel ini kerana komentar rakan-rakan yang membacanya, memberi gambaran ini novel yang mesti dibaca. Namun setiap kali mengunjungi kedai buku, novel ini tiada. Malah saya cuba menempah online dari beberapa gedung buku besar Namun dinyatakan bahawa tiada stok. Baru-baru ini saya mengunjungi Ko-op UIA. Kebetulan singgah. Maka ternampaklah novel tersebut. Saya tidak melepaskan peluang. Terus membeli (Nampak sangat koop ni jarang dikunjungi, novel yang laris di luar masih ada stoknya di sini ;-) ). Ada potongan lagi.

Ya, kredit untuk Adrea Hirata. Saya sukakan susur galur Lintang & rakan-rakannya anak-anak Melayu Belitong yang miskin bergelut dengan jatuh bangun kehidupan untuk mencari cahaya hidup bergelar ILMU. Kisah yang amat memberi inspirasi. Saya berpendapat para pendidik amat perlu membaca novel ini . Ia kisah pentingnya pendidikan. Kisah pentingnya seorang pendidik membuka mata hati untuk melihat potensi anak-anak murid dan menggilapnya. Pentingnya Azam dan kesungguhan. Indahnya persahabatan.

“al-Mukmin Al-Mukmin Al-Mukmin
Padamu harapan Ummah dan Agama

Engkaulah cahaya alam
Hidayahmu menyinari kelam
Engkau ibarat pelita
Menyinari gelap gelita

Engkau pejuang yang unggul
Penegak manhaj yang syumul
Engkaulah benteng suci
Pembela hidayah Ilahi "


Laskar Pelangi mengingatkan saya kegigihan guru-guru Al-Mukmin mempertahankan & membangunkannya di awal penubuhan dulu. Seperti yang pernah
diceritakan, saya generasi pertama AL-Mukmin. Sekolah swasta yang lahir atas kesedaran memberi pendidikan agama untuk anak-anak dari kecil di Temerloh. Dengan misi ‘Membina Generasi Muttaqin’, awal penubuhannya penuh dengan ranjau duri.Berdiri atas sumber kewangan yuran pelajar rm35 sebulan, para guru ketika awal penubuhannya Cuma 3 orang. Ustazah Fatimah, Ustaz Ibrahim. Ustaz Osman. Merekalah guru yang mengajar 13 mata pelajaran ketika itu. Dan hingga kini, guru-guru Mukmin masih tidak ramai, dan masih dibayar gaji berdasarakan yuran para pelajar. Malah baru-baru ini dikhabarkan ada guru yang tidak menerima gaji hingga 2 bulan lamanya kerana kelewatan ibu bapa melunaskan yuran anak-anak. Namun mereka tetap ‘kental’ bersama Mukmin. Kerana melihat anak Mukmin mengenal agama lebih mulia bagi mereka.

Awal penubuhan dulu, kami tidak punya bangunan sekolah seperti sekolah lain. Cuma menumpang di sebuah banglo. Di situlah adanya kelas, kantin dan bilik solat zuhur berjemaah sebelum pulang. Tapi hari-hari di Mukmin amat indah bagi saya. Segala subjek yang diajar terasa seperti air sejuk yang mengalir, terus ke hati. Subjek Feqah, Sirah, Aqidah, Akhlak, Al-Quran, Bahasa Arab, semuanya umpama makanan rohani yang lazat, melekat di hati. Mungkin inilah kuatnya ‘kekuatan IKHLAS’ dari guru-guru terdahulu.

Subjek akademik juga begitu, meski yang mengajarnya bukan guru-guru lulusan universiti,apatah lagi guru-guru yang memiliki diploma perguruan, kami tetap belajar dengan sempurna. Awal penubuhan, ada 32 pelajar batch saya (1991), namun menjelang darjah 6, kami Cuma tinggal 18 orang. Ini kerana ada khabar angin bahawa pelajar Mukmin tidak dibenarkan menduduki UPSR. Tiada kebenaran dari Kementerian kononnya. Maka ibubapa yang lebih mementingkan UPSR itu dari mutiara-mutiara agama yang digali di MUkmin satu persatu mengeluarkan anak mereka dari Mukmin. Namun khabar itu ternyata meleset. Ketika darjah 6, saya dan rakan-rakan lain menduduki UPSR. Dan natijahnya ternyata membanggakan, saya dan 5 rakan-rakan lain dari 18 calon pada tahun itu (1996) memperoleh 4A (ketika itu UPSR Cuma ada 4 subjek, tiada sains).

Seperti sekolah lain,kami juga punya peluang melakukan aktiviti ko-kurikulum. Saya sukakan subjek Pendidikan Jasmani (PJ) kerana ketika subjek ini, saya mengasah bakat dalam Bola Jaring. Meskipun tidak sehebat mana tetapi ketika di sekolah menengah saya saban tahun mewakili sekolah dan memenangi beberapa kejohanan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Agama Pahang (MASISUPA). Malah ketika di tingkatan 3, saya diserap ke pasukan senior (kategori A- untuk pelajar tingkatan 4 & 5).

Malah kami juga dilatih menjadi berani di khalayak ramai. Saya pernah terlibat dengan pertandingan bercerita, menjadi solo nasyid dan mempersembahkannya di depan khalayak ramai di atas pentas ceramah agama di Padang Besar Mentakab, menyertai pertandingan kupasan hadis dan masuk pertandingan syarahan ketika melalui hari-hari di Mukmin.

Aktiviti Pasukan Seragam- kami tiada pengakap atau Pandu Puteri, tetapi kami ada Syabab Mukmin (untuk pelajar Muslimin) dan Al-Baraim Al-Mukminah (untuk Muslimat). Saya masih ingat lagi, antara lencana keahlian kami adalah Lencana Al-Quran dengan keperluan mengetahui sejarah Al-Quran dan kemampuan membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul sebelum dianugerahkan lencana ini. Sangat menarik bukan?

Sesungguhnya kegigihan guru-guru dalam Laskar Pelangi benar-benar mengingatkan saya kegigihan guru-guru Al-Mukmin.

Ustaz Ibrahim
Ustazah Fatimah
Ustaz Osman
Ustaz Aris
Ustazah Hamdah
Ustazah Hasyimah
Ustazah Zalizan
Ustazah Zainab
Ustazah Hasfanizah
Ustazah Saadiah
Ustaz Toha
Ustaz Abdul Nabi
Ustazah Rodiah
Ustazah Syazwani
Ustazah Zamila
Ustaz Mahyudin
Ustazah Jamilah
Ustaz Arif
Ustazah Selamah & kakaknya (tak ingat nama).
Ustazah Norliza.
serta beberapa nama yang mungkin tercicir. Juga buat guru-guru Mukmin sekarang.

Terima kasih atas didikan kalian. Moga warga Mukmin yang sudah melata di serata pelusuk dunia memegang erat falsafah ‘generasi Muttaqin’ dan melestarikannya buat generasi-generasi mendatang.

Entry ini juga penghargaan buat guru-guru Mukmin kerana sepanjang 17 tahun ini (1991-2008) mendidik saya dan 5 adik-adik saya (Mimi, Izzati,Syuhada,Amran & Izyani) generasi demi generasi. Berakhir sesi persekolahan 2008 bermakna berakhirlah generasi kami adik beradik di Mukmin. Adik bongsu saya telah menamatkan pengajian darjah 6 nya di Mukmin. Seperti kata emak, rasa sayu juga. Dan amat sangat berterima kasih pada guru-guru Mukmin yang silih berganti mendidik 6 dari 8 anaknya. Generasi kami berhenti di sini, tetapi jika ada rezeki mungkin generasi ‘cucu-cucu’ mak pula nanti akan menjadi warga Mukmin.

Baarakallahu fiikum jami’an.

Monday, June 02, 2008

selamat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Jun menjengah.. meninggalkan Mei 2008 yang manis..
Biarpun begitu, kiranya masih belum terlewat untuk saya mengucapkannya

Selamat Hari Ibu
Selamat Hari Bapa
Selamat Hari Guru

buat emak,emak, emak- Pn Khalijah Mohd Sharif..
dia ibu, juga guru pertama
kemudian buat abah- en Jamaludin bin Mohammad
dia bapa- guru kedua selepas emak, jua guruku ketika sekolah menengah (abah mengajar saya matapelajaran Matematik dan Matematik tambahan)
buat abg long yang juga seorang guru kini
buat semua guru-guru, ustaz ustazah,cikgu-cikgu, walau apa jua panggilan buat mereka

Tadika KEMAS Batu Kapur (1989)
Taski Al-Mukmin Taman Saga (1990)
SRA Al-Mukmin ( kini Pusat Pengajian Al-Mukmin) 1991-1996
SMA Al-Wosto (1997-2001)
Pusat Matrikulasi UIAM (jun 2002- Okt 2003)
UIAM Gombak (okt 2003- kini)

Jejak ilmu warisan kalian, didikan dan pengorbanan, menjadikan saya 'saya' hari ini..
Moga dilimpahi hidup kalian barkah dan rahmatNYA, atas tiap yang diwariskan pada kami anak didikmu..

dan kita- jgn alpa doakan mereka juga usai solat..

hari guru- saya menghantar sms kepada beberapa guru yang ada nombor mereka dalam simpanan saya.. beberapa guru membalas dengan doa kejayaan saya dunia dan akhirat.. Alhamdulillah.. doa itu saya aminkan, moga keberkatan guru-guru mengiringi saya..

**teringat manisnya sambutan hari guru 2004- sewaktu saya menjadi guru ganti di SMA AL-Wosto, Temerloh.. dipilih menerima anugerah 'Guru Paling Ceria' oleh undian para pelajar. Cukup terharu walhal tidak sampai sebulan saya mengajar ketika itu. Menjadi seorang guru memang manis. Ketika itu, saya bukan sahaja menjadi guru tetapi menjadi jurulatih forum, pidato,bola jaring dan nasyid. Semuanya pengalaman yang manis. (terutama kejayaan membawa pasukan forum dan pidato hingga ke peringkat Negeri Pahang)

Kini anak murid saya ketika itu melata ke segenap alam. Ada yang menyambung pengajian ke Mesir, malah ada juga terjumpa di bumi UIA. Itu memoir seorang guru sementara. Bagi seorang guru yang sudah berpuluh tahun berkhidmat- macam abah- tentunya lakaran kejayaan anak murid cukup panjang untuk dinukilkan.

Kata Saidina Ali R.A- walau 1 huruf yang diajarnya- dia tetap guru.
***
dulu, saya sentiasa meyakini
mei akan datang bersama jawapan yang saya tunggu
dan keyakinan itu berasas
mei datang dengan bunga-bunga bahagia
Allahu Akbar! tak terkira kesyukuran ini