Total Pageviews

JALALUDDIN & NUR ATIKAH

Daisypath Anniversary tickers

QURRATUN A'YUN I

Lilypie Second Birthday tickers

QURRATUN A'YUN II

Lilypie First Birthday tickers

Sunday, May 09, 2010

di sisiMU..

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الحمد لله الحمد لله

"ke mana agaknya orang hantar awak nanti?" tanya Wan .
Kami tinggal berdua di rumah. Adik-adik mengikut Abg Long bercuti ke Kuantan. Abah ke kebun. Mak pula masih di Kuala Lumpur menghadiri seminar.

'Tak tahula Wan, mintak-mintaklah tak jauh sangat" balasku, agak kuat. Dalam usia 97 tahun, pendengaran Wan agak terhad. Maka walaupun jarak antara kami dekat, saya masih perlu menguatkan suara supaya butir bicara itu jelas di telinganya. Jika tidak, saya bercerita tentang kapak akan didengar tentang kakak.

"Wan doa selalu, awak dapat dekat-dekat je. Tak dapat dekat rumah takpe, tapi janganlah macam Abg Long dulu. Jauh sangat" Abg Long saya memulakan kerjaya perguruannya di Kg Oya, Mukah Sarawak. Maka tentulah dia telah rasai ujian sebuah perpisahan.

" tengoklah abah awak, dah tak larat dia. Mak pun sama. Sakit pening, kalau jauh ni susah. Dah kahwin nanti takpe, dah boleh mintak dekat-dekat sini. Tunang awak pun dekat-dekat sini je, takdela jauh sangat," sambung Wan lagi.

Saya termenung memikir kata-kata Wan. Sungguh saya percaya, setiap rakan-rakan yang menunggu keputusan penempatan turut merasainya. Ke mana? Jauhkah? Dekatkah?

Saya sedar. Mak dan Abah makin tua. Abah. Wajahnya saat kami menyambut kepulangannya menjadi tetamu Allah musim haji baru ini masih terakam di minda saya. Sentiasa ada wajah itu. Wajah berseri tetamu Allah. Namun  saya perasan. Abah sudah nampak di anjak usia. Amat ketara itu. Saya melihat juga wajah abah pada hari pertunangan saya dulu. Gambar dia bersama bakal menantunya. 2 lelaki yang menjadi raja dalam hidup saya. Saya lihat wajah abah yang dimakan getir kehidupan. Hati saya berdetik lagi. Abah bukan lagi muda seperti dulu. Meski dia masih gagah ke kebun setiap hari. Namun kudratnya sudah tidak segagah dulu. Dia ke kebun berbakti pada tanah kerana itu cintanya. Dari dulu, cinta itu tak pernah luntur. Kerana budi dengan tanah itulah yang membesarkannya hingga bergelar guru.

Hujung tahun ini, Abah akan bersara dari kerjayanya sebagai guru. Perancangan Allah, saya pula akan memulakan profesyen perguruan pada tahun ini.

Emak juga sudah tidak segagah dulu. Meski masih sihat menghadiri kursus ke sana ke mari, wajah letihnya tetap nampak. Meski tiap kali kepulangan kami disambut ceria. Dia cekal. Wanita berkerjaya pada zaman ini, melahirkan kami 8 beradik dalam kehidupan yang serba sederhana. Tidak mewah tapi sekadarnya. Diinjak usia, dia masih seperti dulu. Kepentingan kami mengatasi segalanya. Dan masih lunak mendidik kami dalam tiap perbuatannya. Menjadi pemurah. Jangan pernah lokek membantu. Dan jangan sesekali menyakiti orang lain meski kita disakiti. Itu yang saya teladani dari emak. Itu yang saya ingin paksikan dalam diri.

Bila melihat mereka, saya tahu masa saya untuk berbakti kian singkat. Entah saya atau mereka akan pergi dahulu. Yang pasti mati itu janji kita denganNYA. Untuk itu, saya sering berdoa, ditempatkan saya di sebaik-baik tempat. Agar masih punya peluang saya berbakti kepada keduanya. Meski jika ditanya hati, saya bisa sahaja ke mana-mana. Mendidik anak bangsa walau di  ceruk mana. Kehidupan dan pengalaman lalu, saya telah ke ceruk desa. Telah saya rasai udara pedalaman itu. Dan andai ditakdirNYA saya ke sana, saya bersedia, mental dan fizikal, jiwa dan raga, minda dan rasa.  Saya melihat pula di sisi lain. Dia. Yang bakal menjadi raja di hati saya. Tentulah tanggungjawab itu juga perlu saya galas nanti. Dan saya mohon ditempatkanNYA di sebaik-baik tempat agar tanggungjawab dalam menyempurna agama itu dapat saya galas dengan sempurna.

Ya Allah, Engkau mengetahui segalanya.
Engkau tidak akan bebankan kami dengan apa yang kami tidak mampu
Dalam setiap ujian hidup ini, ada jaminan keimanan jika kami sabar.
Maka tempatkanlah kamu di sebaik-baik tempat
Bukan di mata manusia
bukan di sisi dunia
tapi yang terbaik di sisi MU
kerana biarpun seisi dunia kami miliki
Tanpa cintaMU, akan rugilah kami dunia dan di sana.

اللهم ادخلنا مدخل صدق
واخرجنا مخرج صدق
وانزلنا منزل صدق

No comments: